Monday, December 31, 2018

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH (BAB 5)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH


BAB 5 - MIMPI



Siti Syazanah, Shasya Edrina dan Nur Halimah bermimpi seorang gadis yang cantik. Umurnya seperti dalam lingkungan mereka juga.

“Siapa?” tanya Siti Syazanah pada gadis yang tersenyum memandang mereka.

“Assalamualaikum korang. Nama saya Mila Liyana. Seronok dapat bertemu dengan korang,” mereka saling bersalaman selepas menjawab salam gadis itu.

“Saya Ed, ni Syaza dan yang ini pula Ima. Kami berada di mana ni?” tanya Shasya Edrina selepas memperkenalkan dirinya pada Mila Liyana.

“Ini mimpi korang. Melalui mimpi ni, saya dapat berkomunikasi dengan korang. Mungkin ini kali pertama dan kali terakhir kita bertemu dalam mimpi,” jawapan Mila Liyana mengejutkan ketiga-tiga gadis itu.

“Apa maksud Mila?” soal Nur Halimah.

Perkara yang sama berlaku kepada kaum lelaki di mana mereka bertemu dengan Shahril Razali, pelajar yang hilang pada 9 tahun yang lalu.

“Selepas korang datang ke sini, maka, tugasan kami pun selesai. Kami harap kalian dapat membantu penghuni dan makhluk di alam ini,” kata Mila Liyana dan Shahril Razali.

“Shahril akan pergi mana?” risau Ismail Razak.

“Saya dan Mila akan kembali ke bumi semula. Saya berharap kita dapat bersua kembali selepas tugasan kalian selesai nanti,” senyum kacak jejaka itu.

“Apa tugasan kami tu, Mila?” resah Shasya Edrina.

“Nanti kalian akan tahu sendiri. Yakinlah dengan firasat sendiri. Jangan pernah bersikap sombong dan bangga dengan diri sendiri. Semua tugasan akan selesai jika adanya kerjasama di antara semua pihak. Pesanan terakhir saya, dua kepala lebih baik daripada satu kepala, tiga kepala lebih baik daripada satu dan dua kepala. Tetapi, enam kepala lebih baik daripada satu, dua, tiga, empat dan lima kepala,” panjang pesanan Mila Liyana.

“Apa maksudnya tu?” pelik Shasya Edrina.

“Saya yakin kalian pasti dapat selesaikannya. Selamat tinggal. Jika diberi keizinanNya, InsyaAllah kita akan bertemu semula,”

Lama-kelamaan, bayang Mila Liyana dan Shahril Razali mula hilang. Mata mereka dibuka secara perlahan-lahan sebelum mereka duduk dari pembaringan. Cahaya mula menyinari kawasan itu. Mereka memandang antara satu sama lain tanpa bersuara. Masing-masing memikirkan masa depan yang bakal mereka hadapi. Melihat suasana yang agak muram, Siti Syazanah memulakan perbicaraannya.

“Baiklah. Nampaknya, kita semua sudah tahu sebab kita berada di alam ini. Mari kita sama-sama fikirkan strategi seterusnya,”

“Tugasan yang dimaksudkan pun kita masih belum tahu. Takkan nak fikirkan strategi terus?” kasar ayat Tengku Ehsan menyebabkan Siti Syazanah tersentak.

Wajahnya menunduk memandang buku nota yang berada di atas pahanya.

“Janganlah cakap macam tu!” geram Nik Akhil menarik kolar baju Tengku Ehsan.

“Dah dah! Jangan bergaduh!” Ismail Razak meleraikan mereka berdua.

Hampir sahaja Nik Akhil melepaskan tumbukan pada wajah Tengku Ehsan.

“Saya cadangkan kita keluar dari rumah ni dulu dan buat analisis di tempat ini dulu. Mungkin dengan itu, baru kita tahu tugasan sebenar kita,” cadang Nur Halimah.

“Bagus cadangan tu, Ima. Saya pun setuju!” sokong Shasya Edrina sambil menepuk belakang Nur Halimah.

Mereka memandang wajah Siti Syazanah sambil tersenyum lebar. Siti Syazanah membalas senyuman mereka.

