Tuesday, November 13, 2018

NOVEL : APARTMENT (BAB 4)

NOVEL : APARTMENT


BAB 4



Keesokkan paginya, sang isteri terjaga dari tidur kerana bunyi penggera telefon mereka. Terkejut mereka apabila mendapati badan mereka terlalu rapat dengan suami mereka. Perlahan-lahan, mereka cuba meloloskan diri mereka.

“Janganlah pergi,” terdengar suara garau Hakim apabila terasa tangannya digerakkan.

“Saya nak masak sarapan ni. Nanti saya kejut awak ye,” lembut suara Sofea.

“Emm..,” Hakim yang masih tidak membuka mata hanya membalas dengan jawapan kegemarannya itu.

Sofea bergerak ke dalam bilik air selepas mendapati Hakim sudah terlena semula.


***************


 “Lepaskanlah, awak. Saya nak masak sarapan ni,” pujuk Airina apabila Rahimi enggan meleraikan tangannya dari pinggang Airina.

Airina sudah duduk di atas katilnya.

“Masih awal lagi,” balas Rahimi tanpa membuka matanya.

Airina teringat taktik yang diajar Izwani. Mulut Airina mula mendekati telinga Rahimi.

“Abang, ayang nak masak sekejap. Nanti sudah siap masak, ayang kejut abang ye?” bisikan Airina amat mengugat iman Rahimi.

Mata Rahimi mula terbuka luas manakala pelukannya dilonggarkan kerana terlalu terkejut. Airina mengambil kesempatan lantas terus masuk ke dalam bilik air.

“Apa tadi tu?” terpinga-pinga Rahimi.

“Yes. Berjaya! Terima kasih Wani,” gembira Airina.


***************


 “Perlu ke masak?” soal Khairul yang sudah baring di atas peha Izwani.

“Ini dah kenapa manja sangat pagi-pagi ni? Mestilah kena masak. Awak tu nak pergi kerja nanti,” Izwani mencuit hidung Khairul.

“Apa salahnya bermanja dengan isteri sendiri,” tangan Khairul melingkari pinggang Izwani.

“Janganlah begini, awak. Nanti Sofea dan Airina tunggu saya. Nanti kebuluran pula mereka,” pujuk Izwani.

“Panggil abang dulu. Guna ayat sweet awak tu, baru saya lepaskan awak” tersenyum sinis Khairul melihat reaksi isterinya itu.

Izwani mula mengeluh. Bibir didekatkan pada telinga Khairul yang sedang memejamkan matanya itu.

“Abang sayang bucuk bucuk, ayang nak masak sarapan ni. Nanti selesai masak, ayang kejutkan abang ye. Nanti boleh kita makan bersama-sama,” tergerak halkum Khairul mendengar suara Izwani yang lembut bak sutera ini.

Khairul mula tersenyum lebar. Pantas dia mengucup bibir Izwani sebelum menukarkan posisi baringnya kepada yang asal. Comforter ditarik ke paras bahu meninggalkan Izwani yang terpinga-pinga itu.

“Awak ni, kan!” geram Izwani sebelum berlari masuk ke dalam bilik air.

Bibirnya dipegang sambil bersandar pada dinding bilik air.

“Boleh sakit jantung kalau setiap hari macam ni,” desis Izwani sambil memegang dadanya.

Khairul hanya tersenyum lebar membayangkan tindakan beraninya tadi.


***************


Di dapur, sang isteri sedang bertungkus-lumus menyiapkan sarapan. Sofea memotong buah epal untuk dihidangkan. Izwani pula sedang memasak sambal nasi lemak manakala Airina sedang membuat air teh O panas dan kopi O panas memandangkan masing-masing mempunyai cita rasa tersendiri.

Selesai sahaja menghidangkan makanan di atas meja, Sofea mengalihkan pandangan pada jam dinding yang berada di ruang tamu.

“Sudah pukul 5.40 pagi ni. Baik kita kejut suami masing-masing. Subuh nak masuk dah ni,” kata Sofea pada Airina dan Izwani.

Mereka hanya akur lalu masuk ke dalam bilik masing-masing.



Masing-masing menelan air liur sebelum mendekati sang suami yang sedang lena dibuai mimpi. Mereka nekad untuk mengubah panggilan mereka walaupun belum sampai seminggu mereka berumahtangga. Lebih baik mereka menyesuaikannya sekarang.

“Abang, tak lama lagi nak Subuh. Abang bangun dan pergi mandi ye?” lembut Sofea mengejutkan suaminya.

Tangan Sofea mengoyangkan bahu Hakim. Hakim menangkap tangan Sofea lalu mendekatkan pada bibirnya. Terkejut Sofea dengan perbuatan Hakim itu namun dibiarkan sahaja supaya tidak derhaka kepada suami.

“Seronoknya abang mendengar sayang panggil abang,” kata Hakim dengan suara garaunya.

