Friday, February 8, 2019

CERPEN : SUAMIKU PONDAN (BAB 13)

CERPEN : SUAMIKU PONDAN


BAB 13 - BERITA GEMBIRA



“Sayang…,” meleret manja suara Ashraf ketika memeluk tubuh isterinya dari belakang.

Fiona masih kaku tanpa membalas. Dia masih merajuk kerana Ashraf mengejutkannya malah galak mengetawakannya.

“Sayang masih marahkan abang ke? Abang tak sengaja nak kejutkan sayanglah tadi. Abang nak panggil sayang je. Tak sangka pula sayang akan terkejut sampai melatah tadi,” lembut suara Ashraf menyapa telinga Fiona.

Dagu Ashraf direhatkan di atas bahu Fiona. Fiona menyembunyikan senyumannya. Dia bukan merajuk sangat pun. Dia hanya ingin melihat cara Ashraf memujuknya sahaja.

“Sayang jangan merajuk ye? Abang dah lapar ni. Nanti ada juga yang kena terkam dengan abang,” naik bulu roma Fiona apabila mendengar kata-kata suaminya.

Suaminya itu bukan boleh dibawa main. Sejak Ashraf berubah, Fiona mula berhati-hati kerana risau dengan perubahan jejaka itu. Lengan Ashraf diusap lembut. Kepala ditoleh memandang wajah kacak si suami.

“Yelah. Sayang maafkan abang. Dah. Jom kita sarapan. Kesian mama, papa, umi dan abi tunggu kita,” pelukan dileraikan sebelum menarik tangan Ashraf untuk masuk ke dalam rumah.

“Bukan tadi dia juga yang merajuk ke?” pelik Ashraf dengan perubahan isterinya.

Sekejap sungguh rajuk isterinya. Malah, dia juga pelik dengan perubahan Fiona. Mungkin kerana peningkatan umur mereka. Fikirnya di dalam hati.

**********

Fiona mendail sesuatu pada telefonnya sebelum menekap telefon bimbitnya pada telinga kirinya. Tidak sampai 5 saat, panggilannya dijawab.

“Assalamualaikum, abang,” sapa Fiona.

“Waalaikummusalam, sayang. Kenapa sayang call ni? Sayang rindukan abang ye,” usik Ashraf yang sedang bersandar pada kerusi di dalam pejabatnya.

“Ha’ah. Sayang rindukan abang. Hehe. Sebenarnya, sayang nak minta izin dengan abang ni,” balas Fiona yang melayan karenah suaminya.

“Minta izin? Sayang nak pergi mana-mana ke?” pelik Ashraf dengan permintaan isterinya.

“Sayang nak minta izin pergi klinik jap,” tidak sempat Fiona menghabiskan ayatnya apabila Ashraf memotong percakapannya.

Ashraf bingkas bangun dan mencapai kunci keretanya.

“Sayang sakit ke? Mari abang hantarkan sayang ke klinik,” panggilan terus dimatikan.

Ashraf terus keluar dari biliknya.

Telefon yang berada dipegangan Fiona ditatap lama. Belum habis cakap lagi sudah dimatikan? Desis hati Fiona.

“Sayang!” tersentak Fiona apabila pintu pejabatnya dibuka dengan kasar.

Pantas Ashraf mendekati isterinya yang sedang duduk terpinga-pinga memandangnya.

“Sayang ok tak? Sayang sakit kat mana? Masih larat nak berjalan tak?” bertubi-tubi soalan yang diajukan oleh Ashraf.

Geli hati Fiona melihat kekalutan suaminya.

“Sabar, abang. Sayang rasa tak sihat je. Sayang ingatkan sayang sorang je nak pergi klinik,” kata Fiona sambil memegang kedua-dua pipi suaminya.

Jelas kegelisahan pada raut wajah suaminya.