“Kita berpecah kepada tiga kumpulan. Ikut pada kumpulan yang sama saja,” ujar Ismail Razak.

Selepas bersiap, kaum lelaki keluar dari tempat itu. Lubang masuk yang ditutup itu menjadi tumpuan mereka.

“Kira 1 sampai 3, kita tolak benda yang halang ni,” kata Ismail Razak yang memandang muka Nik Akhil yang berada di kirinya dan memandang muka Tengku Ehsan yang berada di kanannya.

Mereka berdua membalas dengan anggukan kepala masing-masing. Kaum perempuan pula masih berada di dalam rumah pokok itu memandangkan mereka masih belum mengetahui lokasi makhluk gergasi itu.

“1, 2, 3!” lubang masuk itu kembali terang dengan cahaya di luar pokok itu.

Nik Akhil keluar dari lubang itu sambil melihat sekelilingnya. Tengku Ehsan dan Ismail Razak turut keluar dari lubang itu.

“Rasanya kita sudah selamat dari makhluk tu,” Nik Akhil bersuara.

“Dah selamat ke?” kedengaran suara Shasya Edrina dari lubang masuk pokok itu.

Terjenggul wajah Shasya Edrina yang teragak-agak untuk keluar dari lubang itu.

“InsyaAllah selamat. Kita cari buah dulu sambil menyiasat kawasan ini,” ujar Ismail Razak.

Ketiga-tiga gadis itu keluar dari lubang sambil menggalas beg masing-masing. Beg yang digunakan untuk meletakkan buah-buahan yang dijumpai nanti. Mereka berpecah kepada tiga kumpulan di mana Nik Akhil dan Siti Syazanah di bahagian Utara, Ismail Razak dan Shasya Edrina di bahagian Timur manakala Tengku Ehsan dan Nur Halimah di bahagian Selatan.

“Banyak sungguh daun-daun gugur ni,” kata Nik Akhil sambil menyepak daun-daun kering kea rah Siti Syazanah.

“Janganlah main-main, Akil!” geram Siti Syazanah.

Tangannya membuang daun kering yang melekat pada seluar hitamnya.

“Janganlah marah. Tak baik tau marah-marah ni. Nanti cepat tua, tak ada orang nak nanti,” perli Nik Akhil yang masih bermain dengan daun-daun kering.

“Jodoh di tangan Allah. Siapa kita nak persoalkan benda tu,” bidas Siti Syazanah.

“Setiap manusia ada perasaan ingin tahu. Tidak salah untuk kita memikirkan jodoh kita, kan?” senyum sinis Nik Akhil memandang wajah cemberut Siti Syazanah.

“Ni dah kenapa masuk bab jodoh ni? Dah tak sabar nak kahwin ke? Belajar pun tak habis lagi,” geram Siti Syazanah melajukan langkahnya.

Nik Akhil menyamai kelajuan langkah gadis itu.

“Apa salahnya kita berdoa dari sekarang. Jika itu jodohku, maka permudahkan urusan kami, Ya Allah,” berdoa Nik Akhil.

Matanya sempat memandang sekilas wajah Siti Syazanah yang sedang menahan kemarahannya.

“Argh!” tersentak mereka berdua apabila terdengar jeritan yang nyaring itu.

“Ed?!” pantas mereka berlari ke arah jeritan itu.

Di dalam hati mereka tidak berhenti berdoa agar tiada apa-apa yang berlaku pada rakan-rakannya.

Nik Akhil dan Siti Syazanah tiba di lokasi Ismail Razak dan Shasya Edrina. Mereka melihat Shasya Edrina sedang duduk di atas daun-daun kering manakala Ismail Razak berada di atas pokok buah tomato ceri.

“Apa dah terjadi?” soal Siti Syazanah dalam keadaan termengah-mengah.

“Tadi kami nampak seekor makhluk gergasi tu. Ed ni terus menjerit. Nasib baik gergasi tu tak datang ke arah sini,” balas Ismail Razak sambil memetik tomato ceri itu.

Siti Syazanah membantu Shasya Edrina untuk bangun. Daun-daun kering dibuang dari baju dan seluarnya.

