Sunday, December 9, 2018

CERPEN : HE IS A CAT?! (VERSI 2)

CERPEN : HE IS A CAT?! (VERSI 2)


Genre : Kekeluargaan (Family)

Profil : Karya ‘He is A Cat?!’ merupakan karya terawal fnz. Tidak silap, ketika itu fnz berumur dalam 13/14 tahun. Hampir genap 10 tahun karya ini dan kini, fnz ingin mengubahsuai sedikit karya ini memandangkan karya ini mendapat pandangan yang positif dari para pembaca. Jemput membaca karya pendek ‘He is A Cat?!’ versi 2 ^^


**********************************


Seorang gadis terjaga dari tidurnya dengan peluh yang sudah membasahi wajahnya.

“Astaghfirullahalazim,” beristighfar gadis itu sambil mengesat peluhnya.

“Kenapa baru-baru ni saya sering bermimpi saya diculik?” tertanya-tanya gadis itu.

“Baik saya mandi dan solat Tahajjud sekarang. Dapatlah sikit ketenangan nanti. Hiraukan mimpi buruk tu, Fatin!” kata Fatin bersendirian untuk menyedapkan hatinya.

Fatin mengerling ke arah jam dinding. Sudah pukul 6 pagi. Matanya meliar melihat di luar tingkap.

“Rasanya, tak salah kalau saya keluar sekejap sebelum mereka bangun,” Fatin mula terfikir sesuatu sebelum memakai jaket dan menyarung tudung.


Secara senyap-senyap, Fatin berjaya keluar dari rumah itu. Kegembiraan terpancar pada wajahnya memandangkan sudah lama dia tidak keluar dari rumahnya kerana abang-abangnya tidak membenarkannya keluar seorang diri.

“Seronoknya dapat jalan-jalan macam ni. Kalau tahu rasa seronok macam ni, dah lama saya keluar setiap pagi,”

Tinggi suara Fatin selepas melabuhkan punggungnya di sebuah bangku yang berada di taman rekreasi.

Tiba-tiba Fatin terasa sesuatu yang lembut dan berbulu pada kakinya. Matanya mula beralih pada kakinya. Senyumannya mula melebar.

“Wah! Comelnya kucing ini”

Tanpa berfikir panjang, Fatin terus mengangkat kucing itu ke atas pahanya. Anak kucing itu seronok apabila Fatin membelai dan mengusap kepalanya.

“Apa ye nak panggil awak? Hah, saya panggil awak Kiki ye”

“Miau”

Anak kucing tersebut seperti suka dengan nama tersebut. Sedang sibuk bermain dengan Kiki, tiba-tiba seorang lelaki yang agak sebaya dengan Fatin datang mendekatinya.

“Minta maaf”

Tersentak Fatin apabila terdengar suara yang amat asing baginya. Kepala dengan tubuhnya sekali menoleh ke arah lelaki itu.

“Eh? Ke..Kenapa pula awak minta maaf?” soal Fatin teragak-agak.

“Miau”

Kiki turun dari dakapan Fatin sebelum mendampingi lelaki itu.

“Kiki?” pelik Fatin apabila melihat kemesraan Kiki dengan lelaki itu.

Lelaki itu mengangkat tubuh Kiki ke dalam dakapannya.

“Maaf. Dia ni memang nakal sikit,” ujarnya.

Fatin mula memproses kata-kata lelaki itu. Matanya mula terbeliak sebelum dia bangun dari duduknya.

“Kucing ni awak punya ke?”

Melihat anggukan lelaki itu, Fatin terus menundukkan kepalanya ke arah lelaki itu.

“Maaf sangat-sangat. Saya ingatkan kucing ni kucing terbiar. Maafkan saya” 

“Tidak mengapa. Nampaknya Kiki dah ada teman. Baguslah. Dia asyik muram je kebelakangan ini sampai sanggup larikan diri dari rumah,” adu lelaki itu sambil mengusap kepala Kiki.

“Awak belum beri dia nama ke?”

“Belum. Lagipun nama Kiki sedap juga. Kenapa awak beri namanya begitu?”

