Monday, March 4, 2019

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2 (BAB 9)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2


BAB 9 - BERKUMPUL

Nur Halimah dan Tengku Ehsan berjalan berpegangan tangan ke arah pengantin baru yang berbaju biru muda. Ceria wajah pengantin lelaki apabila melihat mereka lantas memeluk tubuh Tengku Ehsan dengan erat.

“Selepas 5 tahun, akhirnya kita dapat bertemu semula. Sihat ke, Izan, Ima?” lebar senyuman Ismail Razak sambil meleraikan pelukannya.

“Alhamdulillah kami sihat. Terima kasih Raz kerana menjemput kami,” balas Tengku Ehsan.

“Siapa mereka, abang?” soalan Shasya Edrina mengejutkan mereka.

“Mereka ialah kawan baik kita, sayang. Ini Ima, dan yang ini Izan,” jawab Ismail Razak.

“Ed, boleh saya peluk tak?” lembut pertanyaan Nur Halimah.

Shasya Edrina tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Nur Halimah memeluk erat tubuh gadis itu. Tanpa disedari, air mata mereka berdua mengalir.

“Dia masih belum ingat lagi ke, Raz?” tanya Tengku Ehsan.

“Hanya Ed je belum ingat. Oh ya. Tadi kami berjumpa dengan Syaza dan Akil, mereka baru balik tadi. Baik korang cepat kejar mereka,” balas Ismail Razak.

“Ye ke? Sayang, jom kita jumpa Syaza dan Akil,” ajak Tengku Ehsan.

Nur Halimah melepaskan pelukannya. Dia memegang kedua-dua tangan Shasya Edrina.

“Nanti kita berjumpa lagi ye, Ed,” kata Nur Halimah beserta senyuman manis.

Selepas itu, Tengku Ehsan dan Nur Halimah terus ke tempat letak kereta. Nur Halimah ternampak Siti Syazanah lalu menjerit nama gadis itu. Namun, gadis itu tidak dapat melihatnya. Nur Halimah terus berlari meninggalkan suaminya di belakang.

“Sayang!” Tengku Ehsan mengejar isterinya.

“Syaza!” panggil Nur Halimah sambil berlari.

Dia hampir berputus asa. Apabila melihat kelibat Siti Syazanah yang sedang menghadapnya, dia tersenyum sambil menitis air matanya. Mereka berdua berlari dan akhirnya berpelukan antara satu sama lain.

“Ima rindukan Syaza,” mengalir air mata Nur Halimah.

Pelukan dieratkan untuk melepaskan rindunya.

“Syaza pun rindukan Ima juga. Tapi, macam mana…bagaimana..?” teragak-agak Siti Syazanah sambil memandang wajah gadis itu.

“Kami dah ingat semuanya,” kata Tengku Ehsan sambil mendekati isterinya.

“Izan?” serentak Siti Syazanah dan Nik Akhil melihat jejaka itu.

“Hei, Akil. Akhirnya, kau kahwin juga dengan Syaza ye. Tak sia-sia usaha kau,” usik Tengku Ehsan sambil menumbuk dada Nik Akhil dengan lembut.

“Jap. Macam mana korang boleh ingat?” keliru Nik Akhil.

Nur Halimah dan Tengku Ehsan saling berpandangan. Kemudian, mereka serentak ketawa. Pelik Nik Akhil dan Siti Syazanah melihat mereka.

“Nanti kami cerita kat korang. Jadi, apa yang perlu kita buat sekarang? Kata Raz, korang nak kumpulkan kita berenam. Ada apa?” soal Tengku Ehsan.

“Oh. Ini kunci rumah dan alamatnya. Nanti kita berkumpul di rumah ni. Masa tu, kami akan ceritakan semuanya,”

Nik Akhil menghulurkan sampul surat kepada Tengku Ehsan.

“Ok. Kami akan berkemas malam ini juga. Haha,” seloroh Tengku Ehsan.

Geli hati mereka.

“Tapi, Ed masih belum ingat kita lagi,” sayu suara Nur Halimah.

“Jangan risau, Ima. InsyaAllah Ed akan ingat semula nanti. Yang penting, kita berenam sudah berkumpul semula,” lebar senyuman Siti Syazanah.

“Baiklah. Kami kena balik rumah dulu. Mertua nak jumpa,” pinta Nik Akhil.

“Ok. Hati-hati memandu,” balas Tengku Ehsan.