“Lepas tu, Ed terjatuh terduduk sebab terkejut sangat,” sambung Shasya Edrina.

“Peliknya. Kau jerit punyalah kuat sampai kami yang jauh pun boleh dengar. Inikan pula raksasa yang dekat tu tak dengar,” pelik Nik Akhil sambil berfikir.

“Kau perli ke?!” terasa Shasya Edrina dengan kata-kata Nik Akhil.

Ismail Razak yang selesai memetik buah tomato ceri terus turun dari pokok itu. Dia mendekati Nik Akhil.

“Akil nak kata yang makhluk tu tak dengar ke?” soal Ismail Razak.

“Mungkin juga! Semasa saya terpijak dahan kayu tu, makhluk tu seperti tidak dengar bunyi tu. Bila kita dengar sesuatu, automatik kepala kita akan bergerak ke arah bunyi tu, kan? Tapi, makhluk tu seperti tidak ada apa-apa pun,” sokong Siti Syazanah.

“Jadi, makhluk tu pekak?” serentak mereka menganggukkan kepala menjawab pertanyaan Shasya Edrina.

“Kita kena beritahu Izan dan Ima dengan segera. Mungkin mereka pekak, tapi saya pasti mereka tidak buta,” yakin Nik Akhil.

“Mari kita cari mereka sekarang sebelum makhluk tu muncul,” mereka akur dengan kata-kata Ismail Razak.

Apabila ternampak Tengku Ehsan di sebalik semak, mereka terus mendekatinya.

“Apa kau buat kat sini, Izan? Mana pasangan kau?” soal Nik Akhil.

“Eh korang. Cuba tengok tu,” mereka serentak memandang ke arah yang ditunding oleh Tengku Ehsan.


Terbeliak mata mereka apabila ternampak Nur Halimah sedang berdiri menghadap makhluk gergasi itu.





<BAB 4          BAB 6>

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH (BAB 4)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH


BAB 4 - TEMPAT SELAMAT



“Biar saya dan Ed mulakan cerita kami. Selepas perlanggaran tu berlaku dan cahaya putih tu muncul, kami tersedar yang kami berada di tempat ni. Kami berjalan dari tempat kami berada untuk melihat persekitaran. Tiba-tiba Ed rasa tidak sedap hati. Jadi, kami pun berlindung di dalam pokok ni. Di situlah kami berjumpa dengan Izan dengan Ima,” cerita Ismail Razak.

“Macam mana Izan dengan Ima boleh berada di dalam pokok ni?” tanya Shasya Edrina ingin tahu.

“Berdua-duaan di dalam tempat gelap pula tu,” sambungnya sambil tersenyum senget.

“Hei! Sorry sikit. Tak ingin saya nak bersama-sama dengan si penakut ni,” geram Tengku Ehsan sambil menjeling ke arah Nur Halimah yang menunduk wajahnya ke bawah.

“Ceritalah, Izan,” kata Ismail Razak.

“Ceritanya macam korang juga. Disebabkan cahaya putih dari telefon tu, kami masuk ke dalam tempat ni. Bila kami sedar, kami nampak ada dua ekor makhluk gergasi ni bergaduh sesama sendiri. Tak sempat saya nak lari, si penakut ni terus berlari sambil menarik lengan baju saya. Bila jumpa lubang pokok ni, dia terus menolak saya masuk ke dalam. Bila gergasi tu semakin dekat, dia terus bersembunyi di belakang saya. Macam tulah ceritanya,” dengan malas Tengku Ehsan bercerita.

Sempat dia mengelap meja disebabkan titisan air buah yang berada di atas meja itu.

“Samalah dengan kami. Kami nampak gergasi tu sedang berlaga pedang. Selepas mereka pergi, kami mencari tempat yang selamat untuk menyorok. Tiba-tiba terjumpa buah-buahan ni. Jadi, kami petik. Tak sangka makhluk tu berlari ke arah kami. Disebabkan terkejut, kami terus berlari dan terus masuk ke dalam lubang pokok ni. Rasanya, lubang masuk tadi tu tertutup disebabkan mereka juga,” kata Nik Akhil.

