Tuesday, February 19, 2019

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2 (BAB 3)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2


BAB 3 - PERTOLONGAN

“Syaza, tolong bantu kami. Kami memerlukan pertolongan kalian di sini. Alam ini semakin musnah, Syaza. Kami tak mampu untuk membantu alam ini. Tolong kumpulkan yang lain Syaza. Alam ini memerlukan bantuan kalian berenam,”

“Nanti!” terjaga Nik Akhil apabila mendengar jeritan isterinya.

Tubuh Siti Syazanah yang sedang duduk dengan nafasnya yang tercunggap-cunggap didakap erat oleh Nik Akhil.

“Sayang mimpi buruk lagi ke?” risau Nik Akhil.

“Abang, sayang rasa mimpi itu benar, abang. Mereka memerlukan orang untuk menyelamatkan mereka,” teresak-esak Siti Syazanah di dalam dakapan suaminya.

“Shuu..bawa bertenang, sayang. Ianya hanya mainan tidur,” pujuk Nik Akhil.

Nik Akhil membelai isterinya sehingga isterinya kembali terlena. Selepas membaringkan isterinya semula, Nik Akhil mula berfikir. Hampir seminggu isterinya bermimpi ngeri dan meracau secara tiba-tiba. Dia bimbang jika mimpi itu memudaratkan kesihatan isterinya.

Pada pagi itu, Nik Akhil enggan berjauhan dengan isterinya kerana risau akan kesihatan isterinya namun isterinya membantah. Lagipun, Nik Akhil kerap mengambil cuti semata-mata untuk menjaga Siti Syazanah.

“Abang jangan risaukan sayang. Sayang baik-baik je. Baik abang pergi kerja sekarang. Nah, ini beg abang,”

Siti Syazanah menghulurkan beg kepada suaminya. Dengan lemah, beg tersebut disambut. Kucupan dilabuhkan pada dahi isterinya selepas Siti Syazanah mencium tangannya.

Selepas hilang kelibat suaminya, Siti Syazanah masuk ke dalam bilik stor. Dia mencari sesuatu di setiap sudut bilik tersebut.

“Dah jumpa!” lebar senyumannya apabila menjumpai sekotak besi bersaiz buku tulis sekolah yang berkunci.

Dia mengemas bilik yang bersepah disebabkan oleh perlakuannya sebelum masuk ke dalam bilik tidurnya. Kotak itu digilapnya dengan bersih. Dengan menggunakan kunci yang tergantung pada rantai lehernya, kotak tersebut berjaya dibuka.

Terdapat sebuah buku di dalam kotak tersebut. Dia mengeluarkan buku tersebut dan meletakkan kotak di atas meja bersebelahan dengan katil.

Badan disandarkan pada kepala katil sebelum dia memulakan pembacaannya. Buku tersebut merupakan buku nota yang digunakannya pada 5 tahun yang lepas. Disebabkan dia kurang pasti dengan isi kandungan pada buku nota itu walaupun ianya ditulis menggunakan tulisan tangannya sendiri, dia akhirnya menyimpan buku tersebut.

Sehelai demi sehelai helaian buku itu diselaknya. Pelbagai reaksi yang dipamerkan pada wajahnya apabila membaca nota tersebut.

Tepat pukul 6 petang, Nik Akhil pulang ke rumahnya.

“Sayang?” panggil Nik Akhil namun tiada sahutan.

“Sayang?!” cemasnya lalu mencari isterinya bermula dari dapur, tandas sehinggalah ke dalam bilik tidurnya.

“Sayang?! Alhamdulillah sayang tiada apa-apa,” tubuh isterinya yang sedang berdiri termenung di balkoni bilik tidurnya dipeluk dari belakang.

“Eh? Abang dah balik? Maafkan sayang sebab tak sedar,” terkejut Siti Syazanah apabila suaminya sudah pulang.

“Tak apa. Abang maafkan. Sayang, kenapa ni? Macam ada masalah je?” pelik Nik Akhil apabila isterinya ralit merenung matanya.

“Abang, abang pernah rasa apa-apa tak pada 5 tahun lepas?” soal Siti Syazanah.

“Emm…abang pun tak pastilah, sayang. Tetapi, abang mula berubah selepas terjaga dari tidur pada 5 tahun yang lepas. Kenapa sayang tanya ni?” ragu Nik Akhil.

“Kalau sayang cakap, abang akan percayakan sayang tak?” berhati-hati Siti Syazanah bertutur kata.

“Sayang nak kata apa?”

Soal Nik Akhil kembali selepas membawa isterinya duduk di atas katil. Pintu balkoni ditutup manakala lampu bilik tidur dibuka.