Mata Hakim memandang wajah Sofea yang sudah merah itu.

“A..abang bangunlah. Pergi mandi ye. Nanti saya letak kemeja abang atas katil,” Sofea cuba melarikan anak matanya ke arah lain.

Tersenyum Hakim melihat reaksi isterinya itu.

“Terima kasih sayang,” Hakim mengucup lagi tangan Sofea sebelum bangun dan masuk ke dalam bilik air.

Tuala mandi sudah tersedia di dalam bilik air. Tersenyum Sofea kerana hubungan dia dan suaminya semakin erat.


***************


 “Abang, bangunlah. Subuh dah dekat ni. Abang bangunlah bersihkan diri dulu,” badan Rahimi digoyangkan oleh Airina yang sedang duduk di sebelah Rahimi.
Rahimi membuka matanya lalu memandang wajah isterinya.

“Abang pergi mandi ye. Tuala ada dalam bilik air tu. Nanti saya letak baju abang atas katil,” kata Airina, masih berlembut dengan suaminya.

Rahimi tersenyum melihat isterinya lalu memegang erat tangan Airina.

“Sayang, sebut ‘abang’ lagi boleh? Abang rasa macam abang sedang bermimpi indahlah tadi,” garau suara Rahimi.

“Bukan mimpilah, abang. Ini realiti. Bangunlah abang. Pergi bersiap. Subuh nak masuk dah,” ujar Airina.

Makin lebar senyuman Rahimi.

“Sayang, jom mandi dengan abang sekali, boleh?” sengaja Rahimi  melambat-lambatkan pertanyaannya.

Muka Airina terus berubah menjadi merah. Tangan yang masih di dalam gengaman Rahimi terus ditariknya.

Airina terus ke almari suaminya.

“Saya pilih baju warna kelabu ye,” teragak-agak suara Airina sambil membelek-belek baju suaminya.

Rahimi yang sudah duduk hanya tergelak melihat reaksi isterinya yang amat mencuitkan itu.


***************


 “A..abang! Lepaskanlah saya. Pergi mandi sekarang. Busuk,” Izwani berusaha melepaskan dirinya apabila secara tiba-tiba saja Khairul menangkap pinggangnya ketika dia mendekati suaminya itu.

Tubuh Izwani dirapatkan ke tubuh Khairul.

“Abang nak morning kiss dulu,” pinta Khairul dengan suara yang serak basah.

Izwani mula menelan air liur mendengar permintaan Khairul. Pantas sahaja pipi Khairul dikucup Izwani.

“Dah. Lepaskan saya sekarang,” muka Izwani sudah merah.

“Tak nak kat pipi. Abang nak kat sini,” kata Khairul sambil memuncungkan bibirnya.

“Eee..dahlah belum gosok gigi lagi. Busuk,” sengaja Izwani berkata begitu kerana enggan memenuhi permintaan Khairul.

“Jadi, selepas abang selesai mandi, bolehlah ayang bagi morning kiss ye?” usik Khairul sambil mengeratkan pelukan pinggang Izwani.

“Saya tak cakap macam tu,” balas Izwani, masih berusaha untuk melepaskan diri.

Khairul mula terasa dengan kata-kata Izwani lantas menyembamkan bibirnya pada leher Izwani selepas menyelak tudung gadis itu.

“Ah! Abang buat apa ni?” terdiri Izwani sambil memegang lehernya.

Matanya terbeliak memandang Khairul yang sedang duduk atas katil itu.

“Sebagai hukuman sebab ayang enggan memenuhi permintaan abang,” kata Khairul sambil menjilat bibirnya.

“Ish abang ni. Sakit tau. Dahlah. Kalau layan abang ni, ada juga kena benjol kat kepala tu nanti,” geram Izwani sebelum keluar dari bilik itu.

Khairul sudah tergelak di atas katil melihat reaksi isterinya itu.




Selesai solat Subuh berjemaah, mereka bersarapan bersama-sama.

“Abang balik pukul berapa nanti?”soal Izwani.

“Kami balik pukul 6 petang,” jawab Khairul.

“Nanti makan tengah hari di rumah ke?” soal pula Airina.

“Tak sempatlah, sayang. InsyaAllah hari Jumaat kami makan tengah hari di rumah,” jawab pula Rahimi.

Seusai makan, masing-masing masuk ke dalam bilik semula. Sofea dan Airina membantu suami masing-masing untuk memakai tali leher manakala Izwani membantu membutangkan baju kerja Khairul.

Mata sang suami tekun memandang wajah isteri mereka. Tanpa isyarat, tubuh isteri terus didakap oleh sang suami.

“A..abang?” terkejut Sofea.

“Pertama kali abang terasa dihargai,” kata Hakim.