“Selamat pengantin baru, Ima, Izan,” ucap Siti Syazanah.

Dia terkejut apabila melihat cincin yang tersarung pada jari manis Nur Halimah. Selepas gadis itu memberitahu bahawa dia sudah berkahwin dengan Tengku Ehsan, dia tersenyum. Tidak sangka lelaki yang suka menyakat orang itu akhirnya jatuh cinta dengan gadis pendiam seperti Nur Halimah. Cantik sungguh percaturan hidup yang ditetapkan Allah.

“Selamat pengantin baru juga, Syaza, Akil. Akil, jangan buli Syaza tau. Kalau tak, siap awak nanti,” tegas suara Nur Halimah.

“Wow. Mana Ima yang pemalu dan lembut ni? Sejak bila jadi ganas ni? Izan buat apa-apa kat Ima ke?” seloroh Nik Akhil.

“Kau tak tahu lagi macam mana kami berjumpa, Akil. Bergaduh je kerja kami,” mengeluh Tengku Ehsan.

Cubitan berbisa hinggap pada lengan Tengku Ehsan.

“Aduh! Sakitnya sayang,” adu Tengku Ehsan.

Geli hati Nik Akhil dan Siti Syazanah melihatnya. Akhirnya, mereka berenam beroleh kebahagiannya masing-masing.

Sepanjang perjalanan ke rumah ibu bapanya, Siti Syazanah asyik tersenyum.

“Gembiranya, sayang,” tegur Nik Akhil yang sedang memandu kereta.

“Mestilah, abang. Selepas 5 tahun, akhirnya kita dapat bertemu semula. Tak sabar rasanya nak berkumpul nanti,” ceria wajah Siti Syazanah.

Nik Akhil turut tersenyum melihat isterinya gembira.

“InsyaAllah lagi 3 hari kita berkumpul ye, sayang,”

Siti Syazanah membalas dengan anggukan kepala. Dia berasa teruja untuk menantikan ketibaan hari yang ditunggu-tunggu selama ini.

**********

“Betul ke adik nak tinggal di pangsapuri tu?” soal kakak Siti Syazanah untuk kepastian.

Siti Syuzanah berasa keberatan apabila satu-satunya adik perempuannya menyatakan hasrat untuk tinggal di pangsapuri buat sementara waktu.

Siti Syazanah mengukir senyuman sebelum memegang tangan kakaknya dengan erat.

“Jangan risau, kak Yuza. InsyaAllah kami tak tinggal lama di sana. Kami ada sesuatu yang perlu diselesaikan dengan kawan-kawan kami, kak. Kak Yuza doakan kami ye supaya masalah ni dapat diselesaikan dengan cepat dan lancar 
ye,” ujar Siti Syazanah.

“Baiklah kalau adik sudah cakap macam tu. Kak Yuza doakan baik-baik untuk adik, suami adik dan kawan-kawan adik. Adik jaga diri baik-baik tau,” walaupun berasa keberatan, namun, selepas melihat kesungguhan adiknya, akhirnya Siti Syuzanah mengalah.

Dia amat berharap adiknya akan selamat walaupun dia tidak mengetahui ‘masalah’ yang dimaksudkan oleh adiknya itu.

Di luar rumah, kelihatan Nik Akhil dan Siti Syazanah sedang bersalaman dan berpelukan dengan ibu bapa mereka.

“Kak jaga diri baik-baik tau. Kalau abang buli kakak, kakak beritahu je pada Akilah. Nanti Akilah belasah dia kuat-kuat,” kata Nik Akhilah.

Geli hati Siti Syazanah mendengar seloroh adik iparnya. Nik Akhil yang bermuka dingin mendekati mereka sambil memeluk bahu isterinya.

“Eleh. Ada hati nak belasah abang pula. Sedarlah yang kau tu kecil, dik. Lagipun, abang akan jaga kak Syaza dengan baik dan akan melindungi dia walau apa pun perkara yang berlaku. Itu janji abang,” nekad Nik Akhil.

Terharu Siti Syazanah mendengarnya. Semestinya dia tidak silap memilih pasangan hidupnya. Yang lain turut berasa tenang apabila mendengar kata-kata serius Nik Akhil.

“Baiklah. Kami pergi dulu. Jumpa lagi, walid, ummi, ibu, ayah, Akilah dan kak Yuza. Assalamulaikum,”

Salam Siti Syazanah dibalas serentak. Selepas hilang kelibat kereta Nik Akhil, mereka masuk ke dalam rumah pasangan pengantin yang baru pergi itu. Mereka bermalam di situ atas permintaan Nik Akhil dan Siti Syazanah yang menginginkan mereka berkumpul di rumah itu.