“Sebenarnya, kita pernah bertemu pada 5 tahun yang lepas, abang,”

Terkejut Nik Akhil.

“Saya tahu mesti abang terkejut. Sayang pun terkejut juga selepas membaca diari tadi,” sambung Siti Syazanah.

“Diari apa, sayang?” matanya teralih melihat buku yang berada di atas katil.

Mungkin itu diari yang dimaksudkan oleh isterinya.

“Saya nak abang baca diari ni. Lepas tu, sayang akan terangkan semuanya pada abang,” serius Siti Syazanah.

Melihat kesungguhan isterinya, Nik Akhil menganggukkan kepalanya. Dia juga ingin tahu dengan pertemuan pertama mereka.

Selesai membersihkan diri, makan malam dan solat berjemaah, mereka berdua masuk ke dalam kamar tidur semula. Siti Syazanah di dalam posisi baring manakala Nik Akhil bersandar pada kepala katil. Diari isterinya yang berusia 5 tahun itu dibaca dengan tekun.

Dia agak terkejut apabila namanya turut berada di dalam diari tersebut. Selesai membaca, dia menutup lampu tidur apabila menyedari isterinya sudah terlena di sampingnya. Dia memeluk isterinya sambil mencium ubun-ubun isterinya.

‘Alhamdulillah. Akhirnya, Syaza menjadi isteri abang juga,’ desis hati Nik Akhil.

Selepas membaca diari itu, ingatannya beransur-ansur kembali. Kebanyakan memori bersama Siti Syazanah ketika di alam aneh mula bermain-main di dalam ingatannya. Malah, isi hatinya kuat mengatakan bahawa dia menyukai gadis itu pada 5 tahun yang lalu. Kini, dia akhirnya berjaya memiliki gadis yang telah mencuri hatinya.

**********

“Tolong kami, Syaza,” gadis bersuara lembut muncul kembali.

“Jangan risau, kak Mila. Kami pasti akan menyelamatkan alam aneh,” nekad Siti Syazanah.

***********

Terkejut Siti Syazanah apabila suaminya turut mengingati kenangan di alam aneh itu. Selepas itu, Siti Syazanah menceritakan mimpi yang mengganggu lenanya baru-baru ini.

“Jadi, sayang kata yang alam aneh tu dalam bahaya?” soal Nik Akhil untuk kepastian.

Siti Syanah membalas dengan anggukan kepala.

“Ye, abang. Kak Mila dan abang Shahril berada di sana sekarang. Mereka berdua tak mampu untuk membantu makhluk di sana. Jadi, mereka panggil kita untuk dapatkan bantuan kita,” ujar Siti Syazanah.

Nik Akhil berfikir sejenak.

“Mungkin sebab itu kita dapat kembali ingatan kita. Baiklah. Mari kita cari yang lain,” kata Nik Akhil.

“Terima kasih, abang,” ceria muka Siti Syazanah lantas memeluk tubuh suaminya dengan erat.

Maka, Siti Syazanah memulakan pencarian dalam menjejaki empat ahli lain yang pernah membantu alam aneh pada 5 tahun yang lalu bersama-sama dengan suaminya, Nik Akhil.


Pada masa yang sama, posmen datang ke rumah mereka untuk memberi sepucuk surat. Nama mereka tertulis di atas surat tersebut.






<BAB 2          BAB 4>

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2 (BAB 2)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2


BAB 2 - DOKTOR PERIBADI

Hari demi hari mula berlalu. Akhirnya, Nik Akhil sudah sedar sepenuhnya dan bakal keluar dari hospital. Siti Syazanah masuk ke dalam bilik VIP itu selepas mengetuk pintu bilik. Terkejutnya apabila dia diberi perhatian oleh tiga jejaka yang kacak.

“Jadi, kaulah doktor tu?” sinis suara pelawat Nik Akhil.

“Bolehlah tahan,” celah pelawat yang kedua.

Berkerut dahi Siti Syazanah untuk memahami percakapan mereka.

“Khairi! Khalish! Jangan kacau dia!” tegas suara Nik Akhil yang sedang bersandar pada kepala katil.

“Jangan layan mereka, doktor,” sambung Nik Akhil.

Matanya bertembung dengan mata doktor itu.

“Hehe. Saja je nak usik dia. Maafkan kami, doktor,” sengih Khairi lalu memberi laluan kepada Siti Syazanah.

“Tak apa. Saya sudah biasa,” balas Siti Syazanah sebelum mendekati pesakitnya.

“Macam mana keadaan encik hari ni?” soal Siti Syazanah.

“Alhamdulillah makin baik,” jawab Nik Akhil.

