Tuesday, November 13, 2018

NOVEL : APARTMENT (BAB 1)

NOVEL : APARTMENT

BAB 1



Di dalam sebuah restoran KFC, kelihatan Nur Airina sedang memegang telefon bimbitnya. Airina terasa bahunya disentuh lalu dia menoleh ke belakang.

“Wani!”

Menjerit Airina lantas terus berdiri dan memeluk erat Nurul Izwani.

“Tak nak peluk saya juga ke?”

Airina ternampak susuk badan seseorang yang berada di belakang Izwani. 

Matanya mula terbuka besar.

“Sofea!!”

Mereka bertiga saling berpelukan. Air mata masing-masing mula mengalir.

“Sudah 5 tahun kita tak bertemu. Rindunya kat korang,”

Izwani memulakan perbualan mereka selepas pelukan dileraikan.

“Lama sungguh tak jumpa korang. Mari kita duduk dan ber’gosip’ jap,” pelawa Airina lalu mereka bertiga duduk di kerusi bersebelahan dengan tingkap restoran itu.

“Rin dan Wani sihat ke?” tanya Sofea sambil menghulurkan tisu pada kawan-kawannya.

“Alhamdulillah sihat,” serentak Airina dan Izwani menjawab.

Tisu tersebut dikesat pada mata mereka. Geli hati mereka apabila perbuatan mereka itu dilakukan serentak.

“Rindunya masa kita tinggal sama-sama dulu. Kuasa Allah telah menemukan kita malah mendekatkan kita padaNya dan pada suami kita,” kata Airina sambil tersenyum.

“Kenapa awak tersengih sorang-sorang ni, Wani? Tak nak kongsi dengan kami ke?” soal Sofea apabila melihat Izwani tersengih tiba-tiba.

“Saya tiba-tiba teringat semasa kita berjumpa buat pertama kali di pangsapuri tu. Wajah kita bertiga sama-sama pucat waktu tu,” Izwani mula bercerita.

“Saya terkejut sebab nampak mata awak merah sangat. Saya ingatkan awak kena dera dengan suami dan awak menangis sampai mata awak merah macam tu,” ujar Airina.

“Betul tu. Saya pun ingatkan begitu juga,” sokong Sofea.

“Saya pula terkejut lihat leher suami Rin seperti dijerut tali dan lihat suami Sofea yang dingin dan bengis dengan kesan terbakar pada wajahnya. Saya ingatkan Rin ni ‘dera’ suami dia,” kata Izwani sambil mengelengkan kepalanya apabila teringat pertemuan pertama mereka.

“Saya pula ingat Sofea ni kahwin dengan suaminya sebab berjaya ‘jinak’kan dia. Sekali pandang suaminya, macam seorang mafia, kan,” Airina mula menyampuk.

“Ish korang ni. Masing-masing mesti ada tanggapan sendiri. Maklumlah. Waktu tu baru pertama kali kita bertemu, kan,”

Mereka bertiga mula mengimbau kisah pertemuan mereka sehingga mereka seakrab ini.




5 tahun yang lepas, sebuah motorsikal terletak kemas di tempat letak motor. Nurul Izwani yang menjadi pembonceng turun dari motor Honda tersebut. Lelaki yang menunggang motor tersebut memandang Izwani yang sedang berusaha menanggalkan helmetnya namun gagal.

Lelaki tersebut berasa geli hati, namun ditahan sahaja ketawanya daripada meletus. Dia membantu Izwani menanggalkan helmet selepas menekan punat pada dagu Izwani.

Izwani yang terasa tangan lelaki tersebut menyentuh dagunya terus menjadi kaku. Helmet tersebut ditanggalkan oleh lelaki itu sebelum dipegangnya pada tangan kiri. Begitu juga dengan helmetnya.

“Baiklah. Mari kita pergi tengok rumah baru kita,” senyum lelaki itu sambil menarik tangan kiri Izwani supaya mereka tidak berpisah.

