Tuesday, January 29, 2019

CERPEN : SUAMIKU PONDAN (BAB 2)

CERPEN : SUAMIKU PONDAN


BAB 2 - BERTUNANG



“Inilah tempat di mana saya belajar seni pertahankan diri,” kata Fiona sambil menunding ke arah bangunan di hadapannya.

“Ini…,” terkejut Ashraf.

“Kenapa, Ashraf? Jomlah kita masuk.  Mesti mereka gembira sebab ada murid baru,” ajak Fiona.

“Err..Fiona..saya rasa saya kena balik sekaranglah,” kata Ashraf.

“Balik? Tadi kata nak tengok saya berlatih. Kenapa tiba-tiba nak balik ni?” pelik Fiona dengan sikap Ashraf.

“Fiona?” tidak sempat Ashraf bersuara apabila nama Fiona dipanggil dari belakangnya.

“Eh? Cikgu Hairol dan cikgu Hanisah. Assalamualaikum cikgu,” sapa Fiona sambil menundukkan badannya sedikit ke arah dua orang cikgunya.

“Macam mana Fiona boleh bersama-sama dengan Ashraf ni?” soal Cikgu Hanisah sambil memandang belakang anaknya.

‘Alamak!’ Ashraf menelan air liurnya.

“Ashraf kawan sekelas saya, cikgu. Dia datang sini pun sebab nak belajar seni pertahankan diri dengan saya. Eh? Kejap. Macam mana cikgu boleh tahu nama Ashraf?” pelik Fiona sambil memandang Ashraf dan kedua-dua cikgunya bersilih ganti.

Encik Hairol berjalan mendekati Ashraf. Kepala Ashraf dipegang sambil menolehkan tubuh itu ke arah Fiona.

“Sebenarnya, Ashraf ni anak kami,” bulat mata Fiona apabila mendengar kata-kata Encik Hairol.

“Hah? Jadi, kenapa Ashraf tak pandai seni pertahankan diri kalau ibu dan ayahnya pakar dalam bab tu?” soal Fiona sambil memandang muka Ashraf yang asyik menundukkan kepalanya.

“Dia..,” kata-kata Encik Hairol dipotong oleh Ashraf.

“Anak-anak murid tu dah tunggu ibu dan ayah sejak tadi. Baik ibu dan ayah pergi sekarang. Nanti mereka mengadu pada mak ayah mereka pula. Habis pendapatan ibu dan ayah nanti,” kata Ashraf sambil menepis tangan Encik Hairol yang berada di atas kepalanya.

Encik Hairol dan Puan Hanisah hanya mampu menahan ketawa sebelum meminta diri untuk ke bilik latihan.

“Maaf Fiona, saya tak sangka awak belajar di sini. Saya malu sebab awak tahu yang ibu bapa saya mengajar seni pertahankan diri tapi anak mereka..,” sedih suara Ashraf.

“Tak apalah, Ashraf. Saya faham. Dahlah. Jom kita masuk sekarang,” Ashraf menganggukkan kepalanya sebelum mengekori langkah Fiona.

Encik Hairol dan Puan Hanisah hanya memandang Fiona dengan anak mereka sambil tersenyum. Senyum yang mempunyai maksud tersirat. Namun, hanya mereka berdua sahaja yang memahaminya.

*****

Disebabkan SPM semakin hampir, Fiona dan Ashraf sering berjumpa di rumah masing-masing untuk belajar bersama-sama sehinggakan keluarga masing-masing sudah mengenali kawan anak mereka dengan lebih rapat.

“Fiona, Ashraf, tak lama lagi nak Maghrib,” tegur Puan Hanisah apabila melihat Fiona dan Ashraf tekun membuat latihan ulang kaji.

“Ya Allah! Saya kena balik sekarang. Nanti mama saya marah. Fiona balik dulu ye, Ashraf, cikgu,” tergesa-gesa Fiona memasukkan buku dan alat tulisnya ke dalam beg galasnya.

Tangan Puan Hanisah dikucupnya sebelum memberi salam.

“Jap, Fiona. Biar saya temankan awak balik,” Ashraf turut tergesa-gesa menutup bukunya sebelum berdiri.

“Kami pergi dulu, ibu,” kata Ashraf.

“Hati-hati bawa anak orang pulang, Ashraf,” pesan Puan Hanisah.

“Baik, ibu. Kami pergi dulu,” lalu Ashraf dan Fiona keluar dari rumah itu.
Puan Hanisah tersenyum melihatnya.

“Kenapa senyum sorang-sorang ni, sayang?” tegur suaminya.

“Entahlah, bang. Saya rasa, sejak kebelakangan ni, Ashraf mula berubah,” luah Puan Hanisah.

“Apa yang berubah? Sama je abang tengok. Macam sotong juga je macam dulu,” lengan Encik Hairol dicubit oleh Puan Hanisah.

“Sakitlah, sayang,” adu Encik Hairol sambil menggosok tempat cubitan itu.

“Mengata anak kita lagi,” geram Puan Hanisah.

“Janganlah marah, sayang. Abang jujur sangat pula tadi. Sayang nak kata sejak anak-anak kita yang lain pergi ke luar negara, Ashraf asyik menyendiri, kan?” kata Encik Hairol sambil memeluk pinggang isterinya.

“Mula-mula saya risau sebab Ashraf rapat dengan kakak-kakaknya. Tetapi, sejak dia berkawan dengan Fiona, Ashraf kembali menjadi ceria semula. Ayang rasa bersyukur sangat sebab Fiona sudi menjadi kawan kepada anak kita walaupun anak kita tu ‘istimewa’ sikit,” ujar Puan Hanisah.