Khairi dan Khalish tersengih panjang melihat adegan di mana senyuman Nik Akhil sangat manis membalas senyuman doktor itu.

‘Kawan kita sudah jatuh cinta’. Geli hati mereka.

Selesai memeriksa semua pesakitnya, Siti Syazanah berjalan ke kantin. Dia terserempak dengan ibu Nik Akhil.

“Doktor Syaza, boleh saya nak cakap sesuatu dengan doktor?” ragu Siti Syazanah dengan permintaan itu namun dia hanya akur.

Mereka berjalan ke kolam yang berada di hospital itu. Mereka duduk sebelah-menyebelah di atas kerusi yang tersedia.

“Datin nak cakap apa dengan saya? Pasal anak datin ke?” sopan Siti Syazanah bersuara.

“Ha’ah. Saya nak berbincang sesuatu dengan doktor pasal anak saya. Saya harap doktor dapat tunaikan permintaan saya,”

Pelik Siti Syazanah namun dia hanya mendengar butir bicara wanita itu.

“Saya harap doktor dapat menjadi doktor peribadi anak saya,” luah Datin Rasidah.

“Doktor peribadi? Maksudnya?” keliru Siti Syazanah.

“Saya harap doktor akan sentiasa berada di sisi Akil. Sejak akhir-akhir ni, dia asyik bekerja saja sehingga terlepas waktu makan dan waktu untuk berehat. Saya harap doktor dapat berada di sampingnya untuk melakukan semua itu,” kata Datin Rasidah.

“Kenapa bunyinya macam tugasan seorang isteri?” pelik Siti Syazanah sambil tergelak kecil.

“Memang itu niat saya. Saya ingin doktor menjadi menantu saya,” bulat mata Siti Syazanah.

Dia terdiam sebentar. Mata Datin Rasidah dipandang. Tiada tanda gurauan dari wanita itu. Maksudnya, dia serius untuk bermenantukannya?

“Saya sudah berbincang dengan anak saya dan dia bersetuju jika doktor menerima dia,” terlopong mulut Siti Syazanah.

“Bagi saya masa, datin,” lembut Siti Syazanah.

Datin Rasidah yang masih erat memegang tangan gadis itu mengangguk dengan lembut.

“Kami sudah menghantar rombongan meminang beberapa hari yang lepas. Kami semua bersetuju untuk memberi doktor ruang untuk berfikir dulu. Kami akan menerima segala keputusan doktor,”

Siti Syazanah mengeluh lemah. Patutlah ibu dan ayahnya menyuruhnya untuk pulang ke rumah. Rupa-rupanya ada rombongan meminang datang. Dia mula runsing. Patutkah dia menerimanya? Dengan lelaki yang tidak pernah dikenalinya? Namun, setiap kali berjumpa, pasti jantungnya berdegup dengan kencang. Adakah ini satu petanda?

Ya Allah, berikanlah petunjuk pada hambamu ini. Berdoa Siti Syazanah di dalam hatinya.

**********

Sebulan telah berlalu. Akhirnya, Nik Akhil Moktar selamat menjadi suami yang sah kepada Siti Syazanah. Kini, Siti Syazanah sudah berhenti menjadi doktor di hospital kerana dia ingin menjadi isteri sepenuh masa. Pada malam itu, mereka baring di atas katil sambil berpandangan.

“Terima kasih sayang kerana sudi menjadi isteri abang,” pipi isterinya dielus dengan lembut.

“Terima kasih juga pada abang kerana menerima sayang sebagai isteri abang,” manis senyuman Siti Syazanah.

“Geramnya abang tengok,” pantas tubuh isterinya ditarik ke dalam dakapannya.

Ubun-ubun isterinya dikucup lama. Rambut Siti Syazanah dibelai dengan lembut.

“Abang janji yang abang akan jaga isteri abang seperti nyawa abang sendiri,” nekad Nik Akhil.

“Tak baik cakap macam tu abang. Kita tak boleh main-main dengan nyawa ni. Kerana Allah kita di sini, kerana Allah jua kita kembali, kan?” ujar Siti Syazanah.

“Yelah, sayang. Tapi, abang tetap nak jaga dan lindungi sayang,” degil Nik Akhil.

Suasana menjadi sunyi. Mereka merasai kehangatan tubuh pasangan masing-masing.

“Sayang, dah tidur ke?” bersuara Nik Akhil.

“Belum lagi. Kenapa, abang?” pelik Siti Syazanah.

