Tuesday, November 13, 2018

NOVEL : APARTMENT (BAB 7)

NOVEL : APARTMENT


BAB 7



“Apa?! Adik saya berhutang sebanyak satu juta?!” terkejut Airina apabila seorang peguam datang ke rumahnya untuk membawa berita itu.

Matanya terus menjeling tajam ke arah adiknya yang sedang menggigil ketakutan itu.

“Tapi, kami tiada wang sebanyak itu, encik,” kata Airina.

“Kalau cik gagal menjelaskan hutang tersebut, rumah ini akan disita…dan cik akan masuk ke dalam penjara memandangkan cik ialah penjaganya,” terbeliak mata Airina.

“Kenapa kakak saya pula yang kena masuk penjara?! Kenapa bukan saya?” pelik adik Airina.

“Sebab encik masih di bawah umur dan encik hanya akan dimasukkan ke pusat pemulihan sahaja,” jawab peguam lelaki itu.

“Macam mana saya nak melangsaikan hutang sebanyak itu dalam masa terdekat ni?” tanya Airina dengan nada yang agak geram.

“Saya ada cadangan. Ada seorang banduan yang sangat dikehendaki bakal digantung sampai mati tidak lama lagi. Saya cadangkan cik berkahwin dengannya memandangkan insurans yang diberikan amat lumayan. Itu pun kalau cik setuju,”

Ternganga Airina dan adik lelakinya itu mendengar cadangan peguam yang agak berusia itu.

“Saya takkan biarkan kakak saya menjadi isteri kepada banduan!” tegas adik lelaki Rin.

Airina terus memukul kepala adiknya kerana terlalu geram.

“Disebabkan siapa kakak terpaksa berkahwin, hah?! Baik Aiman tutup mulut tu. Bagi kakak fikir dulu,” kata Airina lalu duduk di atas sofa.

Kepala Airina dipicit-picitnya selepas memejamkan matanya.

“Takkan kakak betul-betul nak kahwin dengan banduan?!” terkejut Aiman.

“Betul tu, cik. Mungkin ada cadangan lain,” orang gaji Airina turut tidak setuju dengan cadangan itu.

“Bagi saya solat istikharah dulu,”

Airina bingkas bangun dan terus masuk ke dalam biliknya.

Airina meminta petunjuk dari Yang Maha Esa. Keputusan yang dia dapat tetap sama walaupun sudah banyak kali solat sunat itu dilakukannya.

Airina yakin dengan petunjuk yang dia dapat lalu dia keluar dari biliknya. Semua mata sudah memandang ke arah Airina.

“Saya akan kahwin dengan banduan itu!” nekad Airina menyebabkan semua yang berada di situ terkejut.

“Saya akan aturkan semuanya. Jumpa dua hari kemudian. Saya akan menjemput cik nanti,” pamit peguam itu.



Dengan sekali lafaz, Airina menjadi isteri sah kepada Ahmad Rahimi. Selesai akad nikah, Airina dan Rahimi dimasukkan ke dalam sebuah bilik. Airina memandang suaminya. Air liurnya terasa sukar untuk ditelan ketika itu.

Airina risau jika dia diapa-apakan memandangkan suaminya ialah seorang banduan.

“Allah. Sedapnya dapat baring atas katil yang empuk ni,”

Rahimi membaringkan tubuhnya di atas katil yang bersaiz queen itu. 

Muka yang berjambang dan rambutnya panjang pada paras bahu itu ditenung oleh Airina. Nampak lelaki itu tidak terurus.

Rahimi memandang Airina yang masih kaku berdiri di depan pintu. Airina terus mengalihkan pandangannya apabila matanya bertembung dengan suaminya.

“Saya tahu awak terpaksa berkahwin dengan saya. Saya harap awak tak kisah selepas status awak berubah nanti. Daripada anak dara, jadi isteri, selepas itu jadi janda pula,” kata Rahimi sambil memandang siling.

Airina mula tersentak. Dia sedar yang kini dia sudah menjadi seorang isteri. Jadi, dia seharusnya menjalankan tanggungjawabnya itu. Airina mula nekad. Beg yang dijinjingnya diletakkan di atas meja yang memuatkan dua buah kerusi itu.