“Jadi, memang betullah wujud makhluk misteri di tempat ni,” fikir Ismail Razak.
Siti Syazanah masih tekun membuat catatan di dalam buku notanya.

“Kaki tu sakit ke?” soal Tengku Ehsan pada Nur Halimah apabila melihat gadis itu sedang mengurut kakinya sendiri.

“Hah? Sakit sikit je,” jawab Nur Halimah.

“Mesti sebab awak lari laju sangat sampai tersepak dahan pokok tadi,” teka Tengku Ehsan.

“Mungkin juga,” balas Nur Halimah.

“Ed, kaki awak pun sakit juga, kan?” teringat Ismail Razak pada buku lali Shasya Edrina yang bengkak.

Shasya Edrina membuat muka sedih sambil menganggukkan kepalanya.

“Saya ada minyak angin. Mari saya sapukan. Kita duduk di sana,” ujar Siti Syazanah sebelum berganjak dari kerusinya.

Beg galasnya dipegang. Mereka bertiga duduk di atas lantai pada hujung kawasan itu menjauhi dari kaum lelaki.

“Dah macam poket Doraemon tengok Syaza ni,” geli hati Ismail Razak kerana beg galas Syazanah mengandungi banyak benda yang berguna.

“Lembutnya!” tertoleh kepala sang jejaka apabila mendengar suara yang agak kuat dari sang gadis.

“Apa yang lembut?” soal Tengku Ehsan.

“Lantai ni lembut sungguh! Kalau baring ni mesti sedap,” ceria muka Shasya Edrina.

Sang jejaka terus turun dari kerusi. Punggung dilabuhkan di atas lantai sebelum tubuh mereka dibaringkan.

“Selesanya!” kagum mereka.

Beberapa saat kemudian, cahaya yang sebesar bola tenis itu mula malap. Terkejut mereka kerana suasana menjadi kian suram. Sang jejaka terus duduk. Cahaya tersebut kembali bersinar kembali.

“Apa dah terjadi tadi?” cemas Shasya Edrina.

“Saya rasa saya faham kenapa,” kata Ismail Razak.

“Apa yang Raz faham?” soal Tengku Ehsan.

“Cahaya ni merujuk kepada kita. Disebabkan kita ada enam orang, maka terdapat 6 cahaya yang muncul di dinding pokok ni. Selepas itu, cahaya itu berada di paras ketinggian kita. Bila kita baring tadi, cahaya tersebut hanya malap sebab ia mengesan aura kita. Dan mungkin dia tahu yang kita nak tidur, jadi cahaya tu pun menjadi malap,” panjang lebar hujahan Ismail Razak.

“Logik juga,” angguk Tengku Ehsan tanda setuju.

“Canggih betul tempat ni,” kagum Shasya Edrina.

“Jadi, apa yang perlu kita lakukan sekarang?” tanya Siti Syazanah selepas selesai menyapu minyak angin pada kaki dua gadis itu.

“Saya cadangkan biar kita berehat dulu. Semua ni berlaku secara tiba-tiba. Lagipun, kita masih belum tahu lagi identiti dua makhluk misteri tu,” cadang Ismail Razak.

“Saya pun setuju. Lagipun, mereka pun macam dah tak larat tu,” sokong Nik Akhil yang mempunyai maksud tersirat.

“Nak cakap kami lemahlah tu. Walaupun kami ni perempuan, kami tak lemah tau!” pantang Shasya Edrina apabila dianggap sebegitu.

“Dah dah. Tak baik bergaduh-gaduh ni,” halang Siti Syazanah.

Tidak lama kemudian, suasana menjadi malap apabila mereka berenam sudah baring di atas lantai berbantalkan beg dan jaket masing-masing.

“Enam pelajar yang berumur 19 tahun didapati hilang secara tiba-tiba. Bukti yang dapat dijumpai hanyalah telefon bimbit yang berada di lokasi terakhir mereka namun bukan milik mangsa,” perlahan suara Nur Halimah memandang siling pokok itu.