“Abang nak cakap sesuatu. Bila abang di hospital dulu, setiap kali berjumpa dengan sayang, hati abang rasa tenang je. Malah, bila sayang sebut ‘Nik Akhil’, abang seperti terasa sesuatu. Seperti, sayang amat penting dan berharga untuk abang. Hari-hari abang menantikan sayang muncul tau,” tersenyum Siti Syazanah mendengar cerita suaminya.

“Sebenarnya, sayang pun rasa macam tu juga, abang. Sampai sayang termimpi sebab rindukan abang. Tak sangka jodoh kita kuat dan akhirnya kita sah diijabkabulkan,” kata Siti Syazanah.

“Ye ke sayang sukakan abang juga? Maksudnya, abang tak bertepuk sebelah tanganlah ni?”

Melihat anggukan isterinya, dia kembali memeluk tubuh itu dengan erat. Dia bersyukur kerana menemui cinta sejati. Dulu, dia sangat nakal dan suka bergaduh. Namun, sejak peristiwa 5 tahun berlalu, dia mula berubah dan fokus dalam pengajiannya. Kemudian, dia mengambil alih jawatan ayahnya sebagai CEO di sebuah syarikat pembinaan.


Kini, dia sudah menemui cinta sejatinya. Dia berdoa agar tiada sesiapa yang akan merosakkan kebahagiaannya. Pasangan pengantin baru itu mula terlena.






<BAB 1          BAB 3>

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2 (BAB 1)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2


BAB 1 - DOKTOR DAN PESAKIT


Suasana hiruk-pikuk di bahagian kecemasan di sebuah hospital terkemuka. Kawasan pembinaan yang sedang dijalankan secara tiba-tiba runtuh. Ramai pekerja yang cedera dibawa ke bahagian itu. Seorang doktor yang dibuai mimpi tersedar apabila pager (alat komunikasi – radio panggil) miliknya berbunyi menandakan khidmatnya diperlukan dengan segera.

Pantas dia membetulkan tudungnya yang sudah tersarung pada kepalanya serta mengemaskan kot putihnya sebelum keluar ke jabatan kecemasan. Terkejut dia apabila melihat suasana yang riuh-rendah itu.

“Doktor Syaza, masuk ke bilik pembedahan 3 sekarang!” kedengaran suara Doktor Hidayah dari jauh apabila dia menjejakkan kakinya di situ.

“Baik!” laju langkah Siti Syazanah menuju ke bilik pembedahan 3.

Selesai membuat persiapan, dia masuk ke dalam bilik pembedahan 3.

“Situasi pesakit?” soal Siti Syazanah sambil melihat keadaan pesakit yang terbaring di atas katil tidak sedarkan diri.

“Pesakit disyaki mengalami kecedaraan pada kepala dan bahunya apabila runtuhan yang berlaku mengenai di kawasan tersebut. Memandangkan pesakit masih tidak sedarkan diri, kami jangkakan terdapat darah beku pada kepalanya,” kata salah seorang jururawat di situ.

Selepas mengenalpasti kecederaan pesakit, Siti Syazanah memulakan tugasannya. Hampir 3 jam dia berada di dalam bilik pembedahan 3 sehingga dia tidak menyedari matahari sudah terbit.

“Alhamdulillah, selesai juga,” lega Siti Syazanah sambil duduk bersandar pada sofa pejabatnya.

“Nah, air,” hulur rakan sekerjanya sekotak air.

“Terima kasih, Dayah,” huluran disambut beserta senyuman.

Doktor Hidayah duduk berhadapan dengan Siti Syazanah.

“Macam mana keadaan pesakit yang berada di bilik bedah 3 tadi, Syaza?” soal Hidayah sambil menyedut air menggunakan straw minuman.

“Dia hampir ‘pergi’ tadi. Tiba-tiba je jantungnya berhenti. Terkejut Syaza. Tapi, alhamdulillah hayatnya masih panjang dan jantung dia kembali berdegup. Sekarang dia dimasukkan ke wad VIP memandangkan dia orang penting katanya,” panjang cerita Siti Syazanah.

“Ooo..jadi, dia di bawah jagaan Syaza ke?” tanya Hidayah.

“Ha’ah. Lepas sarapan nanti Syaza kena periksa dia dan berjumpa dengan ahli keluarganya untuk menerangkan keadaan pesakit. Penatnya. Dahlah malam tadi tidur 2 jam je,” mengeluh Siti Syazanah namun dia sedar bahawa khidmatnya amat diperlukan.

“Itulah dinamakan kehidupan, Syaza. Wei Syaza. Bila kau nak kahwin ni? Umur dah 24 kan?” usik Hidayah.

“Kahwin? Entahlah, Dayah. Jodoh belum sampai lagi kut. Lainlah dengan kau. Dah jadi tunang orang. Cemburunya,” luah Siti Syazanah.