“Sebab huruf ‘K’ hampir sama dengan huruf ‘C’ iaitu Cat, maksud kucing dalam Bahasa Inggeris. Lagipun, suku kata namanya hampir sama dengan nama saya”

“Siapa nama awak?”

“Nama saya Fatin, tapi abang-abang saya panggil saya, Fat. Pelik, kan?”

“Kenapa pula begitu? Awak bukan gemuk pun,” pelik lelaki itu sambil memandang Fati dari kepala hingga ke kaki.

Kurus keding saja dia tengok.

“Saya pun tak tahu. Sejak kecil dipanggil Fat. Nama awak pula?”

“Saya~” 


***********************


Sejak itu, Fatin sering keluar setiap pagi sehingga hubungannya dengan lelaki itu menjadi semakin akrab.

Tanpa diduga, berita itu sampai ke telinga ahli keluarganya. Pada suatu hari, Fatin sekeluarga berkumpul di meja makan atas arahan abang sulung Fatin.

“Adik, dengar kata kau keluar pagi-pagi buta demi seorang lelaki. Betul ke?” tanya abang long.

Fatin mula gelisah melihat wajah dingin abang-abangnya.

“Itu cuma khabar angin saja. Tak usah abang nak ambil tahu,” balas Fatin sambil mengukir senyuman manis.

“Teman lelaki kau ke?” tanya abang uda pula.

“Ye ke? Lain kali bawalah dia ke rumah. Abang nak jumpalah dengan dia. Mesti kacak, kan?” tidak sabar abang bongsu Fatin.

“Kau diamlah!” abang ngah mengetuk kepala abang bongsu.

“Sakitlah!!” meraung abang bongsu sambil megusap kepalanya.

“Dah-dahlah,”

Fatin cuba meleraikan pergaduhan abang-abangnya itu.

“Adik, kan Abang dah kata, jangan pernah keluar dari rumah, malah berbual-bual dengan orang yang tak dikenali. Kau pun tahu betapa bahayanya di luar sana sehingga kau pun hampir menjadi mangsa mereka!” tiba-tiba sahaja abang long meninggikan suaranya.

“Itu…cuma disebabkan kecuaian adik je,” air mata mula bergenang apabila abang sulungnya itu menaikkan suaranya kepadanya buat pertama kali.

“Sejak bila kau dah berubah ni? Along peliklah dengan adik. Adik jadi macam ni sebab lelaki itu ke?” soal abang long lagi.

“Sejak dulu adik asyik terperuk je di dalam rumah. Adik tak suka Abang mengongkong hidup adik. Adik pun ada hak juga!”

Fatin mula meninggikan suaranya. Dia pun tidak sedar perubahan pada dirinya itu.

“Kita duduk dulu, barulah sambung berbincang.”

Risau abang uda apabila melihat abang long dan adik bongsunya sedang berdiri sambil bertikam lidah.

Tanpa meminta diri, Fatin terus masuk ke dalam bilik kerana enggan mengalirkan air matanya di hadapan abang-abangnya.

“Haiya, dia dah merajuk pula,” mengeluh abang ngah.

“Abang dah melampaulah,” abang bongsu mula bersuara sambil memandang abang-abangnya.

“Kalau begitu, kau pergilah pujuk dia” arah abang ngah sambil menjeling ke arah abang bongsu.

“Kenapa Faris pula?” pelik abang bongsu.

“Sebab kau paling rapat dengan Fat. Cepatlah!” paksa abang ngah sambil menolak tubuh abang bongsu.

Abang bongsu yang sudah terjatuh dari sofa terpaksa akur. Dia berjalan ke bilik Fatin sebelum mengetuk pintu bilik itu.

“Adik, Abang masuk ye,” kata abang bongsu selepas tiada sahutan dari Fatin.

Pintu bilik Fatin dibuka. Kelihatan Fatin sedang menangis dengan badannya bersandar pada kepala katil. Tangannya erat memeluk lututnya.
Faris mendekati Fatin sebelum duduk di sebelahnya.

“Dahlah dik. Abang buat begitu pun sebab kami sayangkan adik. Kami risau jika sesuatu berlaku pada adik. Kami tak nak kehilangan adik. Cukuplah kami kehilangan ibu dan ayah,” pujuk abang bongsu apabila melihat adiknya menangis teresak-esak.

