NOVEL : APARTMENT
BAB 20
“Abang, jom pergi ke tempat biasa kita lepak dulu. Rindulah tempat
tu,” pinta Izwani.
Lengan Khairul digoncang dengan lembut.
“Baiklah. Demi sayang, abang sanggup buat apa-apa. Beritahu mak
dan ayah dulu, baru kita pergi ye,” pesan Khairul.
“Yeay! Sayang abang,” pipi suaminya dikucup sekilas sebelum Izwani
terus ke bilik mak dan ayahnya.
Dengan menaiki kereta, Izwani dan Khairul tiba di pondok
kenangannya. Khairul membantu isterinya keluar dari kereta memandangkan
kandungan isterinya sudah mencecah usia 8 bulan.
Khairul dan Izwani melabuhkan punggung di pondok tersebut. Mereka
memandang pemandangan hijau yang berada di hadapan mereka.
“Tenangnya kat sini,” lebar senyuman Izwani.
Khairul turut tersenyum melihat isterinya gembira.
“Abang suka sangat tengok sayang senyum macam ni. Sejak dulu lagi
tau,” lembut suara Khairul sambil mengusap lembut pipi isterinya.
“Maksud abang?” pelik Izwani.
Mata mereka sudah bertembung antara satu sama lain.
“Sebenarnya, semasa abang berusia 13 tahun, abang sudah jatuh
cinta dengan sayang tau. Mula-mula abang tak perasan.
Tapi, bila abang tengok
ada lelaki lain cuba dekati sayang, abang jadi marah dan cemburu sehinggakan
abang sanggup mengugut mereka supaya jangan dekati dengan sayang lagi. Bila
sayang meluahkan perkara sedih pada abang, abang turut sedih.
Bila lihat sayang
menangis, abang rasa macam nak saja mengesat air mata sayang dan memeluk sayang
supaya sayang akan menangis pada bahu abang. Sebab tu, bila abang tahu yang
sayang akan berkahwin dengan Faiz, abang semakin marah dan cemburu sehinggakan
abang pernah terniat untuk membawa sayang kahwin lari dengan abang.
Tak sangka
pula kita betul-betul kahwin dengan keadaan agak memalukan tu. Mungkin Allah nak
menghukum abang sebab berniat begitu,” ujar Khairul.
“Lepas tu, sayang pula yang suruh abang bawa sayang lari dari
sini,” geli hati Izwani mendengar sambungan Khairul.
Air mata Izwani mula mengalir. Matanya mula memandang tangannya
yang berada di atas pahanya.
“Kenapa menangis ni, sayang? Abang ada tersilap cakap ke?” cemas
Khairul sambil mengesat air mata isterinya.
Izwani menggelengkan kepalanya. Matanya mula memandang mata
suaminya.
“Sebenarnya, abang juga merupakan cinta pandangan pertama sayang.
Sayang sentiasa berjumpa dengan abang di sini sebab sayang sangat rindukan
abang. Jika tak nampak muka abang sehari, sayang akan jadi tak keruan tau.
Sebab itu, sayang tak nak kahwin dengan sesiapa walaupun orang tu baik sebab
sayang hanya nakkan abang sorang sahaja menjadi suami sayang. Walaupun kita
berkahwin dengan cara yang memalukan, tapi sayang sangat bersyukur kerana abang
telah sah menjadi suami sayang,” luah Izwani.
Terkejut Khairul mendengar luahan hati isterinya sebelum tubuh
Izwani didakapnya dengan erat. Dahi dan pipi Izwani menjadi sasaran bibirnya.
“Terima kasih sayang kerana mencintai abang selama ni. Salah abang
juga kerana memendamkan isi hati abang. Jika abang menghantar rombongan
meminang lebih awal, pasti kita takkan menjadi macam ni,”
Izwani menggelengkan kepalanya sambil memeluk pinggang suaminya.