“InsyaAllah jodoh kau nanti sampailah. Doa yang baik-baik Syaza,” pujuk Hidayah.

“Terima kasih, Dayah. Jomlah kita sarapan di kantin. Nanti lewat pula nak periksa pesakit,” ajak Siti Syazanah.

**********

Bilik VIP bernombor 27 diketuk dengan lembut. Pintu dibuka dari dalam. Seorang lelaki yang agak berusia namun pemakaiannya amat kemas muncul di muka pintu.

“Doktor ke yang merawat anak saya?” bersuara lelaki itu.

“Ye saya. Mari kita berbincang di dalam sementara saya memeriksa anak tuan,” sopan Siti Syazanah.

Lelaki itu mempelawanya masuk. Kelihatan seorang wanita yang agak berusia serta seorang gadis sedang menangis berdekatan dengan pesakit. Mereka menoleh memandangnya apabila ayah pesakit bersuara.

“Sayang, Ila, bagi doktor periksa abang jap,”

Mereka akur dengan lelaki itu. Selepas memeriksa keadaan pesakit, Siti Syazanah menulis sesuatu pada dokumennya.

“Bagaimana keadaan anak saya, doktor?” sebak suara wanita itu.

“Alhamdulillah keadaan pesakit semakin baik. Kami berjaya membuang darah beku pada kepala pesakit. InsyaAllah, tidak lama lagi pesakit akan sedar. Sebelum tu, nama saya Doktor Syaza yang akan memantau perkembangan pesakit,” manis senyuman Siti Syazanah.

“Alhamdulillah,” lega mereka.

“Terima kasih, doktor,” ucap mereka.

“Sama-sama. Boleh saya dapatkan maklumat tuan supaya senang untuk saya hubungi jika sesuatu berlaku pada pesakit?” tanya Siti Syazanah.

“Boleh, doktor. Ini kad saya,” kad yang dihulurkan disambut lembut oleh Siti Syazanah.

“Dato’ Nik Muhammad Hassan?! Maafkan saya Dato’ sebab menggelar diri Dato’ sebagai tuan tadi,” sesal Siti Syazanah.

Dia berasa bersalah kerana sebelum ini dia pernah dimarahi oleh pelawat pesakit kerana menggelarnya sebagai tuan dan bukannya Dato’.

“Panggil saya encik pun tak apa, Doktor. Lagipun, itu hanyalah pangkat sahaja. Bukan boleh dibawa ke kubur pun nanti,” balas lelaki itu.

“Bagusnya kalau semua orang berfikir macam Dato’,” terlepas kata-kata Siti Syazanah.

“Sesuatu berlaku pada doktor ke sebelum ini?” soal wanita itu sambil mendekati Siti Syazanah.

“Hah? Tak..tak ada apa-apalah, Datin. Saya minta diri dulu ye. Assalamualaikum,” pinta Siti Syazanah.

Selepas bersalaman dengan dengan wanita itu serta gadis ayu itu, Siti Syazanah keluar dari bilik tersebut.

“Abang, saya berkenanlah dengan doktor tu,” bersuara wanita tua itu.

“Betul tu, papa. Adik pun suka dengan dia. Cantik dan lembut orangnya,” sokong gadis ayu itu.

“Tahulah nanti papa buat apa,” senyum lelaki tua itu.

Dia turut menyenangi dengan sikap doktor itu.

**********

Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Dia tergerak hati untuk menjenguk pesakitnya yang berada di bilik VIP bernombor 27. Selesai memeriksa pesakit, dia merenung lama wajah pesakit itu. Walaupun berbalut, tetapi masih terserlah kekacakan pada wajah pesakit itu. Secara tiba-tiba, jantungnya berdegup dengan kencang.

‘Kenapa dengan jantung pula ni?’ resah Siti Syazanah.

“Emm?” tersentak Siti Syazanah apabila mendengar bunyi tersebut.

Pantas matanya memandang wajah pesakit itu kembali. Malah, tangan pesakit itu mula memberi reaksi.

“Encik Nik Akhil Mokhtar, jika encik boleh mendengar suara saya, sila naikkan jari telunjuk encik,”

Pesakit itu menaikkan jari telunjuk kirinya.

“Alhamdulillah encik sudah sedar. Saya Doktor Syaza yang merawat encik. Sekarang encik berada di hospital,” terang Siti Syazanah.


Nik Akhil berasa tenang mendengar suara doktor itu. Malah, hatinya berbunga-bunga untuk melihat gadis lembut itu namun matanya masih berat untuk dibuka.






<SINOPSIS          BAB 2>