Belakang Fatin diusap secara perlahan-lahan.

“Adik rindu kat ibu dan ayah. Kenapa cepat sangat mereka pergi?” kepala Fatin dibaringkan di atas bahu Faris.

“Sabarlah dik. Abang pun rindukan mereka juga,” Faris turut mengalirkan air matanya apabila teringatkan ibu dan bapa kandungnya.

Di celah-celah pintu bilik Fatin, terdapat dua pasang mata sedang melihat agenda tersebut.

“Aduh, kenapalah lurus sangat budak tu!” geram abang uda sambil menutup pintu bilik Fatin.

 “Adik kau juga,” balas abang uda selamba.

“Hish!”




Keesokkan harinya, semasa Fatin sedang menyiapkan sarapan, abang-abangnya berkumpul di dalam bilik Faris.

“Apa??” terperanjat abang bongsu apabila mendengar permintaan abang-abangnya.

“Diam sikit! Nanti Fat dengar!” geram abang ngah sambil menekup mulut Faris.

“Hari ni kami busy. Cuma kau saja yang boleh kami harapkan. Please, Faris. Demi adik perempuan kita juga,” pujuk abang uda.

Abang ngah melepaskan tangannya apabila melihat adiknya kembali tenang.

“Nanti kalau Faris kena tangkap macam mana?” risau Faris.

“Pandai-pandai kaulah cover dan mereka cerita. Kami pergi dulu. Goodluck, Faris,” lalu abang-abangnya keluar dari bilik Faris menuju ke dapur.

“Abang jahat!!” menjerit Faris selepas pintu bilik ditutup oleh abang uda.




Di kedai buku, kelihatan abang ngah sedang mencari buku di setiap rak. Apabila menjumpainya, abang ngah ingin mengambilnya. Tetapi terlambat kerana seorang lelaki telah mengambil buku tersebut.

“Eh? Awak pun nak juga ke buku ni?”

Tanya lelaki itu apabila menyedari kehadiran abang ngah.

“Tak apalah kalau awak nak,” perlahan suara abang ngah.

“Tak apalah. Saya boleh mencarinya di kedai lain. Nah,” lelaki itu memberi buku itu pada abang ngah.

Selepas buku itu bertukar tangan, lelaki itu mula beredar dari situ.

“Sebentar!” terhenti pergerakan lelaki itu sebelum menoleh ke arah abang ngah semula.

“Apa kata selepas saya selesai membacanya, saya beri awak pinjam. Awak duduk kat mana?” soal abang ngah.

“Saya duduk berdekatan taman rekreasi” sopan lelaki itu.

“Ooh, dekat je dengan rumah saya. Saya Fahmi. Awak pula?” tanya abang ngah sambil menghulurkan tangannya.

“Saya Rahman. Selamat berkenalan,”

Mereka saling bersalaman.

“Dring dring!” telefon Rahman berdering.

“Sebentar ye,” lalu Rahman menjawab panggilan itu.

Selesai menjawab panggilan, Rahman mendekati Fahmi.

“Maafkan saya, saya ada hal sekarang. Saya nak minta diri dulu,” sopan Rahman.

“Saya pun nak balik ni. Nanti saya hubungi awak selepas selesai baca buku ni. Jumpa lagi,” lalu mereka berpisah selepas bertukar nombor telefon.

Fahmi mula terfikir sesuatu apabila kelibat Rahman hilang dari pandangannya. 




Semasa dalam perjalanan, Rahman ternampak seorang lelaki iaitu abang uda Fatin sedang sibuk mengutip barang-barangnya yang bertaburan. Disebabkan tidak sampai hati, Rahman segera membantunya.

Selepas selesai mengutip semua barang, abang uda memandang ke arah Rahman.

“Terima kasih sebab telah membantu saya. Tiba-tiba saja beg kertas ni koyak. Sebab tu terabur buku dan alat-alat tulis ni,” kata abang uda sambil menghulurkan tangannya pada Rahman.

Rahman menyambut huluran tangan itu.