“Kita hanya merancang, tapi, Allah yang menentukan. Sekarang, anak
kita bakal dilahirkan. Indah sungguh percaturan hidup kita. Abang jangan rasa
bersalah lagi ye. Lagipun, keluarga abang dan keluarga sayang pun sudah maafkan
kita berdua atas perbuatan terburu-buru kita tu. Sebab itu orang kata, fikir
dulu sebelum buat. Hehe,” tergelak kecil Izwani.
Khairul yang mendengar ayat terakhir isterinya turut tergelak.
Sungguh dia menyesal kerana berkahwin dengan cara begitu namun dia bersyukur
kerana memiliki orang yang dicintai dan mencintainya.
***************
Datin Suraya tersenyum melihat menantunya yang sedang duduk di
buaian rotan yang berada di luar rumah sambil mengusap perutnya dengan lembut.
Dia mendekati Sofea sambil membawa secawan susu.
“Termenung mana tu?” sapa Datin Suraya.
“Eh mummy. Maaf Sofea tak perasan. Duduklah, mummy,” pelawa Sofea
sebelum Datin Suraya memberikannya cawan yang dipegangnya.
“Terima kasih, mummy,”
Datin Suraya yang sudah duduk di kerusi bersebelahan dengan Sofea
hanya tersenyum memandang menantunya menghirup susu itu.
“Mummy sangat bersyukur kerana anak mummy mengecapi kebahagiaannya
bersama-sama dengan cinta hatinya,” senyum Datin Suraya sambil memegang lembut
pipi Sofea.
Sofea meletakkan cawan itu di atas meja berhadapan dengannya.
Matanya mula memandang wajah ibu mertuanya.
“Cinta hati? Maksud mummy?” pelik Sofea.
“Kalau Sofea nak tahu, Hakim sudah lama jatuh cinta dengan Sofea
sebelum kejadian buruk tu berlaku. Cuma, dia hanya memerhatikan Sofea dari jauh
sahaja,” semakin pelik Sofea mendengar kata-kata ibu mertuanya.
“Sofea masih ingat yang Sofea pernah kena ganggu oleh sekumpulan
lelaki? Selepas itu, ada seseorang membantu Sofea ketika itu?” soal Datin
Suraya.
“Ingat. Sofea nak ucapkan terima kasih tapi dia sudah pergi. Tapi,
macam mana mummy tahu? Jap, adakah penyelamat itu…?” tergantung ayat Sofea
apabila melihat anggukan Datin Suraya.
“Ye. Hakimlah yang menyelamatkan Sofea ketika itu. Kalau Sofea nak
tahu, Hakim juga yang telah melindungi Sofea dari jauh sejak kejadian tu.
Namun, sesuatu yang buruk telah berlaku kepadanya. Lelaki yang telah mengacau
Sofea tu telah membakar rumah Hakim semasa Hakim sedang tidur. Walaupun Hakim
masih hidup, tetapi wajahnya dan tubuhnya teruk melecur,” sebak Datin Suraya.
Sofea menutup mulutnya yang sudah terlopong itu. Air matanya mula
mengalir.
Tidak sangka lelaki yang pernah dicintainya sebelum ini ialah
suaminya sendiri. Malah, suaminya juga yang telah melindunginya selama ini.
“Tetapi, Hakim redha dan bersyukur kerana perkara itu berlaku pada
dirinya dan bukannya berlaku pada Sofea. Selepas itu, daddy suruh Hakim
berkahwin dengan Sofea untuk melariskan perniagaan daddy. Namun, Hakim menolak
kerana risau Sofea akan takut dan enggan menerimanya memandangkan wajahnya
sudah hodoh. Dia tahu Sofea takkan bahagia jika dia yang menjadi suaminya.
Jadi, daddy mengugutnya untuk menghapuskan syarikat papa Sofea jika Hakim masih
enggan berkahwin dengan Sofea. Demi Sofea, akhirnya Hakim terima juga,”
Sofea menggelengkan kepalanya mendengar sambungan cerita ibu
mertuanya.