Dengan menaiki lif, mereka tiba di tingkat 10. Lelaki itu membuka pintu sebuah rumah yang bernombor 2-10-3 menggunakan kunci yang dimilikinya selepas melepaskan genggaman tangan Izwani.

Pintu rumah itu dibukanya.

“Assalamualaikum,” lelaki itu memberi salam sebelum melangkah masuk diikuti Izwani.

“Besar juga rumah ini. Agak selesa untuk kita tinggal,” senyum lelaki itu sambil berjalan memeriksa setiap bilik di rumah itu.

Rumah tersebut mempunyai tiga bilik. Setiap bilik mempunyai bilik air masing-masing. Ruang tamu dan ruang dapur juga agak selesa. Izwani meletakkan beg galasnya di atas sofa yang berada di ruang tamu itu.

“Assalamulaikum,” tersentak Izwani apabila terdengar suara yang lembut memberi salam.

Izwani melihat empat susuk badan berdiri di depan pintu lalu dia berjalan ke arah mereka.

“Waalaikummussalam,” jawab Izwani.

Matanya terbeliak apabila melihat pada jejaka yang berdiri di sebelah salah seorang gadis itu. Leher jejaka tersebut mempunyai tanda seperti dijerut tali. 

Manakala, seorang jejaka lagi yang berdiri di sebelah gadis yang satu lagi, wajahnya penuh parut seperti terbakar.

Mata kedua-dua gadis itu juga agak terbeliak apabila ternampak mata Izwani yang merah seperti baru selesai menangis. Lamunan Izwani terganggu apabila terasa bahunya mula berat.

“Waalaikummussalam. Jadi, kalian ini juga akan tinggal di sini ye? Nama saya Muhammad Khairul dan ini isteri saya, Nurul Izwani,” kata Khairul yang sedang memeluk bahu Izwani sambil menghulurkan tangannya pada jejaka yang mempunyai kesan jerutan pada lehernya.

“Nama saya Ahmad Rahimi dan ini isteri saya, Nur Airina,” Rahimi menyambut salam Khairul.

Kemudian, tangan Khairul dihulurkan pada jejaka parut pula. Walaupun salamnya disambut, namun pertanyaan Khairul tidak dijawab oleh jejaka parut itu.

“Nama dia Abdul Hakim dan saya isterinya, Nor Sofea,” Sofea menjawab soalan Khairul bagi pihak suaminya.

Senyuman langsung tidak dipamerkan pada wajah jejaka parut itu. Izwani, Airina dan Sofea saling bersalaman.

“Saya sudah meronda rumah ini. Ada tiga bilik dan setiap bilik ada bilik air sendiri. Dapur, ruang tamu dan ruang solat juga tersedia. Ketiga-tiga bilik nampak sama je. Yang bilik ketiga tu saya sudah letak barang saya. Kalau ada yang nak tukar bilik, kami boleh berpindah ke bilik lain,” panjang lebar Khairul menerangkan pada mereka.

Jejaka parut itu mula berjalan dan terus masuk ke bilik pertama.

“Err..kami pun tak kisah. Maaf. Suami saya agak penat sebab memandu lama sangat tadi,” teragak-agak Sofea mencari alasan atas tindakan suaminya itu.

“Saya pun tidak kisah bilik mana-mana pun. Kami masuk bilik kedua dulu ye,” pinta Rahimi.

“Baiklah kalau begitu,” angguk Khairul.

Lalu ketiga-tiga pasangan itu masuk ke dalam bilik masing-masing.

Sofea memandang tubuh suaminya yang sudah terbaring di atas katil. Mata suaminya itu sudah terpejam.

‘Mungkin penat memandu tadi,’  

Sofea hanya bersangka baik lalu meletakkan bagasinya di tepi dinding.


***************

“Kenapa lelaki tu macam sombong je?” merungut Rahimi sambil membuka butang kemejanya.

“Tak baik kita buruk sangka. Mungkin benar apa yang dikatakan isterinya. Mungkin dia penat memandu. Entah-entah mereka dari utara kut untuk sampai ke Kota Damansara ni,” balas Airina yang sudah duduk di birai katil.