Siti Syazanah dan Ismail Razak yang mendengar kata-kata Nur Halimah terus duduk dari pembaringan.

“Kenapa ni?” pelik yang lain kerana dua cahaya yang malap tiba-tiba menjadi cerah.

“Saya terfikir sesuatu!” serentak mereka berdua.

“Apa yang kau fikirkan?” soal Nik Akhil sambil bangun dari pembaringannya.

Yang lain turut bangun. Sekeliling mereka kembali cerah.

“Saya rasa benda ni ada kena mengena dengan kes 9 tahun yang lalu, di mana terdapat dua orang pelajar, seperti kita juga hilang secara tiba-tiba. Mereka hanya terjumpa telefon bimbit namun bukan milik mangsa. Telefon pelajar perempuan tu berada di lokasi pelajar lelaki itu dan sebaliknya,” cerita Ismail Razak.

“Saya rasa, tempat ini juga pernah didiami mereka. Peralatan di sini pasti mereka juga yang buat memandangkan pelajar lelaki tu dari universiti yang belajar kemahiran pembuatan manakala yang perempuan tu belajar kemahiran seni. Kemungkinan besar, mereka masih berada di tempat ni jika apa yang kita sangkakan ianya benar,” ujar Siti Syazanah.

“Kalau betul apa yang dikatakan korang, kenapa sampai sekarang mereka tidak muncul? Inikan tempat tinggal mereka?” soal Nik Akhil.

“Adakah mereka dah mati sebab dua gergasi tu?” berubah muka mereka apabila mendengar kata-kata Shasya Edrina.

“Dan, tempat ni berhantu disebabkan mereka tidak aman..?” sambung Tengku Ehsan dengan nada yang menakutkan.

“Argh!” menjerit Nur Halimah terus memeluk lengan Siti Syazanah sambil memejamkan matanya.

“Hahaha. Itu pun takut,” gelak Tengku Ehsan melihat reaksi gadis itu.

“Tak baik kau ni!” geram Shasya Edrina lantas membaling senduk tepat mengenai dahi lelaki itu.

“Aduh! Sakitlah!”

“Dah dah! Baik kita berehat sekarang. Selepas tu, baru kita fikir rancangan baru,” Ismail Razak meleraikan pergaduhan itu.


Mereka kembali baring. Suasana menjadi sunyi sepi tanpa bunyi dihiasi dengan cahaya yang malap. Disebabkan kepenatan, mereka berenam terlena di atas lantai yang hangat dan lembut seperti baring di atas tilam yang empuk.





<BAB 3          BAB 5>

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH (BAB 3)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH


BAB 3 - MAKANAN UNIK



Ismail Razak memandang Nik Akhil dan Tengku Ehsan yang sedang ralit melihat tiga gadis bersembang. Biasalah, perempuan kalau berjumpa, ada sahaja cerita mereka. Lagi-lagi dengan sikap Shasya Edrina yang sangat peramah orangnya.

“Ehem!” Ismail Razak berdehem untuk menarik perhatian mereka berlima.

Mereka berpaling ke arahnya.

“Saya tahu kita semua sedang memikirkan persoalan yang sama di dalam kepala. Tetapi, sebelum tu. Boleh masing-masing perkenalkan diri? Nak kami panggil nama apa?” Ismail Razak memulakan percakapannya.

“Nama saya Ismail Razak. Boleh panggil saya, Raz,” sambung Ismail Razak.

“Nama saya Nik Akhil. Panggil je, Akil,” balas Nik Akhil.

“Izan,” ringkas jawapan Tengku Ehsan.

“Nama saya pula, Shasya Edrina. Panggil saya, Ed. Yang ni Siti Syazanah, panggil Syaza je dan tu pula Nur Halimah, panggil Ima saja. Selamat berkenalan semua,” bersemangat Shasya Edrina ketika memperkenalkan dirinya dan dua gadis itu.

Siti Syazanah dan Nur Halimah menundukkan kepalanya sedikit ketika nama mereka disebut oleh Shasya Edrina.

“Ok. Soalan seterusnya, ni tempat apa? Macam mana kita berenam boleh sampai ke tempat ni?” tanya Nik Akhil agak keras suaranya.