“A..awak..saya ada bawa makanan ni. Makanlah dulu,” teragak-agak Airina.

Rahimi memandang Airina sebelum bangun dari pembaringan. Jambangnya diusap-usapnya.

“Saya nak bersihkan diri saya dulu. Boleh awak tolong saya potong rambut dan cukur jambang saya?”

Naik bulu roma Airina apabila terdengar permintaan suaminya itu. Airina akur lalu membentangkan surat khabar sebelum meletakkan kerusi di atas surat khabar itu. 

Tersenyum Rahimi di sebalik jambang itu apabila Airina menuruti permintaannya.


Selesai memotong rambut dan mencukur jambang, alangkah terkejutnya Airina melihat wajah Rahimi. Di sebalik mukanya yang serabut itu terpancar ketampanan wajah Rahimi. Terlopong mulut Airina ketika itu.

Geli hati Rahimi melihat reaksi isterinya. Rahimi memegang dagu Airina sebelum menolaknya ke atas.

“Tutup mulut tu. Nanti masuk lalat pula. Saya mandi dulu. Terima kasih sebab potongnya,” Rahimi masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan dirinya.



“Selesanya!”

Rahimi keluar dari bilik air yang sudah lengkap berpakaian kemas dan bersih. Tidak sama seperti yang dilihat Airina sewaktu pertama kali mereka bertemu. Rahimi duduk bertentangan dengan Airina yang sudah berada di meja makan itu.

“Awak yang masak ke semua lauk ni?” ceria muka Rahimi melihat meja makan itu penuh dengan makanan.

“Huh? Ye..saya yang masak,”teragak-agak Airina kerana asyik benar dia merenung wajah suaminya itu.

Airina memberi pinggan yang diisi nasi kepada Rahimi. Kemudian, air pula dituangkan ke dalam cawan.

“Awak tak nak makan sekali ke?” soal Rahimi melihat Airina masih memandang wajahnya.

“Sa..saya sudah makan tadi. Jemputlah makan,” lembut suara Airina.

Selepas membaca doa makan, Rahimi menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

“Sedapnya! Pandai awak masak,” pujian Rahimi menyebabkan muka Airina berona merah.

“Tambah lagi,” senyum Airina sambil menambahkan nasi ke dalam pinggan Rahimi.

Gembira Airina kerana masakannya menepati cita rasa suaminya. Tidak sia-sia dia bangun sebelum Subuh gara-gara untuk memasak semua makanan itu untuk menjamu bakal suaminya.

“Sudah lama saya tidak makan mewah macam ni. Lagi-lagi air tangan orang. Terima kasih awak sebab memenuhi permintaan terakhir saya,” lebar senyuman Rahimi.

Senyuman Airina terus hilang pada bibirnya selepas mendengar ayat terakhir Rahimi. Air matanya mula bertakung.

Rahimi perasan perubahan wajah isterinya itu semasa suapan terakhirnya. 

Selepas membasuh tangannya menggunakan air basuhan dan mengelap tangannya menggunakan kain yang berada di atas meja makan itu, Rahimi melutut di hadapan Airina yang sudah menundukkan wajahnya. Rahimi mengusap tangan Airina yang berada di atas paha isterinya itu.

“Kenapa ni, awak? Tak sukalah saya lihat awak sedih-sedih macam ni,”
Rahimi mengesat air mata Airina.

“Kenapa sedih-sedih ni? Awak sedih sebab kahwin dengan banduan macam saya ke?” soal Rahimi.

Pertanyaan Rahimi dibalas dengan gelengan kepala Airina. Airina masih teresak-esak menangis. Rahimi mula buntu untuk memujuk Airina. Kepala Airina disembamkan ke dadanya sambil mengusap belakang Airina.

Terkejut Rahimi apabila Airina memeluk lehernya.

“Jangan tinggalkan saya,” sebak Airina.

Rahimi mengucup ubun-ubun Airina sambil menghela nafasnya.