“Mummy tahu sebab apa Hakim membawa Sofea lari dari sini. Sebab,
Hakim ingin melindungi Sofea dari terjebak dalam dunia perniagaan daddy dan
ayah mertuanya. Terima kasih Sofea kerana menerima Hakim sebagai suami Sofea,”
ucap Datin Suraya sambil mengesat air mata menantunya.
“Walaupun Sofea sudah jatuh cinta pandangan pertama dengan
penyelamat Sofea, tetapi, Sofea telah mencintai suami Sofea kerana abang Hakim
sangat lembut dan sangat baik dengan Sofea. Sehinggakan, parut pada wajah abang
Hakim pun Sofea boleh menganggap ianya menawan. Rupa-rupanya, parut itu
berpunca dari Sofea. Disebabkan Sofea, abang Hakim jadi macam tu,” teresak-esak
Sofea.
Datin Suraya sudah mula gelabah dengan keadaan Sofea yang mula
menangis tanpa henti itu. Puas dipujuknya namun tangisan Sofea masih tiada
tanda untuk berhenti.
Datin Suraya terasa bahunya dipegang lalu dia menoleh ke belakang.
“Biar saya yang pujuk, mummy,” tersenyum Datin Suraya sebelum dia
beredar dari situ meninggalkan anaknya bersama-sama dengan menantu.
Hakim melutut di hadapan Sofea sebelum tubuh itu didakapnya dengan
erat.
“Bukan salah sayang. Abang yang salah kerana menaikkan kemarahan
mereka. Jadi, mereka membalas dendam pada abang. Sayang jangan salahkan diri
sendiri. Abang tak pernah salahkan sayang selama ini. Malah, abang bersyukur
kerana abang yang cedera dan bukannya sayang,” lembut suara Hakim memujuk
isterinya.
Sofea mengangkat mukanya untuk memandang wajah suaminya.
“Ta..tapi, sebab sayang,…abang terpaksa menjauhkan diri abang dari
orang lain. Sebab sayang, orang gerun dengan muka abang…Maafkan ayang…,”
teresak-esak Sofea.
Hakim menggelengkan kepalanya sambil mengesat air mata isterinya.
Senyuman terukir pada bibirnya.
“Kan abang kata, bukan salah sayang. Ada hikmah di sebalik semua
kejadian, sayang. Allah nak uji abang, sebab itu Allah memberi ujian ini kepada
abang. Janganlah menangis lagi. Nanti anak ni ikut pula perangai ibunya yang
suka menangis ni,” seloroh Hakim sambil mengusap perut isterinya.
Sofea mula berhenti menangis. Matanya memandang wajah suaminya.
Secara perlahan-lahan, Sofea memeluk leher suaminya.
“Terima kasih, abang. Terima kasih kerana menyelamatkan sayang
dulu. Terima kasih kerana melindungi sayang selama ni. Terima kasih abang
kerana menjadi suami yang penyayang. Terima kasih abang untuk segala-galanya
yang telah abang lakukan dan berikan pada sayang. Sayang abang,” tersenyum
lebar Hakim mendengar kata-kata ikhlas isterinya itu.
“Abang sangat lakukan apa saja untuk sayang asalkan sayang
bahagia,” ujar Hakim sebelum kucupan diberikan pada dahi, pipi dan bibir
isterinya sekilas.
Sofea tersenyum sambil mengeratkan pelukan leher suaminya. Tanpa
isyarat, tubuh Sofea terasa diawang-awangan apabila Hakim mendukung tubuh
Sofea.
Terjerit kecil Sofea kerana terkejut.
“Jom masuk sekarang. Nak Maghrib dah ni,” senyum sinis Hakim
sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
“Abang ni! Terkejut tau sayang,” geram Sofea sebelum menekup
mukanya pada dada suaminya.
Geli hati Hakim melihat riak muka isterinya itu.
No comments:
Post a Comment