Yang lain hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu.

“Semua pun tak tahu dan tak pasti bagaimana kita boleh masuk tempat ni. Yang saya ingat, saya ada dapat mesej pelik. Bila saya buka mesej tu, mata saya tiba-tiba silau,” kata Shasya Edrina.

“Tapi, itu bukan telefon saya,” sambungnya lagi.

“Itu bukan telefon awak sebab telefon kita bertukar semasa pelanggaran tu,” celah Ismail Razak.

“Hehe. Maaf,” bersalah Shasya Edrina kerana menjadi punca pelanggaran.

“Saya ada cerita ni. Saya tengok ada seorang gadis kena ganggu dengan tiga orang gengster. Saya belasah gengster tu dan suruh gadis tu lari dari situ. Boleh pula dia berlari dengan membawa jaket kesayangan saya sekali,” luah Nik Akhil dengan jelingan mata pada Siti Syazanah.

Terlopong mulut Siti Syazanah.

“Awak ke yang bantu saya tu? Maaf. Saya takut sangat sampai tersilap ambil jaket awak. Saya ingatkan itu kot kerja saya. Maaf sangat-sangat,” sesal Siti Syazanah.

“Saya teka dah awak mesti tak perasan saya,”

“Jap. Jadi, telefon saya ada pada awaklah?” soal Tengku Ehsan pada Nur Halimah.

“Awak ke lelaki yang langgar saya di taman tu?” balas Nur Halimah agak terkejut.

“Hei! Awak yang langgar saya ye!” geram Tengku Ehsan.

Nur Halimah terus menundukkan kepalanya dengan wajah yang membahang. Boleh pula dia berlari sambil memejam matanya. Nasib baik dia terlanggar orang. Kalau dilanggar kereta, arwah jawabnya.

“Dah dah. Kita kena fikir macam mana kita nak keluar dari tempat ni,” halang Shasya Edrina.

Mereka berenam mula berfikir.

“Eh? Awak pakai cermin mata ke? Saya pun pakai juga cermin mata tapi tak tahu kat mana dia menghilang,” kata  Ismail Razak pada Siti Syazanah.

“Awak nampak jelas tak ni?” soal Shasya Edrina sambil melambaikan tangannya di hadapan wajah Ismail Razak.

“Bila saya bangun tadi, saya terkejut sebab saya boleh nampak dengan jelas,” bersemangat Ismail Razak bercerita.

Nik Akhil yang sedang merenung wajah Siti Syazanah terus menanggalkan cermin mata gadis itu.

“Awak buat apa ni?” terkejut Siti Syazanah dengan tindakan lelaki itu.

Dia cuba mencapai cermin matanya namun tidak berjaya. Nik Akhil merapatkan mata kanannya dengan cermin mata itu.

“Tak ada power pun. Baik awak tak payah pakai,” Nik Akhil melipat cermin mata itu sebelum diselitkan pada kocek bajunya.

Siti Syazanah mengambil cermin matanya dan terus memakainya semula.

“Saya tak selesa kalau tak pakai,” ujar Siti Syazanah.
“Tapi, awak nampak lebih cantik tanpa cermin mata,” senyuman Nik Akhil menyebabkan Siti Syazanah menjadi kaku.

Mukanya mula merah menahan malu.

“Err..korang..,” lembut suara Nur Halimah.

Mereka berlima serentak memandang Nur Halimah yang sudah berada hujung lubang itu.

“Saya ada jumpa lubang lain,” kata Nur Halimah sambil menunjukkan lubang yang dijumpainya.

Mereka mendekati Nur Halimah.

“Jom kita masuk. Saya tak ada firasat buruk dengan pokok ni. Ima pun setuju dengan saya,” bersemangat Shasya Edrina yang sudah bersedia untuk masuk.

“Jap jap! Nanti dulu. Biar lelaki yang masuk dulu,” halang Ismail Razak.

“Kenapa pula?” pelik Shasya Edrina.

“Kami nak pastikan ianya selamat atau tak,” yang lain hanya akur.

Sebenarnya, Ismail Razak enggan perkara tadi berulang kembali. Rosak mata mereka nanti. Bertambah dosa sahaja.