***************

“Kenapa awak tak beritahu saya yang ada orang lain tinggal di rumah ini juga?” soal Izwani pada suaminya yang sedang terbaring di atas katil itu.

“Mula-mula saya tak tahu juga. Tiba-tiba saja tuan rumah sewa ni beritahu saya pagi tadi. Saya pun tak sangka juga mereka tu pasangan suami isteri. Baguslah. Taklah isteri saya ni bosan bila saya pergi kerja nanti,” senyum senget Khairul sambil memandang wajah isterinya yang sudah berona merah itu.

Sudahlah matanya merah, bila wajah Izwani merah, seperti udang bakar pula.

“A..awak, saya nak ke dapur jap. Nak tengok apa yang ada,” Izwani terus keluar dari biliknya tanpa menunggu balasan suaminya.

Dadanya dipegang. Terasa jantungnya mula berdegup kencang.

“Eh? Awak ni kenapa, Izwani?” soal Airina apabila ternampak muka Izwani yang merah.

Izwani menoleh ke arah Airina sambil menggelengkan kepalanya.

“Tak..tak ada apa-apalah,” balas Izwani.

“Eh? Kalian berdua pun ada di luar juga?” tegur Sofea selepas menutup biliknya.

“Nampaknya kita bertiga ada firasat nak ke dapur ye,” tersenyum Izwani melihat Sofea dan Izwani.

“Kitakan sudah menjadi isteri orang. Kenalah jalankan tanggungjawab kita pada suami,” kata Izwani sambil ketawa kecil.

Mereka bertiga berjalan masuk ke dapur.



“Korang, panggil saya Wani je. Saya lebih selesa dipanggil Wani,” kata Izwani pada Sofea dan Airina.

“Kalau begitu, panggil saya Rin je,” balas Airina pula.

“Sofea? Nak kami panggil awak apa?” soal Izwani pada Sofea.

“Panggil saya Sofea je,” jawab Sofea.

“Boleh saya tahu umur kalian berapa? Umur saya 21 tahun,” soal pula Airina.

“Samalah,” serentak Sofea dan Izwani.

Mereka bertiga ketawa serentak. Muda lagi mereka tetapi sudah digelar isteri.



“Nampaknya, di dapur ini tiada apa-apa yang boleh dimakan untuk malam ni,” kata Izwani selepas memeriksa kabinet di atas.

“Betul tu. Tetapi, semua kelengkapan untuk memasak ada tersedia seperti periuk, kuali, senduk, sudip dan lain-lain,” ujar Airina pula selepas selesai memeriksa kabinet bawah.

“Nampaknya kita kena pergi pasaraya untuk beli barang basah. Peti sejuk ini pun kosong,” sokong Sofea selepas menutup peti sejuk.

“Apa kata kita keluar sekarang? Sekarang sudah pukul 5.30 petang. Sempat kita balik sebelum Maghrib. Tadi saya ada nampak Giant berdekatan dengan pangsapuri ni,” kata Izwani memberi cadangan.

“Kita nak naik apa? Jalan kaki?” soal Airina pula.

“Biar saya cuba tanya suami saya jika dia beri saya pinjam keretanya. Lagipun, saya ada lesen kereta,” jawab Sofea.

“Tapi, yang penting kita kena minta izin suami kita dulu,” mengeluh Izwani.

“Harap mereka beri kebenaran. Jomlah kita minta izin sekarang. Nanti lewat pula kita balik,” kata Airina.

Mereka bertiga masuk ke bilik masing-masing.


***************

Sofea menelan air liurnya sebelum duduk melutut di atas lantai, bersebelahan dengan suaminya.

“Emm..awak..,” Sofea memanggil suaminya dengan lembut.

“Emm?” tegas nada Hakim membalas tanpa membuka matanya. Apatah lagi bergerak.

“Saya nak ke Giant jap. Saya keluar dengan Airina dan Izwani. Boleh awak benarkan saya pergi?” tanya Sofea, masih lembut percakapannya.