“Tak apa. Kita nikan perlu saling bantu-membantu,” senyum Rahman.

“Awak duduk kat sini ke? Saya tak pernah nampak pun,” soal abang uda.

“Saya baru menetap di sini. Saya tinggal berdekatan dengan taman rekreasi tu,”

“Ooh, patutlah tak pernah nampak. Saya Farid,”

“Saya Rahman. Selamat berkenalan”

“Selamat berkenalan”

“Maaf, saya ada hal ni. Tak boleh nak berlama di sini. InsyaAllah, ada rezeki, kita berjumpa lagi,”

“Baiklah. Jumpa lagi. Assalamualaikum,”

Selepas menjawab salam, Rahman terus beredar dari situ.




Di dalam sebuah studio alat muzik, Rahman mencari seseorang sebelum mendekati seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi berdekatan dengan tingkap.

“Maaf, saya lambat,” sapa Rahman.

“Kenapa lambat? Dah lama saya tunggu tau!”

“Maaf Abang Farihin” bersalah Rahman kerana dia telah terlewat 20 minit dari janjinya.

“Kau duduklah dulu. Saya nak berbincanglah dengan kau ni,”

Selepas duduk di hadapan Farihin, Farihin memulakan luahannya.

“Rahman, kalau kau ada adik perempuan yang tak dengar cakap, apa yang kau akan buat?”

“Memahami dia. Mungkin Abang kasar sangat kut. Diakan perempuan, berbeza dengan adik abang yang lelaki tu. Dia pun ada hak, tak suka ni, tak suka itu. Abang tak boleh samakan perempuan dengan lelaki. Mereka ni jenis yang mudah terasa,”

“Kau ni macam ada pengalaman je. Kau dah ada teman wanita ke?” pelik Farihin.

“Belum lagi..”

Kata-kata Rahman terus dipotong oleh Farihin.

“Kalau begitu, kau kahwinlah dengan adik abang tu,” selamba Farihin menyebabkan muka Rahman menjadi merah.

“Tak payahlah susah-susah, bang,” menolak Rahman.

“Tak susah pun. Nanti saya berbincang dengan adik-adik yang lain. Jangan pula kau matikan telefon,” pesan Farihin sebelum memandang telefonnya.

“Abang Farihin!!”

Rahman ingin membantah namun Farihin menghiraukannya. Farihin mula bangun dari duduknya.

“Saya balik dulu ye. Nanti saya beritahu berita semasa. Jumpa lagi,” “Abang!!” tidak sempat Rahman berkata-kata kerana Farihin terus beredar dari situ.

“Memang saya tiada teman wanita. Tetapi, saya ada gadis yang disukai,” mengeluh Rahman.




Semasa makan malam, Farihin memandang wajah adik perempuannya.

“Fat, Abang nak satukan kau dengan kawan Abang” berterus-terang Farihin. 

“Puh!!” masing-masing tersembur sup.

“Abang long!!” terkejut Fatin.

“Abang tersilap makan ubat ke?” tanya Faris.

“Abang sihatlah!” balas Farihin.

“Walau apa pun, adik tak akan berkahwin,” nekad Fat sebelum masuk ke dalam biliknya.

Semakin lama dia di situ, nanti berlaku pula perang saudara.

“Keras kepala betullah budak tu,” merungut Farihin.

“Kami pun tak setuju!” bantah Farid.

“Tapi, Faris setuju” selamba Faris.

Farid dan Fahmi serentak menjeling Faris. Faris tak sanggup untuk membalas jelingan itu.

“Kenapa korang tak setuju?” tanya Farihin.

“Sebab saya dah jumpa lelaki yang sesuai dengan adik,” serentak Farid dan Fahmi.

“Kau pun?” pelik mereka.

“Kawan Farid tu baik hati dan sopan tau,” kata Farid.

“Kawan Fahmi pula lagilah baik hati,” lawan Fahmi.

“Fat dah ada boyfriendlah,” selamba Faris sambil menyambung makan makanan malamnya yang tergendala.

“Apa??” serentak mereka menoleh ke arah Faris.

“Kalau tak percaya, esok Faris tunjukkan gambar Fat dengan boyfriendnya,” serius muka Faris ketika itu.




