NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2
BAB 14 - ARAS 2
“Mungkin ini ‘butang’ yang dimaksudkan kak Mila,” kata
Ismail Razak sambil menunjuk pada dinding lubang pokok yang mengeluarkan cahaya
yang berbentuk bulat.
Empat pasang mata memandang ke arah cahaya tersebut.
Tali beg galas masing-masing dipegang dengan erat. Ketika itu, mereka sedang
duduk dengan melipatkan kaki masing-masing memandangkan lubang masuk itu kecil
dan rendah menyukarkan mereka untuk berdiri.
“Semua dah bersedia?” soal Ismail Razak sambil
memandang sahabatnya yang mendiamkan diri sejak tadi.
Serentak mereka menganggukkan kepala. Muka berubah
menjadi serius.
“Bismillah…,” dengan lafaz bismillah, Ismail Razak
memegang cahaya tersebut.
“Klak!” terbeliak mata mereka apabila satu lubang
muncul dari bawah kaki mereka.
“Argh!”
Menjerit mereka apabila tubuh mereka mula menggelongsor
masuk ke dalam lubang yang muncul itu.
“Dum!”
Seminit kemudian, mereka mendarat di atas tanah yang
rata. Masing-masing mula mengaduh kesakitan secara perlahan-lahan. Mereka
membuka mata untuk melihat sekeliling mereka.
“Ha..?” pantas tangan Nik Akhil dan Ismail Razak
menekup mulut isteri masing-masing.
Wajah Siti Syazanah dan Shasya Edrina sangat pucat
ketika itu.
‘Makhluk’ yang berada di hadapan mereka amat
menggerunkan mereka. Walaupun ‘makhluk’ itu sedang tidur, mereka tetap berasa
takut.
Walaupun ‘makhluk’ itu pernah menjadi kawan mereka,
mereka tetap perlu berhati-hati.
“Jangan bersuara,” kedengaran suara Ismail Razak
berbisik.
Mereka kini berada di dalam lubang masuk rumah pokok.
Yang peliknya, mereka berada di hujung belah kiri lubang sedangkan mereka masuk
melalui lubang belah kanan. Namun, persoalan itu hanya dibiarkan memandangkan
tiada sesiapa yang dapat menjawab soalan misteri itu.
Mereka yakin bahawa mereka sudah tiba di aras kedua
disebabkan ‘makhluk’ yang menyerupai serigala berkepala tiga itu. Mereka pernah
bertemu dengan makhluk itu pada 5 tahun yang lepas.
Makhluk itu sedang tidur di dalam lubang yang sama
tetapi bertentangan dengan mereka, iaitu di hujung lubang belah kanan.
“Macam mana kita nak dapatkan penawar kalau ‘mereka’ tutup
laluan tu?” gusar Nik Akhil.
“Biar Ed jadi ‘umpan’ mereka,” terkejut mereka
mendengar cadangan gadis itu.
“Tak boleh. Raz tak bagi!” tegas Ismail Razak.
Suara masih dapat dikawal agar tidak mengejutkan
‘makhluk’ di hadapan mereka.
Shasya Edrina memegang tangan suaminya dengan erat.
Mata menatap ke dalam anak mata jejaka itu.
Ismail Razak mengeluh. Pandangan dilarikan ke arah
pasangan yang sedang tekun memandang dirinya dan isterinya.
“Akil, Syaza, kami berdua akan mengalihkan perhatian
mereka. Korang berdua ambil kesempatan untuk ke aras tiga dan dapatkan penawar
tu. Pastikan misi kita berjaya,” ujar Ismail Razak.
“Tak apa ke, Raz, Ed?” risau Siti Syazanah.
Bukan mudah untuk men’jinak’kan ‘makhluk’ itu. Bimbang
mereka pula yang terkorban jika ‘makhluk’ itu turut hilang kawalan.
Ismail Razak dan Shasya Edrina mengukir senyuman.
“Jangan risau, Syaza. Yakin dengan kami sepertimana
kami yakin dengan Syaza dan Akhil, dan sepertimana Ima dan Izan percayakan kita
berempat,” kata Shasya Edrina.
“Begitu juga dengan kak Mila dan abang Shahril yang
percayakan kita berenam untuk menyelamatkan alam aneh ini,” sambung Ismail
Razak.
Mereka tidak dapat membantah. Pasangan di hadapan
mereka sudah nekad untuk membuka laluan kepada mereka.
“Kami pergi dulu. Hati-hati Syaza, Akil,” sempat
Ismail Razak berpesan.
“Korang pun hati-hati juga,” balas Nik Akhil.