Nik Akhil, Tengku Ehsan dan Ismail Razak masuk ke dalam lubang itu. Terkejut mereka apabila terdapat ruang yang luas sehingga mereka mampu untuk berdiri.

“Betul ke kita berada di dalam pokok ni?” tergamam Nik Akhil.

“Ismail Razak! Tolong saya! Kaki saya masih sakit ni,” panggil Shasya Edrina.

Ismail Razak mencapai sebatang kayu berbentuk senduk sebelum menghulurkan pada Shasya Edrina yang berada di dalam lubang. Shasya Edrina memegang hujung kayu itu sebelum Ismail Razak menariknya dari lubang tersebut.

“Akil, tolong ambil beg ni,” pinta Siti Syazanah sambil menghulurkan beg galasnya kepada Nik Akhil yang sedang berdiri di sebelah pintu lubang sambil berpeluk tubuh.

“Itu pun nak suruh orang ambil,” gumam Nik Akhil sebelum mengambil huluran beg itu.

Selepas Siti Syazanah keluar dari lubang itu, Nur Halimah pula yang melalui lubang tersebut. Mereka berenam berjalan menerokai kawasan yang luas itu.

“Kita berada di rumah orang ke ni? Ada senduk, sudu, pinggan, periuk…semuanya dibuat sendiri,” kagum Ismail Razak sambil membelek beberapa perkakasan dapur yang berada di lubang dinding tersebut.

“Awak buat apa tu?” soal Nur Halimah apabila melihat Tengku Ehsan sedang mengelap meja dan kerusi.

Meja dan kerusi yang seperti diperbuat daripada batu. Tetapi, bila diduduk, terasa lembutnya seperti duduk di atas sofa.

“Hoi! Janganlah campak beg merata-rata tempat!” terkejut semua apabila mendengar tengkingan Tengku Ehsan semasa Nik Akhil mencampak beg Siti Syazanah ke atas tanah.

“Merujuk kepada Surah al-Baqarah, ayat ke 222 yang bermaksud, ‘…Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersihkan dirinya.’. Rasulullah SAW juga bersabda bahawa kebersihan itu adalah separuh daripada iman. Maka dengan itu, jelaslah bahawa kebersihan adalah sangat dituntut dalam Islam. Ini kerana kesempurnaan seseorang mukmin selepas beriman kepada Allah ialah menjaga kebersihan, sama ada kebersihan terhadap dirinya sendiri mahupun perkara yang berhubungan dengan dirinya seperti bilik, halaman rumah, pakaian, makanan dan juga tempat belajar...,” ceramah Tengku Ehsan.

“Ye ye! Saya letak beg ni di atas meja. Ok?” Nik Akhil mengambil semula beg itu sebelum meletakkannya di atas meja.

“Tak boleh juga. Meja digunakan untuk kita meletakkan sesuatu seperti makanan, buku…,” wajah Nik Akhil mula berubah menjadi bengis.

Tangan Nik Akhil mula dikepal menahan marah. Siti Syazanah yang melihat perubahan wajah Nik Akhil terus menyampuk.

“Dalam beg tu ada makanan, Izan. Tadi kami ada jumpa makanan,” beg yang berada di dalam genggaman Nik Akhil terus dicapainya.

“Makanan?!” serentak mereka bersuara.

“Apa dia makanannya?” ceria muka Shasya Edrina mendekati Siti Syazanah yang berada berdekatan dengan meja.

Siti Syazanah mengeluarkan beberapa buah yang unik dan diletakkan di atas meja.

“Boleh makan ke ni? Macam pelik je buah ni,” ragu Tengku Ehsan sambil membelek sebiji buah yang diambil dari meja itu.

“Kalau tak nak makan, tak perlu makan,” kasar suara Nik Akhil.

“Kita perlukan makanan untuk menambah tenaga dalam badan. Kami pun tak pasti sama ada buah ni boleh dimakan atau tak. Tapi, kalau dah darurat macam ni, kita kena makan juga buah ni kalau tiada makanan yang boleh dimakan selain buah ni,” ujar Siti Syazanah.

