Tuesday, November 13, 2018

NOVEL : APARTMENT (BAB 6)

NOVEL : APARTMENT


BAB 6



“Selepas kami bertembung dengan kawan lama Khairul, dia mengajak Khairul untuk bekerja dengannya di Kota Damansara. Malah, dia juga nak bantu kami mencari rumah sewa memandangkan Khairul pernah membantunya semasa mereka berkenalan. 

Semasa dalam perjalanan ke rumah ni, tiba-tiba ada sebuah kereta melanggar motor Khairul dari belakang. Kami berdua terjatuh tapi Khairul sempat melindungi saya. Jadi, saya hanya cedera ringan sahaja. Yang saya sedihnya , Khairul sanggup melindungi saya walaupun dia tahu yang dia akan cedera. Puas saya memujuknya untuk ke klinik. 

Akhirnya, orang yang melanggar kami tu membawa kami ke klinik kerana saya sudah menangis dan berteriak di situ. Sebab itu mata saya merah semasa kita berjumpa,” panjang lebar Izwani bercerita.

“Wani berteriak di depan orang ramai?! Wah! Beraninya Wani,” tergamam Airina.

“Saya risaukan Khairul. Sebenarnya, Khairul cinta pertama saya tau. Tapi, korang jangan beritahu dia pula,” muka Izwani sudah mula merah.

“Cinta pertama?!” terkejut Airina dan Sofea.

“Jadi, Wani dapat kahwin dengan cinta pertama sendiri? Seronoknya,” kata Airina dalam nada yang agak cemburu.

“Saya pun pernah jatuh cinta pandangan pertama dengan penyelamat saya. Tapi, saya tak tahu siapa dia,” mengeluh Sofea.

“Penyelamat? Dia selamatkan Sofea dari apa?” soal Izwani.

“Semasa saya masih belajar di sekolah menengah, ada sekumpulan lelaki ganggu saya. Mereka ajak saya berseronok katanya. Saya kata tak nak tapi mereka mula menarik tangan saya. 

Saya menjerit meminta tolong. Tidak lama tu, ada seorang jejaka yang kacak muncul dan terus menyelamatkan saya. Dia belasah semua lelaki tu tau. 

Selepas tu, dia terus beredar je. Saya harap saya dapat berjumpa dengan dia untuk mengucapkan terima kasih,” tersenyum Sofea sambil bercerita.

“Cemburu pula suami Sofea nanti,” ujar Airina.

“Jangan risau. Sofea akan sentiasa setia dengan suami Sofea kerana dia juga pernah melindungi Sofea sampailah sekarang,” tiba-tiba sahaja wajah Sofea berubah menjadi muram.

“Kenapa ni, Sofea?” soal Izwani sambil mengusap belakang Sofea.

“Ceritalah pada kami,” kata Airina.

“Sebenarnya, Sofea juga sama dengan Wani. Kami berdua dipaksa kahwin,” Sofea mula membuka ceritanya.


***************


“Apa?! Anak Abdul Hisham tu nak kahwinkan anak dia dengan anak kita?” terkejut Datin Rasnah apabila mendengar berita dari mulut suaminya.

“Anak dia yang hodoh tu? Yang ada kesan terbakar pada muka dia tu? Tak ingin Sarah nak kahwin dengan dia, papa,” bantah Sarah.

“Kalau tak kahwin, syarikat papa akan bankrupt. Apa yang perlu kita buat sekarang?” tegas suara Dato’ Khalid itu.

Sofea yang sedang meletakkan dulang air di atas meja menyedari dirinya diperhatikan tiga beranak itu.

“Kenapa pandang Sofea macam tu?” pelik Sofea.

“Sofea, Sofea anggap kami macam apa?” tanya Datin Rasnah secara tiba-tiba.

Tangannya sudah mengusap tangan gadis itu.

“Err..saya anggap Dato’, Datin dan cik muda sebagai tuan saya,” jawab Sofea dalam nada yang agak takut.

“Sofea, mulai hari ini, anggap kami macam keluarga Sofea sendiri. Panggil saya, mama saja,” terkejut Sofea mendengar kata-kata Datin Rasnah itu.