Keesokkan harinya, mereka berkumpul di ruang tamu tanpa Fatin.

“Adik dah keluar. Cepat tunjukkan gambarnya” tidak sabar Farihin.

Mereka melihat gambar di dalam telefon Faris.

“Mana teman lelakinya?” tanya Farid.

“Inilah,”

Faris menunjukkan gambar teman lelaki Fatin yang dimaksudkannya.

“Eh??” pelik mereka.

Perasaan terkejut pun ada juga.

“Kenapa?”

Faris turut pelik melihat reaksi abang-abangnya.

“Betul ke ni boyfriend Fat?” tidak percaya Fahmi.

“Yelah. Kenapa?” pelik Faris.

“Faris, cuba kau tengok betul-betul gambar ni,” tersenyum Farid sambil menahan ketawa.

“Apa yang salah?” semakin bingung Faris.

“Kau biar betul ‘jantan’ ni nak jadi adik ipar kita?” geli hati Farihin.

“Apa salahnya??”

Faris mula meninggikan suaranya.

“Masalah ialah….HE IS A CAT!!” serentak abang-abangnya.

“Jadi..?” pelik Faris.

“Kenapalah lurus sangat kau ni!!” geram Farid.

“Macam mana kau tahu kucing ni boyfriend Fat?” soal Fahmi.

“Kan korang suruh Faris ekori adik, jadi, Faris ekorilah dia. Tiba-tiba Faris nampak adik sedang berbual-bual dengan kucing tu. Lepas tu, adik peluk dia, cium dia…Korang tak syak ke?” bersungguh-sungguh Faris bercerita.

“Tak mungkinlah.” bantah Farihin.

“Takkanlah Fat pun tak normal juga?” fikir Farid.

“Hish, tak baik cakap begitu. Dia adik kau juga,” kata Fahmi.

Mereka mula mendiamkan diri sambil berfikir tanpa menyedari kehadiran Fatin.

“Eh? Kenapa ada gambar adik dan Kiki ni?” pelik Fatin apabila melihat gambar di dalam telefon Faris.

“Hah?” terperanjat abang-abangnya.

“Ooo, patutlah adik pelik kenapa Abang tidak menghalang adik keluar. Rupa-rupanya ada udang disebalik batu,” angguk Fatin tanda faham.

“Salah Faris. Bukan salah kami,” tuduh Farid sambil memberi telefon kepada Faris.

“Apa pula? Abang yang suruh Faris ekori adik dan tangkap gambar dia yang mencurigakan, Faris ikutlah,” berterus-terang Faris.

“Shu!!” Farid dan Fahmi segera menutup mulut Faris.

“Patutlah adik rasa yang adik macam diperhatikan. Rupa-rupanya ini kerja Abang,” terkejut Fatin.

“Siapa suruh kau tolak pinangan kawan Abang,” kata Farihin dengan nada merajuk.

“Abang, adik pun ada kebebasan juga. Takkan abang nak tengok adik kahwin dengan orang yang tidak dikenali? Memanglah abang dah kenal dia tapi adik..?” luah Fatin dengan menggunakan nada yang lembut.

“Takkanlah Fat nak jadi bujang selama-lamanya?” tanya Farid.

“Abang ni tak pernah tanya apa yang adik inginkan. Semuanya abang yang tentukan. Adik dah 22 tahun, abang. Kalau ini yang abang inginkan, adik nak pergi dari sini!”

Fatin terus keluar dari rumah itu.




“Sampai hati abang buat macam tu kat adik sendiri,” menangis Fatin sambil berlari.

“Adik!!” abang-abang Fatin segera mengejar Fatin.

“Aduh! Apa yang telah saya lakukan terhadap adik sendiri?” kecewa Farihin apabila menyedari kesilapannya.

Ketika itu, mereka berada di tepi jalan raya.

“Adik!” Farihin dapat mencapai tangan Fatin.

“Lepaskan adik! Abang dah tak sayangkan adik lagi. Adik cuma berubah sedikit pun Abang nak kecoh macam ayam bertelur riuh sekampung. Abang tak pernah tanya apa yang adik inginkan selama ni. Semuanya abang yang kawal!”