“Kenapa abang dengar ayat sayang macam nak jadikan Fiona tu menantu kita?” kata Encik Hairol sambil mengerutkan dahinya memandang wajah isterinya.

“Saya harap jodoh mereka kuat jika itu takdir mereka,” senyum Puan Hanisah sambil mengusap lembut lengan suaminya.

“Esok mereka mula SPM. Bolehlah kita melawat bakal besan kita nanti,”

Bulat mata Puan Hanisah memandang suaminya.

“Betul ke, abang?”

“Betullah, sayang. Kita bincang dengan mereka dulu tanpa pengetahuan anak kita. Kalau mereka setuju, bolehlah kita ‘ikat’ mereka dulu dengan memberi cincin pertunangan pada Fiona. Tapi, kita hanya akan beritahu mereka selepas mereka habis SPM yer. Risau nanti mengganggu pula fokus mereka,”

Pipi suaminya dikucup sekilas.

“Terima kasih, abang. Ayang harap keluarga Fiona menerima anak kita,” teruja Puan Hanisah.

Tersenyum Encik Hairol melihat isterinya yang sudah teruja itu.

**********

“Kalau tuan dan puan sudi menerima anak kami, kami amat berbesar hati untuk mengikat hubungan mereka tu. Lagipun, sudah akrab sangat saya tengok mereka berdua tu. Pernah sekali tu, mereka berdua tertidur dengan kepala masing-masing di atas meja. Saya terus kejutkan mereka sebab risau jika sesuatu berlaku walaupun mereka berdua hanya menganggap masing-masing sebagai kawan sahaja,” ujar Encik Haimin.

Geli hati mereka mendengar cerita bapa angkat Fiona.

“Alhamdulillah kalau semua sudah setuju. Ini saya nak berikan cincin pertunangan kepada Fiona. Bila selesai SPM, saya harap Fiona sudah menjadi tunang Ashraf,” kata Encik Hairol sambil menghulurkan sekotak baldu cincin kepada Encik Haimin.

“Terima kasih, Hairol dan Hanisah. Saya harap kita bakal menjadi besan,” teruja Encik Haimin sambil memeluk tubuh Encik Hairol.

“Terima kasih, Hanisah sebab menerima Fiona sebagai menantu,” Puan Hairunisa turut memeluk tubuh Puan Hanisah.

“Terima kasih juga Hairunisa kerana menerima kekurangan anak saya,” balas Puan Hanisah.

“Saya harap cincin tu muat sebab hari tu saya pernah mengukur saiz jari Fiona semasa Fiona mencuba cincin saya,” kata Puan Hanisah ketika mereka berada di depan pintu rumah.

“Saya pasti ianya muat dengan jari manis Fiona,” yakin Puan Hairunisa.

**********

“Assalamualaikum. Mama, papa, Fiona dah balik,” sapa Fiona semasa memasuki rumah tersebut.

Apabila melangkah masuk ke dalam rumah, matanya tertumpu pada sekotak baldu cincin yang berada di atas meja di ruang tamu. Fiona terus membelek-belek kotak tersebut.

“Mama, ini cincin siapa? Cantiknya,” teruja Fiona apabila membuka kotak tersebut.

Puan Hairunisa mula gelabah kerana dia terlupa untuk menyimpan kotak tersebut di dalam biliknya.

“Itu…,” teragak-agak Puan Hairunisa.

“Itu cincin Fiona. Kami ingat nak bagi cincin tu pada Fiona selepas Fiona habis SPM. Fiona suka tak cincin tu?” kedengaran suara Encik Haimin dari biliknya.

Mereka serentak memandang Encik Haimin yang berdiri di muka pintu biliknya.

“Untuk Fiona? Betul ke, mama, papa?” Fiona semakin teruja apabila melihat anggukan ibu bapa angkatnya.

“Fiona nak cuba cincin tu tak?” soal Puan Hairunisa sambil mendekati anaknya itu.

“Boleh ke? Fiona cuba yer,” cincin tersebut disarungkan pada jari manis kiri Fiona.

“Padanlah dengan jari Fiona. Pandai mama dan papa teka saiz jari Fiona. Terima kasih mama, papa,” Fiona memeluk tubuh Puan Hairunisa sebelum beralih ke Encik Haimin.

“Fiona nak pakai cincin tu bila?” soal Encik Haimin apabila melihat anaknya sedang ralit memandang cincin yang masih tersarung pada jari manisnya itu.

“Hehe. Kalau Fiona pakai sekarang, boleh?” tersengih Fiona sambil memandang wajah ibu bapanya yang sudah berdiri di hadapannya.

“Boleh sangat, sayang. Tapi, Fiona tak kisah ke? Nanti kalau mereka kata apa-apa macam mana?” risau Puan Hairunisa.

“Ala mama. Mereka mana pernah hiraukan Fiona. Mama dan papa jangan risau. Fiona akan jaga cincin ni seperti nyawa Fiona sendiri. Terima kasih mama dan papa. Fiona masuk ke bilik dulu ye,” pinta Fiona sebelum masuk ke biliknya yang berada di tingkat satu.

Selepas hilang kelibat Fiona, Puan Hairunisa memegang lengan suaminya.

“Tak apa ke kita buat macam tu pada Fiona?” risau Puan Hairunisa.

“Sayang jangan risau. Kalau kita berterus-terang, nanti fokus dia ke lain pula. Selesai SPM, kita beritahu dia yer. Sayang jangan risau, ok?” bahu isterinya dipeluk erat.

Puan Hairunisa hanya mampu menganggukkan kepalanya.


**********





<BAB 1          BAB 3>

No comments:

Post a Comment