“Betul tu, Sofea. Anggap saya macam kakak kandung Sofea sendiri ye,” menyampuk Sarah sambil memegang erat bahu Sofea.

“Dan panggil saya, papa, ye Sofea?”

Sofea mula ragu-ragu dengan perubahan yang mendadak itu. Selama ini, Sofea hanya dilayan sebagai orang gaji sahaja selepas kematian ibu bapanya. 

Datin Rasnah merupakan kakak kandung ibunya namun tidak pernah Sofea dilayan sebagai anak saudara kandungnya sendiri. Datin Rasnah terpaksa membela Sofea kerana menginginkan wasiat nenek Sofea sahaja.

“Baiklah papa, mama, kak Sarah,” Sofea hanya akur dengan permainan tiga beranak itu.



Beberapa hari kemudian, Sofea dibawa ke butik pengantin dan mencuba pelbagai jenis gaun pengantin.

“Kenapa mama dan kak Sarah bawa Sofea ke butik ni?” soal Sofea selepas selesai mencuba beberapa gaun pengantin itu.

“Ada orang datang merisik Sofea. Orangnya baik dan kacak. Keluarganya juga berpengaruh. Dia kata dia sudah jatuh hati dengan Sofea. Mama harap Sofea terima dia ye sebagai peneman hidup Sofea,” lembut sahaja bicara Datin Rasnah itu.

“Jadi, Sofea kena kahwin? Kenapa Sofea tak tahu apa-apa ni?” tanya Sofea kerana agak terkejut dengan berita yang disampaikan itu.

“Kami cadang nak buat kejutan pada Sofea. Sofea layan dia dengan baik-baik ye,” pesan Sarah pula.

“Kenapa bukan kak Sarah yang kahwin dulu?” pelik Sofea.

“Kakak masih belum puas nak berseronok lagi. Lagipun, mereka datang merisik kamu bukan merisik kakak,” Sarah mereka cerita untuk mengaburi mata Sofea.

Sofea tidak mampu untuk melawan kerana dia hanyalah seorang insan yang tidak mempunyai apa-apa. 

Akhirnya, Sofea menjadi isteri sah kepada Abdul Hakim dengan satu lafaz sahaja. Pada malam hari nikahnya, Sofea amat terkejut melihat muka suaminya yang penuh dengan kesan terbakar itu.

Tanpa kata apa-apa, Hakim terus baring ke atas sofa dan mula melelapkan matanya.

“Awak, tak apa ke saya tidur atas katil ni?” soal Sofea.

“Emm,” ringkas sungguh jawapan suaminya itu.

Pada malam itu, Sofea dan Hakim tidur sebilik namun bukan sekatil.



Dua hari kemudian, Sofea terdengar perbualan di antara ayah mertuanya dan juga papanya semasa dia melalui bilik kerja Dato’ Khalid.

“Akhirnya kita menjadi besan. Nampaknya, pesaing kita mula tergugat bila kuasa kita berdua bergabung,” kata Dato’ Hisham.

“Saya pun gembira juga. Tak sangka anak kau nak kahwin. Setahu saya, dia tu tak suka menjadi tumpuan kerana wajahnya yang hodoh tu,” balas Dato’ Khalid.

“Mula-mula dia tak nak kahwin. Jadi, saya ada ugut dia sikit. Terus dia setuju. Hahaha,” terkejut Sofea mendengar kata-kata mereka.

Rupa-rupanya, Sofea dan suaminya hanyalah permainan untuk kedua-dua lelaki yang tidak berhati perut itu. Mereka hanya memikirkan kepentingan diri tanpa menghiraukan masa depan anak-anak yang masih muda ini.

Air mata Sofea mula mengalir. Terasa pipinya hangat lalu matanya teralih pada susuk badan di sebelahnya. 

Ternyata, Hakim juga mendengar perbualan tersebut. Wajah Hakim seperti terseksa sambil mengesat air mata Sofea.

“A..awak..,” terkejut Sofea melihat riak muka Hakim itu.

Hakim terus menarik tangan Sofea. Mereka keluar dari rumah itu. Dengan menaiki bas, mereka tiba di sebuah kedai runcit. 