“Emm,” ringkas jawapan suaminya.

“Emm..awak..boleh saya pinjam kereta awak tak? Barang yang kami beli mungkin banyak. Jadi, kami tak mampu nak berjalan nanti. Boleh tak awak?” gugup Sofea menyatakan hasratnya pada Hakim.

Air liurnya sudah ditelan banyak kali menantikan jawapan dari suaminya.

“Emm..,” ringkas jawapan Hakim.

Muka Sofea mula ceria. Terus dikucup pipi kiri suaminya itu.

“Terima kasih, awak. Saya akan bawa kereta awak dengan berhati-hati. Kalau awak ada teringin nak makan apa-apa, awak mesej saya ye. Saya pergi dulu,” gembira Sofea.

Selepas mencapai kunci kereta di meja lampu tidur, Sofea terus keluar dari biliknya dengan menjinjing beg tangannya.

Terbuka mata Hakim selepas Sofea tiada di situ. Pipinya yang dikucup dipegangnya.

***************

“Awak, boleh izinkan saya keluar ke Giant?” tanya Airina selepas duduk di atas katil, bersebelahan dengan pembaringan Rahimi.

Rahimi memandang isterinya yang beria-ria meminta keizinan.

“Awak keluar dengan siapa?” soal Rahimi pula.

“Dengan Sofea dan Izwani. Kami nak beli barang basah sebab kat peti sejuk tiada makanan langsung. Kami cadang nak masak untuk makan malam nanti,” jawab Airina.

“Baiklah. Ambil RM200 dalam dompet saya. RM100 untuk keperluan dapur dan RM100 lagi untuk nafkah awak. Jangan pergi lama-lama tau,” pesan Rahimi.

“Terima kasih, awak. Awak, nak salam,” Airina menghulurkan tangannya pada Rahimi.

Lalu tangan kanan Rahimi dikucupnya sebelum keluar dari bilik tersebut.
Rahimi memandang belakang tangan kanannya lalu dirapatkan ke bibirnya.


***************


“Tak apa ke korang pergi bertiga saja? Nak saya temankan ke?” risau Khairul apabila mendengar kata-kata Izwani.

“Tak perlu, awak. Lagipun, dekat saja Giant tu. InsyaAllah kami tak berlama di sana. Boleh ye kalau saya pergi dengan mereka?” beria-ria Izwani meminta keizinan dari Khairul.

“Huh. Baiklah kalau itu yang awak nak. Pastikan telefon bawa. Kalau ada apa-apa, terus call saya. Saya akan datang secepat mungkin. Suruh Sofea tu pandu baik-baik. Risau jadi apa pula nanti,” kata Khairul dengan hati yang agak tidak rela.

“Jangan risau, awak. InsyaAllah kami selamat pergi dan selamat kembali. Doakan kami ye,” belum sempat Izwani melangkah, tangannya ditarik oleh Khairul.

“Duit yang saya bagi hari tu masih ada lagi ke? Kalau tak cukup, beritahu saya. Saya boleh bagi lagi,” kata Khairul.

“Ada lagi duit tu,”

“Jangan lupa baca ayat Kursi dan baca doa naik kenderaan sebelum bertolak,”

“Ye ye. Saya tahu awak. Jadi, boleh lepaskan tangan saya?” tanya Izwani sambil mengalihkan pandangannya pada tangan kanannya yang dipegang erat oleh Khairul.

“Awak tak nak salam suami awak ke?” sedih muka Khairul.

“Allah. Saya lupa pula. Mohon ampun, husband?” Izwani mengucup tangan kanan Khairul.

“Yelah. Hati-hati tau,” Khairul masih berpesan sehinggalah kelibat Izwani hilang dari pandangannya.

***************

“Jadi, boleh kita bertolak sekarang?” soal Sofea selepas melihat Izwani keluar dari biliknya.


“Boleh,” serentak Izwani dan Airina.




<SINOPSIS          BAB 2>

No comments:

Post a Comment