“Mana boleh. Abang tak izinkan kalau sayang nak pergi sorang-sorang. Jom kita pergi klinik sekarang. Mari abang papahkan,”

Sejak kejadian malang itu, Ashraf sentiasa berkepit dengan Fiona supaya kejadian tersebut tidak berlaku lagi. Malah, Fiona juga bekerja di syarikat dan aras yang sama dengan Ashraf berdasarkan permintaan Ashraf apabila Fiona tamat latihan praktikal di syarikat Zul Hanif.

Fiona hanya tersenyum melihat Ashraf yang berjalan sambil memeluk bahunya. Bukan dia tidak boleh berjalan. Suaminya terlalu risau dan sangat prihatin dengan kesihatannya.

Di klinik, doktor membuat pemeriksaan pada Fiona manakala Ashraf menunggu di luar bilik doktor. Ashraf mula resah selepas 5 minit berlalu namun isterinya masih belum keluar dari bilik tersebut. Dia berdiri dan mendekati bilik tersebut.

Tidak sempat dia memulas tombol pintu bilik itu apabila pintu terbuka dari dalam.

“Oh? Terkejut sayang. Abang ni mengejutkan sayang je. Jom masuk, abang. Doktor panggil abang suruh masuk sekali,” lengan suaminya ditarik sebelum pintu bilik ditutup.

Ashraf dan Fiona duduk di atas kerusi berhadapan dengan doktor.

“Bagaimana keadaan isteri saya, doktor? Dia masih sakit lagi ke?” risau Ashraf.

“Encik jangan risau. Isteri encik tiada apa-apa penyakit yang serius. Cuma, sakitnya hanya sakit biasa sahaja,” lega mereka mendengar kata-kata doktor itu.

“Lagi satu,” mata mereka dikalihkan memandang doktor semula.

“Puan Fiona disahkan mengandung 7 minggu. Tahniah encik dan puan,”

Terbeliak mata Ashraf ketika itu.

“Sayang!” Ashraf memeluk erat tubuh isterinya apabila mendengar berita gembira itu.

“Alhamdulillah,” syukur mereka berdua.

“Nanti saya beri vitamin untuk puan. Boleh ambil di bahagian farmasi,” senyum doktor itu.

“Baiklah. Terima kasih, doktor,” ucap Ashraf dan Fiona lalu keluar dari bilik tersebut.

Kini, baru Ashraf tahu dengan sikap isterinya yang suka bermanja dan mudah merajuk sejak akhir-akhir ini. Rupa-rupanya pembawakan budak.

Berita gembira itu terus disampaikan pada ahli keluarga mereka. Mereka turut gembira apabila menerima berita tersebut. Selepas Asmina dan Ayuni yang turut mengandung kurang seminggu daripada Ainuri, kini Fiona pula yang mengandung selepas kandungan Ainuri mencecah usia 27 minggu.

**********

Masa mula berjalan. Kini, Fiona dan Ashraf sudah berumur 24 tahun dan bakal mendapat anak keempat. Kelihatan tiga orang kanak-kanak lelaki sedang berkejaran di kawasan hospital.

“Aswad! Aakif! Azka! Jangan berlari di koridor!” tegur Ashraf sambil mengejar anak-anaknya yang berusia 3 tahun.

Tersenyum Fiona melihatnya. Perutnya diusap lembut. Dia berjalan mengekori suami dan anak-anaknya yang sudah jauh di hadapan.

“Pak!”

“Maafkan saya,” kata Fiona apabila dia terlanggar dengan seseorang dari arah bertentangan di sebalik tembok.

Mujur dia hanya berlanggar secara lembut dengan orang tersebut. Fiona memandang wajah orang yang dilanggarnya.

“Tidak mengapa, puan. Salah saya juga sebab tidak berhati-hati,” balas gadis yang berlanggar dengannya.

“Saya macam pernah nampak je puan. Tapi, di mana ye?” fikir Fiona apabila dia mengenali gadis yang berbadan dua itu.

Apabila melihat senyuman gadis itu, Fiona mula terkejut. Dia amat mengenali gadis itu. Gadis yang sangat dirinduinya. Gadis yang sentiasa bersama-sama dengannya semasa dia dibuli.

