Monday, November 26, 2018

NOVEL : APARTMENT (BAB 19)

NOVEL : APARTMENT


BAB 19

“Papa!”

Sarah dan Sofea terus mendakap Dato’ Khalid sambil berlinangan air mata.

“Maafkan kami, papa,” sebak mereka.

“Papa pun nak minta maaf juga pada Sarah dan Sofea. Terima kasih kerana masih sudi datang sini,” ujar Dato’ Khalid.

“Mestilah papa. Di sinilah tempat Sarah dibesarkan. Di sini jugalah Sarah diberi kasih sayang oleh seorang ayah dan seorang ibu,” pelukan sudah dileraikan.

Sofea hanya senyum mendengar kata-kata Sarah. Dato’ Khalid perasan dengan mimik muka yang dibuat oleh Sofea lalu didekatkan dirinya dengan Sofea.

“Maafkan papa, Sofea kerana selama ini gagal menjalankan tanggungjawab papa sebagai seorang ayah. Walaupun Sofea hanya anak angkat papa, tapi papa melayan Sofea seperti orang luar sepanjang Sofea tinggal di sini. Maafkan papa, Sofea,” kedua-dua tangan Sofea dipegang erat oleh Dato’ Khalid.

Sofea menggelengkan kepalanya.

“Walaupun begitu, papa dan mama masih memberi keperluan dan kehendak Sofea. Tempat berlindung pun papa dan mama sediakan. Sofea sudah bersyukur kerana papa dan mama masih menerima Sofea sebagai anak selama ni. Terima kasih papa, mama,” senyum Sofea walaupun air matanya mengalir di pipi.

Tubuh Sofea dipeluk erat oleh Dato’ Khalid dan Datin Rasnah. Sungguh mereka sedih dan menyesal atas layanan yang diberikan kepada anak yang sudah kehilangan tempat bergantung itu.

Sarah yang melihat dari tepi hanya tersenyum melihat adik angkatnya itu. Dia turut bersyukur kerana adiknya itu tidak berdendam dengan keluarganya.

Tiba-tiba Sarah terasa air yang mengalir pada pahanya. Matanya tertumpu pada kakinya. Perutnya mula terasa sakit.

“Auch!” jeritan Sarah menyebabkan seisi rumah memandangnya.

Shukri sudah berada di sebelah isterinya. Bahu Sarah dipeluk kemas.

“Kenapa ni, sayang?” cemas Shukri.

“Sa..kit..,” adu Sarah.

“Air ketuban dah pecah tu. Cepat bawa Sarah ke hospital!” arah Datin Rasnah apabila melihat air pada kaki Sarah.


***************


“Alhamdulillah. Puan Sarah selamat melahirkan bayi perempuan. Ibu dan bayi kedua-duanya selamat dan dalam keadaan stabil,” lega semua apabila mendengar berita yang disampaikan oleh doktor yang menjadi bidan kepada Sarah.



Di dalam wad VIP bilik bernombor 4, kedengaran agak kecoh dengan suara penghuni di dalam bilik tersebut.

“Tahniah, kak Sarah kerana sudah bergelar ibu,” ucap Sofea sambil menggenggam tangan kanan Sarah yang terlantar pada katil itu.

“Terima kasih, Sofea. Tak lama lagi kamu pula ye,” usik Sarah.

“Comelnya cucu atuk ni,” seronok Dato’ Khalid memangku cucunya itu.

“Tahniah, biras,” bahu Shukri ditepuk perlahan oleh Hakim.

“Nanti kamu pula, Hakim. Bersedialah,” terangkat kening Shukri untuk mengusik Hakim.

“Lama dah bersedia ni,” gelak Hakim dan Shukri serentak.

“Alhamdulillah,” bergenang air mata Datin Rasnah melihat keluarga besarnya.

Sungguh dia bersyukur dikurniakan keluarga bahagia itu.



***************


Ke hadapan, cucu-cucu nenek yang disayangi,

Apabila surat ini dibaca, bermakna nenek sudah tiada di dunia ini. Terima kasih Airina dan Aiman kerana masih hidup dan sudi berjumpa dengan nenek.

Terima kasih juga kerana menjaga nenek sehingga ke akhir hayat nenek. Nenek bahagia sepanjang bersama-sama dengan cucu-cucu nenek ni.

Nenek doakan semoga Airina dan Aiman bahagia bersama-sama dengan orang tersayang. Walaupun kami sudah tiada di dunia ini, ketahuilah bahawa masih ada lagi orang yang menyayangi dan memerlukan Airina dan Aiman dalam dunia ini.

Jangan melupakan kewajipan Airina dan Aiman kepada Tuhan. Jangan lupa untuk mendoakan kami. Maafkan nenek kerana tidak memberitahu tempoh hayat nenek kerana nenek enggan melihat kamu berdua bersedih nanti.

