Tuesday, January 29, 2019

CERPEN : SUAMIKU PONDAN (PROLOG)

CERPEN : SUAMIKU PONDAN


PROLOG



Seorang pelajar perempuan yang berumur 10 tahun berdiri tegak di hadapan tong sampah tanpa berkasut. Matanya memandang sepasang kasut sekolah yang basah di dalam tong sampah itu.

Tangannya digempal erat. Tidak terkira itu kasut sekolah yang keberapa diperlakukan sebegitu. Sejak masuk ke sekolah rendah itu, dia sering dibuli hanya disebabkan dia ialah seorang anak yatim piatu.

Walaupun dia tidak tahu di mana ibu bapa kandungnya, namun ibu bapa angkatnya sangat baik dan sudah menganggapnya seperti anak kandung sendiri.

Apabila terasa tangannya dipegang dengan sepasang tangan yang lembut, kepalanya ditoleh ke arah pelajar perempuan yang sedang berdiri di sebelahnya.

Pelajar tersebut turut memandang kasut yang berada di dalam tong sampah sambil menangis tersedu-sedu. Dia tersenyum melihat kawannya itu lalu menggoyangkan tangannya yang masih dipegang oleh kawannya itu.

“Dah kenapa Fatin pula yang menangis? Bukan kasut Fatin pun dalam tong sampah tu,” pelik dia.

“Ta..tapi..itu kasut awak, Fiona. Awak tak sedih ke?” balas Fatin yang masih menangis.

“Saya dah biasa, Fatin. Mari kita laporkan pada cikgu disiplin. Dah, jangan menangis lagi,”

Fiona yang masih tersenyum melihat Fatin yang kuat menangis itu mengesat air mata kawannya.

“Takkan Fiona nak berkaki ayam je berjalan ke bilik guru?” soal Fatin sambil menunding ke arah kaki Fiona yang hanya berstokin putih.

“Tak apa, Fatin. Nanti saya minta selipar dari cikgu. Jomlah kita pergi sekarang,”

Fiona menarik tangan Fatin menuju ke bilik guru.

Fiona gembira mendapat kawan seperti Fatin walaupun kawannya itu kuat menangis dan mudah sangat terasa hati. Sepanjang 4 tahun mereka berkawan, Fatin langsung tidak pernah memandang rendah kepadanya walaupun tahu Fiona hanyalah anak yatim piatu. Lagipun, keluarga Fatin tidak pernah menghalang anak bongsunya itu untuk berkawan dengan Fiona.

Namun, persahabatan mereka tidak lama apabila keluarga Fatin tiba-tiba menghilang tanpa jejak. Fiona sangat sedih. Buat pertama kali, dia mengalirkan air mata kerana kehilangan kawan baiknya. Sejak dia dibuli ketika berumur 7 tahun, Fiona tidak pernah menangis disebabkan janjinya dengan nenek angkatnya.

Fiona sentiasa berdoa agar mereka dapat dipertemukan semula walaupun dia terpaksa menunggu berpuluh-puluh tahun. Hanya dua patah perkataan yang ingin dia ucapkan pada Fatin, iaitu “terima kasih”. Fiona tidak pernah menyebut perkataan itu pada Fatin walaupun Fatin sentiasa berada di sisinya sewaktu dia suka mahupun duka.

Dia tidak sangka Fatin akan pergi begitu sahaja tanpa petanda mahupun petunjuk kepadanya. Tetapi Fiona redha jika itu ketentuanNya. Sejak pemergian itu, Fiona nekad untuk menjadi kuat dengan bantuan ibu bapa angkatnya. 

Mereka menghantar Fiona ke pusat pertahankan diri.


Hari demi hari berlalu. Kini, tiada sesiapa yang berani untuk membuli Fiona. Tomboi Fiona. Itulah gelaran yang diberikan oleh orang di sekelilingnya. Dia tidak mengendahkannya asalkan dia tidak mengganggu hidup orang lain dan begitu juga dengan sebaliknya.






<SINOPSIS          BAB 1>

No comments:

Post a Comment