Hakim memberi isyarat supaya Sofea masuk ke dalam kereta yang terletak di hadapan kedai runcit itu. Sofea hanya akur.

Hakim mula memandu sehinggalah mereka tiba di pangsapuri tersebut.


***************


“Awak kata apa?! Pengantin baru tu sudah keluar dari rumah ni?” sukar untuk Dato’ Khalid mempercayai kata-kata orang gajinya itu.

“Benar, Dato’. Bilik mereka sudah kosong. Tas tangan Puan Sofea juga sudah tiada,” takut orang gaji itu menjawab.

“Biarkanlah mereka pergi, Khalid. Mereka sudah tidak berguna lagi untuk kita. Lagipun, macam mana mereka nak teruskan hidup tanpa kita, kan? Mesti mereka menyesal nanti sebab meninggalkan kita,” kata Dato’ Hisham sebelum mereka berdua ketawa terbahak-bahak.


***************

“Sedihnya kisah korang. Dua-dua menjadi mangsa perniagaan ayah sendiri,” sebak Izwani.

“Saya masih tidak menganggap dia sebagai papa saya kerana dia dan keluarganya hanya mempermainkan kami sahaja,” geram Sofea walaupun air matanya masih mengalir.

“Bawa bertenang, Sofea,” Airina memegang erat tangan Sofea manakala Izwani mengusap belakang Sofea.

“Tapi, saya gembira kerana saya dapat bertemu dengan korang. Pertama kali saya rasa mempunyai keluarga sendiri selepas ibu bapa saya kemalangan dan meninggalkan saya bersendirian. 

Pernah saya terfikir mengapa ibu bapa saya pergi tanpa membawa saya sekali. Rupa-rupanya, ini yang ingin Allah tunjukkan pada saya, iaitu keluarga baru saya,” tersenyum Sofea sambil memandang Airina dan Izwani walaupun air matanya masih mengalir.

Mereka saling berpelukan.

“Saya juga bersyukur kerana dapat berjumpa dengan korang. Selama ini, saya tidak pernah bergaul dengan orang luar kerana saya sibuk menjaga adik lelaki saya,” kata Airina sambil mengesat air matanya.

“Rin tak pernah keluar rumah ke?” tanya Izwani, agak terkejut dengan pengakuan Airina.

“Kalau saya keluar pun, saya tidak akan bergaul dengan orang luar selain orang gaji saya dan adik lelaki saya,” jawab Airina.

“Kenapa sampai macam tu, Rin?” soal Sofea.

Air mata Airina mula mengalir. Terkejut Sofea dan Izwani. Tangan Airina dipegang erat oleh Sofea yang sudah duduk di atas karpet berhadapan dengan Airina manakala Izwani memeluk bahu Airina.

“Rin…ibu bapa Rin dibunuh oleh keluarga mereka sendiri. Sejak itu, Rin tak nak percayakan sesiapa kecuali orang gaji Rin yang sentiasa berada di sisi Rin sejak Rin lahir lagi dan adik lelaki Rin,” Airina mula membuka kisah silamnya.

“Ibu bapa kepada ayah saya, iaitu nenek dan atuk saya tidak setuju dengan hubungan ayah dengan ibu. Ayah membuat keputusan untuk larikan diri dari mereka. Mereka hidup bahagia sehinggalah adik lelaki saya lahir. 

Namun, kebahagiaan itu tak lama selepas nenek dan atuk dapat menjejaki kami. Untuk menyembunyikan kewujudan saya dan adik, mereka sanggup berpisah dengan kami tetapi, kemalangan berlaku dan mereka pergi buat selama-lamanya. 

Mula-mula saya tidak tahu kewujudan nenek dan atuk sehinggalah saya menjumpai diari ibu. Sungguh saya membenci mereka. Sanggup mereka melarang hubungan ayah dan ibu hanya kerana ibu bukan dari keluarga berada,” Airina makin teresak-esak.

Selepas Airina kembali tenang, Izwani mula menanyakan soalan kepada Airina.


“Jadi, macam mana Rin berjumpa dengan suami Rin?”




<BAB 5          BAB 7>

No comments:

Post a Comment