NOVEL : APARTMENT
BAB 16
Encik Said mendekati menantunya yang sedang duduk di kerusi rotan
di luar rumah. Lamunan Khairul terganggu apabila terasa bahunya disentuh lalu
matanya teralih pada susuk badan yang sedang duduk di sebelahnya.
“Oh, ayah. Maaf Khairul tak perasan ayah,” kata Khairul.
“Khairul, ayah nak minta maaf sebab tidak percayakan kata-kata
Khairul dulu. Malah, ayah juga tergamak menampar Khairul dan mengusir Khairul
keluar dari rumah ayah. Ayah sangat menyesal atas perbuatan ayah pada Khairul. Betul
kata Khairul dan Izwani.
Tak sangka si Faiz tu keldai dadah. Semalam, Faiz
telah ditangkap polis kerana disyaki mengedar dadah. Ayah menyesal kerana
hampir saja ayah memusnahkan masa depan anak kesayangan ayah,” sebak Encik
Said.
Khairul memeluk tubuh lelaki tua itu.
“Khairul juga nak minta maaf juga kerana telah melarikan anak ayah
dan memisahkan seorang anak dengan ibu bapa kandungnya. Maafkan Khairul, ayah,”
balas Khairul.
Belakang Khairul ditepuk dengan perlahan.
“Kalau bukan disebabkan Khairul, pasti anak ayah sedang merana
ketika ini. Terima kasih Khairul kerana menjaga dan menerima anak ayah sebagai
isteri Khairul,” pelukan dilepaskan.
“Sebenarnya, anak ayah yang telah melarikan Khairul tau. Khairul
risau dia bertindak di luar jangkaan jika Khairul tidak lari bersama dengannya.
Jadi, Khairul pun hanya ikut plannya saja,” jujur Khairul.
“Ayah faham. Faham sangat dengan perangai anak ayah tu. Suka
sangat bertindak di luar pemikiran kita. Kadang-kadang, pening juga kepala nak
melayan dia. Macam mana Khairul tahan dengan sikapnya?” ragu Encik Said.
Khairul mula menggosok belakang lehernya.
“Sebenarnya, sudah lama Khairul suka dengan anak ayah tu. Cuma,
Khairul tak berani nak melamar dia sebab Khairul tahu dia tidak sukakan
Khairul. Khairul takut jika Wani menolak lamaran Khairul. Tapi, dengan izin
Allah, kami disatukan akhirnya,” senyum Khairul membayangkan wajah isterinya.
Bahu Khairul dipeluk erat oleh Encik Said.
“Macam mana Khairul pasti yang anak ayah tu akan menolak lamaran
Khairul? Mungkin dia juga ada hati dengan Khairul?” usik Encik Said.
Kata-kata ayah mertuanya membuatkan Khairul berfikir panjang.
Betul ke Izwani akan menerima lamarannya? Betul ke Izwani tidak akan melarikan
dirinya jika dia yang datang meminang Izwani?
Fikiran Khairul terganggu apabila terdengar suara Izwani dari
pintu rumah.
“Dekat sini rupa-rupanya ayah dan abang. Puas Wani cari tadi. Dah
malam ni. Kenapa masih duduk di luar ni? Mak dah bising tu sebab kelibat ayah
dan abang masih tidak nampak sejak keluar pergi surau tadi. Masuklah sekarang,”
bebel Izwani.
Itulah namanya ibu mengandung. Sikapnya selalu berubah-ubah. Encik
Said dan Khairul hanya mendengar bebelan itu sebelum masuk ke dalam rumah.
Selepas mengunci pintu rumah, Khairul merangkul pinggang isterinya
menuju ke bilik mereka. Badan mereka rebah di atas katil. Khairul memandang
wajah isterinya. Sesekali, tangannya naik untuk mengusap pipi dan rambut
isterinya itu.
“Kenapa ni, abang?” pelik Izwani dengan sikap Khairul itu.
“Sayang cintakan abang tak?” soal Khairul, tajam memandang mata
isterinya.
“Mestilah sayang cintakan abang. Takkanlah sayang tak cintakan
abang. Abanglah satu-satunya lelaki yang ada di dalam hati sayang tau,” lebar
senyuman Izwani sambil memeluk pinggang suaminya.
Gembira Khairul sebelum membalas pelukan Izwani. Dahi Izwani
dikucup lama.
“Terima kasih, sayang. Abang pun cintakan sayang juga,” lembut
suara Khairul berbisik pada telinga Izwani.
Lebar senyuman Izwani mendengar ucapan Khairul yang bernada romantik
itu.
***************
Air mata Airina mengalir memandang kubur yang kelihatan baru itu. Talkin
yang dibaca ketika itu seperti tidak didengarinya. Sungguh dia tidak menyangka pemergian
orang yang dia sayangi itu. Wajah ceria neneknya mula bermain-main di dalam
ingatannya. Sepanjang lima hari dia bersama-sama dengan nenek, ternyata Allah
lebih menyayangi nenek.
Teringat sewaktu Airina masuk ke dalam bilik neneknya untuk
mengejutkan neneknya ketika masuk waktu Subuh. Wajah neneknya yang sedang
terlelap di atas katil dengan senyuman terukir di bibir itu amat meluluhkan
hati Airina. Ketika itu, neneknya sudah tiada lagi.
“Kakak…,” Aiman memeluk bahu Airina yang sedang teresak-esak itu.
“Allah lebih sayangkan nenek. Allah bagi kita lima hari supaya
kita dapat merasai kasih sayang seorang nenek pada cucunya. Nenek telah memberi
kita kasih sayang itu. Kita juga telah melakukan tanggungjawab kita sebagai
cucu untuk menjaganya. Kita harus redha, kak,” sebak Aiman.