Mereka hanya diberitahu bahawa pasangan itu akan tinggal di sebuah pangsapuri sewa di mana pernah diduduki oleh abang kepada kawan-kawan Nik Akhil, iaitu Khairi dan Khalish. Untuk berkumpul semula dengan rakan-rakan mereka yang terpisah selama 5 tahun, mereka akhirnya membenarkan pasangan itu tinggal di sana buat sementara. Hanya Siti Syuzanah yang mengetahui bahawa mereka menghadapi masalah yang perlu diselesaikan dengan segera namun tidak jelas masalah yang dimaksudkan itu. Dia hanya mampu berdoa dari jauh supaya semuanya dipermudahkan dan adiknya selamat.

**********

“Abang! Cepatlah! Nanti mereka pergi pula,” jerit Hazimah yang berada di tingkat bawah.

Kelihatan seorang jejaka sedang menuruni tangga sambil memandang gadis yang menjerit namanya sebentar tadi.

“Sabarlah, dik. Abang cari telefon tadi,” kata Hazim.

“Apa-apa jelah, abang. Jom kita keluar sekarang. Mereka dah nak bertolak tu,” balas Hazimah.

Dia melangkah ke luar rumah.

“Jadi, kak Ima duduk dengan kawan-kawan yang dah terpisah 5 tahun? Reunionlah ni?” bulat mata Hazimah apabila mengetahui sebab abang dan kakak iparnya ingin tinggal di pangsapuri buat sementara waktu.

“Ye, dik. Jadi, masa kami tak ada nanti, minta tolong tengok-tengokkan rumah ini ye?” celah Tengku Ehsan.

“Jangan risau, abang Izan. Azimah dan abang Azim akan jaga rumah ini baik-baik,” gembira gadis yang berusia 18 tahun itu apabila diberi kepercayaan kepadanya.

“Bila abang kata nak jaga rumah ini, dik? Abang tak tahu apa-apa pun,” muncul Hazim berdiri di sebelah Hazimah.

“Alaa…Takkan adik nak duduk sorang-sorang di rumah ni, abang. Abang pun tinggallah di rumah ini ye? Pleaseeee…,” meleret suara Hazimah untuk memujuk abangnya.

Tersenyum Nur Halimah melihat kecomelan adik sepupunya.

“Yelah, dik. Dengan syarat, adik yang mengemas rumah, memasak, membasuh baju dan semuanya adik yang buat, boleh?” usik Hazim.

“Baiklah. Adik akan buat semuanya untuk abang,” serius nada Hazimah.

“Tak baik abang Azim buli adik tu. Dia dahlah lurus orangnya,” kata Nur Halimah.

Dia faham dengan perangai abang sepupunya yang gemar mengusik adiknya itu. Mustahil Hazim akan membiarkan satu-satunya adik kandungnya tinggal di rumah itu seorang diri. Hazim seorang yang penyayang dan seorang abang yang baik. Dia sentiasa menjaga Hazimah dan Nur Halimah dengan baik.

Jika sesuatu yang buruk berlaku pada adik kesayangannya itu, pasti abangnya akan membalas. Dia juga banyak meluangkan masa untuk mereka asalkan adik-adiknya gembira dan bahagia.

“Terima kasih, abang Azim,” ucap Tengku Ehsan semasa memeluk tubuh Hazim.

“Perkara kecil je, Izan. Jaga Ima baik-baik tau. Kalau dia cedera atau dia menangis, siap Izan nanti abang kerjakan,” serius nada Hazim.

“Jangan risau, abang Azim. Izan janji yang Izan akan menjaga Ima seperti nyawa Izan juga,”

“Apa ni, abang Azim. Janganlah ugut suami Ima,” geram Nur Halimah apabila mendengar ugutan abang sepupunya.

“Itu pun nak marah,” mencebik muka Hazim.

Geli hati mereka apabila melihat wajah Hazim. Macam budak-budak sahaja.

“Kami pergi dulu. Assalamualaikum,” lambai Nur Halimah dari tingkap kereta.






<BAB 8          BAB 10>

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2 (BAB 8)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2


BAB 8 - KEMEJA

Nur Halimah berlari dengan kadar yang perlahan di kawasan taman. Kemudian, dia berjalan-jalan di sekitar taman sambil menghirup udara segar. Langkahnya terhenti apabila ternampak benda yang berwarna hitam berada di atas sebuah bangku. Matanya sudah bulat manakala mukanya mulai pucat.