“Fa..tin?” teragak-agak Fiona menyebut nama kawan baiknya semasa kecil.

“Eh? Macam mana puan tahu nama saya?” tersentak gadis itu apabila Fiona menyebut namanya.

“Jap. Jangan kata yang awak ni…Fiona?!”

Air mata gadis itu mula bertakung apabila melihat Fiona menganggukkan kepala beserta air mata yang mengalir.

“Fiona! Saya sangat rindukan awak!” mereka saling berpelukan.

“Saya pun rindukan awak, Fatin. Mana awak pergi selama ni? Kenapa awak menghilangkan diri?” teresak-esak Fiona menangis.

“Maafkan saya, Fiona. Saya ada masalah sikit. Sebab itu saya menghilang tanpa khabar berita,” pelukan dilepaskan dengan lembut.

Fiona memegang erat kedua-dua tangan Fatin.

“Alhamdulillah. Allah memakbulkan doa Fiona. Akhirnya, Fiona dapat juga berjumpa dengan Fatin. Fatin, saya nak ucapkan terima kasih sepanjang kita bersama selama ni. Terima kasih Fatin kerana sentiasa berada di sisi saya. Saya harap kita masih kawan,” ujar Fiona.

“Tak ada apa-apalah, Fiona. Saya pun suka bila berkawan dengan awak. Mestilah kita masih kawan. Walaupun kita sudah berumahtangga, kita masih kawan dunia akhirat,” lebar senyuman Fatin.

Fiona membalas senyuman Fatin. Dia sangat bersyukur kerana masih berpeluang untuk berjumpa dengan satu-satunya sahabat yang dirinduinya.

“Sayang, kenapa ni? Puas abang cari sayang tadi,” tegur suami Fatin yang muncul dari belakang Fatin.

“Sayang! Sayang pergi mana tadi? Risau abang bila sayang tak ada di belakang abang tadi,” cemas Ashraf yang muncul secara tiba-tiba.

“Sayang ok je, bang,” serentak Fatin dan Fiona membalas.

“Abang, sayang pernah cerita pada abang tentang kawan sayang masa kecil, kan? Sayang dah jumpa dengannya, abang,” ceria suara Fatin sambil memandang pada Fiona.

“Ye ke, sayang? Alhamdulillah. Saya Rahman, suami Fatin,” sapa Rahman sambil menyuakan tangannya pada Ashraf.

“Saya Ashraf, suami Fiona. Alhamdulillah. Akhirnya mereka bertemu juga. Sayang mesti gembira, kan?” kata Ashraf sambil bersalaman dengan Rahman.

“Sayang gembira sangat, abang. Tak sangka kami dapat bertemu semula selepas 14 tahun kami tak bertemu,” mengalir air mata gembira Fiona.

Fatin turut menangis apabila mendengar luahan Fiona. Dia juga teringin untuk bertemu semula dengan gadis itu.

“Dah dah. Jangan menangis lagi. Mari kita ajak mereka ke rumah kita ye, sayang?” pujuk Ashraf sambil memeluk bahu Fiona.

“Shu. Sayang, janganlah menangis lagi,” lembut pujukan Rahman sambil memujuk isterinya.

Akhirnya, Fiona bertemu semula dengan keluarga kandungnya serta sahabat baiknya. Benar apa yang dijanjikan Allah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat sisi baik daripadanya. Mereka menerima buruk dengan sabar, namun di dalam hati sentiasa mengharap kebaikan di sebaliknya daripada ALLAH.

~TAMAT~

*Untuk pengetahuan pembaca, Rahman dan Fatin merupakan watak dalam cerita ‘He is A Cat?!’.

*Kisah Fatin pula akan dikaryakan pada karya akan dating yang bertajuk ‘Who is She?’

*Terima kasih kerana setia membaca karya ‘Suamiku Pondan’ sehingga habis. ^^


*Nantikan karya akan datang yang lebih menarik.





No comments:

Post a Comment