Kata-kata doktor yang merawat neneknya tempoh hari mula
terngiang-ngiang di dalam kepalanya.
“Maafkan saya.
Pesakit sudah menasihatkan saya supaya tidak memberitahu keluarganya bahawa dia
hanya boleh hidup selama seminggu sahaja. Namun, lima hari sahaja dia dapat
bertahan. Pesakit juga sempat menulis surat ini untuk keluarganya,” kata doktor
itu sambil menghulurkan sepucuk surat kepada Airina.
“Malam ni, kita buat tahlil dan bacaan Yaasin untuk nenek di rumah
daddy ye, sayang,” pujuk Rahimi selepas Aiman beralih kepada isterinya yang
turut menangis itu.
Selepas menyirami kubur dengan air bunga dan mengaminkan doa yang
diketuai oleh Rahimi, mereka beredar dari kubur neneknya yang terletak
bersebelahan dengan atuknya.
Pada malam itu, saudara-mara keluarga Rahimi dan keluarga Salina
serta sahabat-sahabat terdekat turut hadir pada majlis tahlil itu.
“Rin!” sahabat baik Airina terus memeluk tubuh Airina dengan erat.
Air mata mereka bertiga mula mengalir.
“Banyakkan berdoa, Rin. Jangan sedih-sedih macam ni. Nanti orang
tersayang Rin juga turut bersedih,” kata Sofea sambil mengesat air mata Airina
yang mengalir di pipi merahnya itu.
“Betul tu, Rin. Lagipun, Rin kan sedang mengandung. Tak baik untuk
kesihatan Rin. Kesian anak Rin nanti,” pujuk Izwani sambil mengusap belakang
Airina.
“Sofea..Wani,” Airina memeluk erat tubuh sahabatnya itu.
“Dah-dah. Buruklah nanti muka Rin. Malulah orang tengok,” usik
Sofea.
Tergelak kecil Airina mendengar seloroh Sofea.
“Rindu kat korang. Terima kasih datang jauh-jauh ni,” senyum
Airina selepas melepaskan pelukan itu.
“Sama-sama. Kamikan dah anggap Rin macam adik-beradik kami.
Mestilah kami ada bila Rin memerlukan kami,” lebar senyuman Izwani.
Dari jauh, sang suami sedang memerhatikan isteri masing-masing.
“Terima kasih Hakim, Khairul sebab sanggup datang sini. Saya rasa
risau sebab Airina asyik bersedih saja,” luah Rahimi pada sahabatnya itu.
“Kami sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaan mereka. Kan itu
janji kita, Rahim,” kata Khairul sambil memeluk erat bahu Rahimi dan Hakim.
“Nanti bila kami susah, kau pula yang akan bantu kami kan,” ujar
Hakim.
Rahimi tersenyum sambil mengangggukkan kepalanya.
“Saya sangat menghargainya. Lega rasanya melihat senyuman dia,”
senyum Rahimi apabila melihat wajah Airina tersenyum itu.
Tetamu yang hadir mula pulang ke rumah masing-masing. Aiman
mendekati abang iparnya yang sedang rancak berbual-bual dengan sahabat baiknya
itu.
“Abang Rahim, mummy abang suruh masuk rumah sekarang. Sudah lewat
malam dah ni. Abang Hakim dan Abang Khairul sekali,” ujar Aiman.
Hakim melihat jam tangannya pada tangan kiri.
“Ya Allah! Sudah pukul 12 tengah malam. Lamanya kita borak,”
terkejut Hakim.
“Ye ke? Masih ada lagi ke hotel yang buka waktu ni?” risau
Khairul.
“Tak perlu tidur di hotel. Tidur di rumah pakcik saja,” pelawa
Dato’ Ahmad Lee yang tiba-tiba muncul di belakang Aiman.
“Tapi, kami tak nak menyusahkan pakcik,” bersalah Hakim.
“Aiman rasa, Abang Hakim dan Abang Khairul kena tidur di sini juga
sebab isteri-isteri abang sudah tertidur di bilik tetamu tingkat bawah,” celah
Aiman.
“Tidur?” terkejut mereka.
Pintu bilik tetamu di tingkat bawah dibuka sedikit. Kelihatan
Sofea, Airina, Izwani dan Shalina yang masih bertudung sudah tertidur dengan
lenanya di atas katil bersaiz king itu.
Pintu ditutup semula.
“Nampaknya, korang kena tidur kat sini juga,” sengih Rahimi.
“Kesian mereka. Salah kita juga sebab leka sampai tertidur mereka
menunggu suami habis berborak,” kata Khairul sambil menggosok belakang
lehernya.
“Kat atas ada bilik kosong. Korang tidurlah kat atas. Aiman
sekali,” ujar Rahimi sambil menunding jarinya pada bilik yang berada di tingkat
satu.
“Tak apalah, Rahim. Saya tidur di atas sofa bawah ni saja,”
serentak itu, Khairul membaringkan tubuhnya di atas sofa yang berada di ruang
tamu itu.
“Saya pula tidur di sini saja,” kata Hakim sambil menunding pada
karpet di bahagian depan televisyen itu.
“Jadi, Aiman tidur di bilik atas sorang?” soal Aiman.
Pertanyaan Aiman disambut dengan anggukan Hakim dan Khairul.
“Nanti saya bagi korang selimut dan bantal,” kata Rahimi sebelum
naik ke tingkat atas.
No comments:
Post a Comment