Akhir kata, nenek, atuk, ayah dan ibu kamu berdua amat menyayangi Airina dan Aiman. Maafkan kami kerana meninggalkan kamu berdua. Terima kasih kerana pernah muncul dalam hidup kami.



Sayang,
NENEK



***************


Airina masih teringat dengan isi kandungan surat yang ditulis oleh neneknya itu sebelum nenek pergi buat selama-lamanya. Airina mendongakkan kepalanya untuk melihat langit biru.

Angin yang bertiup tidak mengganggu lamunan Airina. Sesekali, perutnya yang berusia 5 bulan itu diusapnya dengan lembut.

“Airina, buat apa di luar ni sorang-sorang? Kenapa tak masuk rumah ni?” soal Dato’ Osman Lee sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah Airina.

Airina mengalihkan pandangannya pada atuk kepada suaminya itu.

“Saja Rin nak ambil angin, grandpa. Boleh juga tunggu abang Rahim pulang dari kerja,” ujar Airina.

“Rindukan suamilah tu,” usik Dato’ Osman Lee menyebabkan muka Airina berubah menjadi merah.

“Grandpa sangat bersyukur kerana Rahim bertemu dengan isteri sebaik Rin. Kalau Rin nak tahu, sebenarnya, Rahim tidak percaya sesiapa pun selepas daddy dan mummynya pergi ke US meninggalkannya bersendirian di sini. Rahim menjadi sangat dingin sampaikan semua orang takut untuk menegurnya,” cerita Dato’ Osman Lee.

“Ye ke? Kenapa masa Rin jumpa dengan abang, dia tak dingin pun dengan Rin?” pelik Airina.

Teringat sewaktu pertama kali mereka bertemu. Rahimi sentiasa mengukir senyuman memandangnya.

Dato’ Osman Lee tersenyum.

“Grandpa rasa, Rahimi jatuh cinta pandangan pertama dengan Rin. Sebab itu, Rahim melayan Rin dengan baik,” semakin merah muka Airina.

“Emm..grandpa, kalau dulu sikap abang dingin, macam mana abang boleh setuju untuk berkahwin dengan Rin?” soal Airina.

“Sebenarnya, grandpa yang aturkan semuanya. Selepas grandpa tahu yang Rahim akan dihukum mati, grandpa harap ada seseorang yang akan menyayanginya sebelum akhir hayatnya memandangkan mummy dan daddynya masih di US. 

Sewaktu grandpa yang uruskan masalah adik Rin, grandpa mendapat idea untuk menjadikan Rin sebagai peneman hidup Rahim. Ketika itu, Rahim hanya akur sahaja memandangkan masanya pun semakin suntuk. 

Alhamdulillah Rahim dipanjangkan umur dan sedang bahagia bersama-sama dengan isteri tercintanya,” pipi Airina dicubit dengan lembut.

“Rin pun sudah jatuh cinta pandangan pertama dengan abang Rahim. Bila Rin tahu yang abang akan dihukum mati, Rin sangat sedih kerana waktu itu, Rin telah pun jatuh cinta pada suami Rin sendiri. Rin tak sanggup untuk kehilangannya. 

Rin sentiasa berdoa. Alhamdulillah, Allah mendengar doa Rin dan akhirnya, abang kesayangan Rin masih ada di sisi Rin,” ujar Airina bercerita sambil kepalanya terdongak memandang langit biru.

Airina terasa pinggangnya dipeluk dari belakang lantas dia terus berpaling ke belakang. Terkejut dia melihat wajah suaminya manakala Dato’ Osman Lee sudah hilang.

Rahimi merehatkan dagunya di atas bahu kanan isterinya.

“Terima kasih sayang kerana sentiasa bersama-sama dengan abang. Terima kasih juga kerana mencintai abang selama ni. Abang pun cintakan sayang,” kucupan diberikan pada pipi kanan Airina.

Perut Airina diusap dengan lembut. Lebar senyuman Airina ketika itu.

“Terima kasih juga pada abang kerana menyayangi Airina selama ni walaupun Airina masih muda dan masih belajar menjadi isteri yang baik dan solehah untuk abang,” kucupan dibalas pada pipi kiri Rahimi.

“Abang sangat bersyukur kerana dikurniakan isteri yang baik, cantik, setia dan solehah seperti sayang ni. Sayang, jom masuk rumah. Bila lama-lama kat sini, sejuk pula nanti,” lembut suara Rahimi berbisik pada telinga isterinya.

Geli Airina dengan hembusan nafas suaminya walaupun dia bertudung, dapat juga tertembus masuk ke telinganya.


“Jom, abang,” dengan memeluk lengan suaminya, Airina dan Rahimi melangkah masuk ke dalam rumah.





<BAB 15          BAB 17>

No comments:

Post a Comment