“Jadi, siapa nak cuba dulu?” soal Ismail Razak sambil memandang yang lain.

“Biar saya cuba. Lagipun, saya tiada firasat yang buruk tentang buah-buahan unik ni,” Nur Halimah mempelawa dirinya.

“Kalau begitu, saya potong buah-buah ni,” Siti Syazanah terus mengeluarkan pisau lipatnya dari beg galasnya.

“Letak dalam ni, Syaza,” sempat Shasya Edrina mencapai sebiji mangkuk yang berada di dalam lubang dinding sebelum meletakkannya di atas meja.

Selepas memotong beberapa jenis buah, Siti Syazanah menyusun buah tersebut di dalam mangkuk.

“Bismillah dulu,” pesan Tengku Ehsan semasa Nur Halimah mengambil sepotong buah.

“Bismillahirrahmanirrahim…,”

Semua memberi tumpuan ketika suapan dimasukkan ke dalam mulut Nur Halimah. Bulat mata Nur Halimah sambil mengunyah buah tersebut.

“Sedap. Rasanya manis seperti buah tembikai,” kata Nur Halimah.

“Kau tak rasa apa-apa yang pelik pada badan kau ke?” tanya Tengku Ehsan.

“Tak ada apa-apa. Cuma ada rasa panas je tapi panas macam makan buah durian je. Marilah rasa sama-sama,” jawab Nur Halimah.

Siti Syazanah tekun menulis sesuatu di dalam buku notanya sambil melihat reaksi yang lain ketika mencuba buah-buahan itu.

“Kau tak nak rasa ke?” tegur Nik Akhil pada Siti Syazanah.

“Kejap lagi saya rasa,”

“Jangan nak mengada!” Nik Akhil terus menyumbat sepotong buah ke dalam mulut Siti Syazanah.

“Hmm!” geram Siti Syazanah.

Dia terus mengetuk bahu Nik Akhil menggunakan buku notanya tapi sempat ditempis. Geli hati Nik Akhil melihat muka cemberut Siti Syazanah.

“Korang berdua ni ada apa-apa ke?” tanya Shasya Edrina ingin tahu.

Berubah muka Nik Akhil dan Siti Syazanah mendengar pertanyaan Shasya Edrina. Selepas menelan makanan di dalam mulutnya, Siti Syazanah pun bersuara.

“Jangan merepeklah. Saya ada tulis maklumat buah-buahan ni. Selepas ni, bolehlah kita keluar mencari makanan ni supaya kita sentiasa ada stok makanan,”

Ismail Razak mengambil buku nota itu sebelum membacanya dengan sedikit kuat.


Buah betik
-          ringan tidak seperti buah betik biasa
-          rasanya seperti buah oren
-          boleh memanaskan badan

Buah tembikai
-          ringan dan lembut seperti bola sepak
-          rasanya seperti tembikai yang manis
-          memberi tenaga

Buah oren
-          isinya berwarna merah
-          rasanya seperti pisang lemak manis
-          boleh menghilangkan rasa lapar

Buah tomato ceri
-          boleh makan dengan kulit sekali
-          rasanya masam seperti limau
-          boleh menghilang rasa haus


“Bagusnya Syaza!” bangga Shasya Edrina dengan kecekapan Siti Syazanah yang sempat mencatit maklumat buah-buahan itu.

“Ed tak pernah terfikir pun nak buat nota macam tu,” sambungnya lagi.

“Kau tahu cakap dan makan je,” perli Nik Akhil.

“Apa kau cakap?!” geram Shasya sambil menjeling tajam ke arah lelaki itu.

“Dah dah. Pasal makanan, kita tidak perlu risau. Cuma, bagaimana kita nak keluar dari tempat ni,” halang Ismail Razak sebelum berlaku pergaduhan di situ.

“Duduk, Nik Akil,” arah Siti Syazanah.


Nik Akhil mendengus perlahan sebelum melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Siti Syazanah. Shasya Edrina turut duduk bersebelahan dengan Nur Halimah selepas diarahkan oleh Siti Syazanah.





<BAB 2          BAB 4>