Pantas Ismail Razak dan Shasya Edrina keluar dari
lubang tersebut.
Nik Akhil dan Siti Syazanah duduk di penjuru lubang
belah kiri di mana tempatnya lebih malap agar kehadiran mereka tidak disedari
oleh ‘makhluk’ serigala itu.
“Kenapa Raz tidak sertai Syaza dan Akil sekali?” soal
Shasya Edrina.
Matanya memandang wajah suaminya yang turut
menatapnya.
“Abang tidak sanggup berpisah dengan isteri abang.
Maklumlah, usia rumahtangga kita baru 3 hari. Abang tak puas lagi nak bersama
dengan Ed,” naik bulu roma apabila mendengar suara romantik itu.
Pantas Shasya Edrina mengalihkan pandangan pada lubang
pokok. Mukanya sudah panas menahan malu. Tersenyum Ismail Razak melihatnya.
“Dah. Jom kita ‘kejutkan’ Comel-Comel awak tu. Lama pula Syaza dan Akil tunggu kita,” ajak
Ismail Razak, mendekatkan dirinya dengan isterinya.
Dengan kiraan 1 hingga 3 secara perlahan-lahan, mereka
berdua serentak memanggil nama ‘penjaga’ yang sedang lena di dalam lubang
pokok.
“Comellll !!”
Terbangun ketiga-tiga ‘penjaga’ itu. Lantas mereka
mencari suara yang memanggil mereka.
“Ed, mereka dah bangun tu. Bersiap untuk lari,” tangan
isterinya dipegang erat.
Shasya Edrina membalas dengan anggukan.
Nik Akhil dan Siti Syazanah mula cemas apabila salah
satu daripada kepala serigala itu memandang mereka berdua. Comel 1 sedang
bertentangan mata dengan mereka. Siti Syazanah yang berada di dalam dakapan
suaminya memejamkan matanya dengan erat.
Dengan degupan jantung yang kencang, dia berdoa di
dalam hati agar makhluk di hadapannya tidak menyedari kehadiran dia dan
suaminya.
Syukur mereka apabila ‘penjaga’ yang berkepala tiga
itu keluar dari lubang pokok. Nik Akhil mendekati pintu lubang pokok untuk
melihat keadaan ketika itu.
Kelihatan, ‘penjaga’ itu sedang mendekati Ismail Razak
dan Shasya Edrina. Tangan isterinya ditarik kemas dan berlari ke penjuru lubang
belah kanan. Kemudian, tangannya pantas menyentuh cahaya yang muncul.
“Klak!”
Mereka berdua berjaya membuka laluan yang muncul di
bawah mereka dan menggelongsor menuju ke aras ketiga.
“Co… comel? Masih ingat kami tak? Saya Ed dan ini Raz.
Kita pernah bertemu 5 tahun yang lepas. Kami juga yang merawat kecederaan Comel
dan membantu aras ini mendapatkan semula sumber air mereka. Malah, korang juga
pernah membantu saya, Syaza dan Ima ketika kami hamper lemas di sungai. Kalian
masih ingat pada kami tak?” lembut suara Shasya Edrina menceritakan kisah silam
mereka.
“Aunggg !!!”
“Aunggg !!!”
“Aunggg !!!”
Terkejut mereka apabila serigala berkepala tiga itu
meraung secara tiba-tiba.
Malah, makhluk itu memandang mereka seperti hendak
makan.
“Ed, kita kena lari,”
Seusai berkata begitu, pantas Ismail Razak menarik
tangan gadis itu dan melarikan diri dari situ. ‘Penjaga’ tersebut terus
mengejar manusia yang sedang lari menjauhi mereka.
Namun, fakta telah membuktikan bahawa serigala lebih
pantas daripada manusia. Makhluk itu melompat di atas mereka dan mendarat tepat
di hadapan mereka. Terhenti larian mereka.
“Apa yang harus kita lakukan sekarang, Raz?” takut
Shasya Edrina.
Badannya yang gigil berdiri di belakang Ismail Razak.
Tangannya kuat mencengkam lengan belakang baju jejaka itu.
Ismail Razak mula resah. Apabila ternampak sebatang
dahan yang berada di kakinya, dia mencapai dahan itu dan melibas di hadapan
makhluk itu.
“Jangan harap kalian dapat mencederakan kami !”
lantang suara Ismail Razak berniat untuk menakutkan makhluk itu.
Namun, reaksi yang dipamerkan oleh serigala berkepala
tiga amat mengejutkan mereka berdua. Apa sudah berlaku pada alam ini
sebenarnya? Runsing Ismail Razak dan Shasya Edrina.
No comments:
Post a Comment