“Maafkan saya. Kalau umur saya panjang, saya janji saya akan melindungi awak dan menjaga awak seumur hidup saya. Janjilah dengan saya. Gunakan masa yang ada ini untuk berada di samping saya. Saya tak mahu tengok muka awak yang sedih-sedih ni. Senyumlah. Lembut hati saya kalau awak tersenyum tau,” pujuk Rahimi sambil mencuit hidung isterinya itu.

Airina tersentuh dengan kata-kata itu lalu tersenyum.

Pada hari itu, Airina dan Rahimi solat bersama-sama dan tidur sekatil. Masa semakin singkat. Keesokkan harinya merupakan hari hukuman Rahimi.

Mata Airina tertumpu pada Rahimi yang sudah berada di tempat hukuman. Jantungnya mula berdegup kencang. Air matanya mula turun tanpa henti. Banyak kali dia berdoa dalam hatinya supaya suaminya selamat.

Kepala Rahimi yang sudah ditutup dengan beg dimasukkan ke dalam tali gantung itu. Airina tidak sanggup melihatnya.

“Klak!”

“Hentikan hukuman sekarang!” terkejut semua mendengar arahan ketua penjara itu.

Rahimi yang sudah terapung itu terus diangkat oleh dua orang pengawal. Terduduk Airina melihat peristiwa itu.

Rupa-rupanya, penjahat yang dikehendaki itu bukanlah Rahimi tetapi muka yang serupa dengan Rahimi. Penjahat itu telah mula menjalankan kerja jahatnya dan berjaya ditangkap oleh pihak kuasa. Ternyata, Rahimi sememangnya tidak bersalah dalam perbuatan itu.



Di hospital, Airina melawat suaminya yang terlantar di atas katil. Tangisannya mula kedengaran apabila ternampak kesan jerutan tali pada leher Rahimi. Rahimi membuka matanya. Tangannya mula memegang pipi Airina.

“A..awak..,” panggil Airina.

Rahimi tidak dapat bercakap dengan lancar kerana jerutan tersebut. Rahimi menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Alhamdulillah awak selamat,” Airina sangat bersyukur kerana statusnya tidak berubah.

Selepas Airina mengetahui bahawa hutang adiknya sudah dilangsaikan walaupun dia tidak mengetahui siapa hamba Allah yang telah melangsaikannya, Airina mengemas beg untuk berpindah dari rumah itu disebabkan adik lelakinya telah dimasukkan ke dalam pusat pemulihan.

Orang gaji Airina pula sudah diberhentikan kerja kerana Airina ingin menghabiskan masanya bersama-sama dengan suaminya.

Dengan menaiki kereta yang dipandu oleh peguam Airina dan Rahimi itu, mereka tiba di pangsapuri tersebut.


***************


“Saya harap mereka berdua mengecapi kebahagiaan yang sepatutnya mereka dapat. Selepas bertahun-tahun mereka hidup tanpa mempercayai orang lain, saya doakan mereka agar hati mereka disatukan dan mereka sentiasa saling mempercayai. Semoga mereka bahagia buat selama-lamanya,” peguam yang telah membantu Airina dan Rahimi itu hanya senyum sambil memandang pangsapuri itu dari jauh.

***************

“Ya Allah. Alhamdulillah umur dia masih panjang,” sedih Izwani mendengar kisah tragis Airina.

Barulah Sofea dan Izwani tahu maksud di sebalik kesan jerutan itu.

“Itulah. Saya sangat bersyukur kerana Abang Rahimi selamat. Walaupun dia tahu yang ajalnya akan tiba, namun dia langsung tidak menunjukkan perasaan gerunnya. Tidak putus-putus saya berdoa supaya dia selamat dan dapat hidup dengan saya sampai ke akhir hayat saya,” Airina mengesat air matanya menggunakan tisu yang diberikan oleh Sofea.

“Rupa-rupanya, kita bertiga ni senasib. Perkahwinan bukan atas sebab cinta dan bukan disebabkan kerelaan hati. Tapi, kita semua beruntung kerana dikurniakan suami seperti meraka,” faham Izwani sebab mereka dipertemukan.


Sofea dan Airina menganggukkan kepala mereka tanda setuju.





<BAB 6          BAB 8>

No comments:

Post a Comment