Meronta-ronta Fatin sambil mencuba melepaskan pegangan tangan abang longnya.

“Adik, Abang yang silap. Adik tak salah. Janganlah pergi. Janganlah tinggalkan kami,” merayu Farihin sambil memegang tangan Fatin dengan erat.

Fatin menggigit tangan Farihin.

“Ahh!”

Farihin terus melepaskan pegangannya.

“Padan muka!”

Disebabkan tidak stabil akibat pegangan yang tiba-tiba dilepaskan oleh Farihin, Fatin jatuh terduduk di atas jalan raya.

“Aduh!” kesakitan Fatin.

“Adik, hati-hati!” jerit abang-abang Fatin menyebabkan matanya teralih pada kenderaan yang tidak jauh dari tempatnya.

“Eh?”

Mata Fatin terbeliak apabila melihat sebuah lori sedang menuju ke arahnya. Kebetulan berada di situ, Rahman segera menyelamatkan Fatin. Mereka terbaring di atas pejalan kaki.

“Adik!” abang-abang Fatin terus mendekati Fatin dan Rahman.

“Kali kedua,” perlahan suara Fatin.

“Eh?” pelik Rahman sambil menatap mata Fatin.

“Ini kali kedua awak menyelamatkan saya,” senyum Fatin pada Rahman. 

“Awak….perempuan yang hampir kemalangan 10 tahun yang lalu?” soal Rahman dengan nada yang terkejut.

Ketika itu, Rahman dan Fatin sudah bangun dari pembaringan.

“Adik, kau tak ada apa-apa ke?” risau abang-abang Fatin.

Tubuh Fatin dibelek beberapa kali oleh abang-abangnya.

“Adik tak ada apa-apa, abang,” geli hati Fatin melihat wajah kerisauan abang-abangnya.

“Terima kasih sebab menyelamatkan dia,” ucap mereka pada Rahman.

“Eh? Awak?” terkejut Farid dan Fahmi.

“Korang kenal ke dengan Rahman ni?” tanya Farihin.

“Abang pun kenal dengan dia ke?” pelik Fatin.

“Oh, Rahman, penyelamatku ketika bola tangkis tersangkut pada pokok minggu lepas” gembira Faris apabila turut mengenali Rahman.





“Oooo, rupa-rupanya Rahman pernah tolong Fahmi, bertolak-ansur dengan Farid, teman lelaki Fatin dan lelaki yang telah menyelamatkan nyawa Fatin sebanyak dua kali,” faham Farihin.

Ketika itu, mereka berada di dalam rumah untuk mengubati luka Rahman dan Fatin. Selesai menyapu ubat, mereka duduk di atas sofa di ruang tamu.

“Pernah selamatkan saya juga,” menyampuk Faris.

“Jadi, setuju ke kalau korang disatukan?” tanya Fahmi sambil menjeling pada Rahman dan Fatin.

“Kalau semua dah setuju, saya tak kisah. Lagipun, saya memang ada hati dengan Fatin sejak pertama kali kami bertemu. Itu pun kalau tuan punya badan terima saya sebagai suami,” malu-malu Rahman.

“Oooo…” ejek Farid, Fahmi dan Faris.

“Adik, kau setuju ke?” tanya Farihin sambil memandang wajah Fatin yang sudah kemerahan itu.

“Adik mana ada pilihan lain,” perlahan suara Fatin sambil memandang lantai.

“Cakaplah yang kau pun setuju” ejek Farid.

“Jahat Abang ni” geram Fatin sambil memukul lengan abang udanya. "Hahaha!" gembira mereka.



Akhirnya, Rahman dan Fatin diijabkabulkan. Seronok Kiki kerana ahli keluarganya semakin bertambah. Kini, keluarga itu bahagia bersama-sama dengan pasangan masing-masing.



Jika kita ada perbincangan dengan mendengar kata-kata kedua-dua belah pihak seperti ini, pastinya masalah tidak akan berlanjutan. Oleh itu, betapa pentingnya hidup kita ada persefahaman, perbincangan dan kasih sayang.



- TAMAT -




No comments:

Post a Comment