Dahi Hakim kini bertembung dengan dahi Sofea. Bibir Hakim bertemu dengan dahi Sofea. Sofea memejamkan matanya untuk merasai kehangatan kucupan itu.

“Sayang jaga diri tau di rumah ni. Kalau ada apa-apa, beritahu abang ye,” pesan Hakim.

Tersenyum Sofea lalu memegang kedua-dua belah pipi Hakim.

“Abang jangan risau. Abang pun kerja baik-baik tau,” pesan Sofea pula.
Terasa sangat bahagia saat itu.


***************


 “Abang, jangan peluk beria sangat. Nanti berkedut pula baju abang,” perlahan suara Airina menghilangkan lamunan Rahimi yang enggan berjauhan dengannya.

“Sedihnya kena berpisah dengan sayang,” kata Rahimi dengan suara manjanya.
“Pulak dah. Ada-ada saja abang ni. Dahlah. Lama pula mereka tunggu abang nanti,” balas Airina sambil melepaskan diri dari pelukan itu.

Kedua-dua tangan Rahimi memegang kepala Airina sebelum dikucupnya lama dahi Airina. Airina menghargai saat itu dengan memejamkan matanya.

“Ayang hati-hati tau bila abang tak ada. Jangan buka pintu kalau tak tahu siapa. Nanti kena santau, merana abang pula nanti,” pesan Rahimi.

“Ish abang ni. Ke situ pula dia fikir. Jangan risaulah abang. Kami bertiga selamat di sini. Dahlah. Jom kita keluar sekarang,” ajak Airina.


***************


“Perlu ke abang pergi kerja?” tanya Khairul secara tiba-tiba.

Pelukan masih belum dilepaskan. Lengan Khairul dipukul Izwani.

“Abang jangan macam ni. Kalau abang tak kerja, macam mana masa depan kita?” geram Izwani namun nadanya masih dikawalnya.

“Abang rasa sedih je nak berpisah dengan kesayangan abang ni. Macam mana jika sesuatu berlaku semasa abang tiada nanti?”

Sekali lagi lengan Khairul dipukul oleh Izwani.

“Janganlah doa macam tu. Tak baik tau. InsyaAllah kami selamat di sini. Abang jangan risau ye. Tumpukan pada kerja tu,” pesan Izwani.

“Yelah yelah,” monyok muka Khairul.

“Comellah sangat muka dia tu. Jomlah keluar sekarang,” tangan Khairul ditariknya ke pintu.

“Nanti dulu. Bagi abang cium ayang dulu,”

Khairul memegang kedua-dua belah pipi Izwani yang sudah kaku itu lalu menyembamkan bibirnya pada dahi Izwani. Izwani yang memejamkan matanya dengan erat, membuka matanya semula apabila kucupan itu dileraikan.



Di hadapan pintu rumah, sang isteri menyalam tangan sang suami.

“Hati-hati memandu ye, abang,” pesan Sofea sambil menghulurkan beg kerja Hakim.

“Jangan risau sayang. Jaga diri ye,” balas Hakim sambil memegang pipi Sofea.

“Abang jangan curi tulang pula tau. Kerja dengan jujur ye. Hati-hati guna mesin di situ,” panjang lebar leteran Izwani.

“Ye sayang. Abang berusaha cari rezeki halal untuk masa depan kita. Ayang pun jangan nak keluar rumah pula tau,” kedua-dua pipi Izwani dicubitnya.

“Jangan risaulah abang,” Izwani membalas balik dengan mencubit pipi Khairul.

“Kerja elok-elok ye abang,” pesan Airina.

“Sayang pun elok-elok duduk rumah ye. Ada apa-apa terus call abang. Jangan nak fikir dua tiga kali. Terus call saja,” ujar Rahimi sambil memegang erat tangan Airina.

“Baik abang,” akur Airina.

“Assalamualaikum,” serentak sang suami.

“Waalaikummussalam,” jawab sang isteri.

Selepas kelibat sang suami hilang, Izwani terus mengunci pintu rumah. Tudung diletakkan di atas sofa. Begitu juga dengan Sofea dan Airina.

“Leganya dapat membebaskan kepala ni,” ceria suara Airina sambil mengikat rambutnya yang paras dada itu.

“Lama sangat dia terperuk. Bagilah dia kebebasan sekejap,” kata Izwani sambil meramas-ramas rambutnya yang berada di paras bahunya itu.

“Ada-ada saja korang ni. Jadi, kita nak kemas di mana dulu?” soal Sofea.

“Apa kata kita kemas bilik masing-masing dulu. Lepas tu, baru kita kemas di ruang tamu, ruang solat dan ruang dapur,” cadang Izwani.

“Bagus juga idea tu. Beg semalam pun tak sempat nak kemas lagi,” sokong Airina.

Lalu mereka memulakan tanggungjawab mereka.




<BAB 3          BAB 5>

No comments:

Post a Comment