“Ap..pa tu?” dia bertanyakan pada dirinya.

Apabila benda hitam itu mula bergerak, Nur Halimah terus berundur secara perlahan-lahan.

Tanpa membuang masa, dia terus memusingkan badannya dengan pantas sambil matanya yang dipejam. Dia tidak menyedari bahawa seseorang sedang berdiri berdekatan dengannya menyebabkan tubuh tersebut dilanggar.

“Dush!”

“Aduh!” kesakitan mereka.

Nur Halimah yang terasa menghempap sesuatu yang lembut terus membuka matanya. Terkejut dia apabila mendapati dirinya sedang menghempap tubuh Tengku Ehsan lantas terus bangun.

“Ma..macam mana awak boleh berada di sini?” teragak-agak Nur Halimah.

“Mana maaf awak?” mendatar suara Tengku Ehsan sambil bangun dari pembaringan.

Dia mengibas kotoran pada pakaiannya.

“Ma..maafkan saya. Tapi, salah awak juga sebab berdiri di belakang saya tiba-tiba,” balas Nur halimah.

“Awak yang takut sangat dengan kucing hitam tu kenapa? Dia bukan makan awak pun,” ejek Tengku Ehsan.

“Laa..kucing ke? Ingatkan apa tadi,” lega Nur Halimah.

Geli hati gadis itu kerana bersangka buruk dengan ‘benda’ hitam yang menakutkannya sebentar tadi. Melihat ketawa kecil gadis itu, Tengku Ehsan turut ketawa.

“Lain kali jangan buat andaian sendiri. Tapi, saya rasa macam perkara ni seperti pernah berlaku je sebelum ni,” fikir Tengku Ehsan.

“Awak pun fikir macam tu juga ke? Samalah macam saya. Saya pun rasa macam benda ni pernah berlaku,” bulat mata Nur Halimah.

“Hahaha. Comellah awak ni. Awak tak nak tahu ke kenapa saya boleh ada di sini?” duga Tengku Ehsan.

“Itukan soalan yang saya tanya awak tadi. Jadi, apa yang CEO terkenal buat di taman ini?” balas Nur Halimah.

“Saya datang ke rumah bakal mertua saya,”

Jawapan Tengku Ehsan menaikkan bulu roma Nur Halimah. Jantungnya pula terasa lain degupannya.

“A..awak nak kahwin dah? Tah..niah,” gagap Nur Halimah.

Dia membelakangkan Tengku Ehsan. Pandangan ditundukkan memandang lantai. Dia pun pelik dengan perasaan cemburu dan sedih yang menyelubungi dirinya ketika itu.

“Awak tak nak tahu ke siapa bakal isteri saya?” soal Tengku Ehsan.

“Saya bukannya wartawan. Saya hanyalah seorang penyelidik dan pensyarah di sebuah universiti sahaja,” jawab Nur Halimah dengan lemah.

“Tetapi, bagaimana ye seorang penyelidik dan pensyarah itu berjaya mencuri hati seorang CEO terkenal?” terkejut gadis itu apabila mendengar kata-kata  Tengku Ehsan.

Dia memalingkan tubuhnya memandang jejaka tersebut. Mereka saling bertatapan.

“Gadis itu buat apa yer sampai tidur malam CEO itu diganggu? Sepanjang malam dia teringatkan gadis itu. Akhirnya, dia buat keputusan untuk menikahi gadis tersebut. Tetapi, gadis itu seperti tidak berminat pula dengan CEO terkemuka tu,”

Tengku Ehsan membuat muka yang sedih. Nur Halimah masih dalam keadaan terkejut.

“Siapa nama bakal isteri awak?” soal Nur Halimah.

“Nur Halimah binti Hamidin,” senyum Tengku Ehsan.

Air mata mula bergenang. Dia tidak silap dengar, kan? Jejaka itu ingin menjadikan dia sebagai seorang isteri?

“Ta.. tapi, saya hanya orang biasa,” balas Nur Halimah.

“Kita hanyalah manusia biasa, Ima. Pangkat dan darjat tidak membezakan kita di sisi Allah. Awak sudi tak terima saya sebagai seorang suami, Ima?” lembut luahan Tengku Ehsan.

“Ta..tapi..,” teragak-agak Nur halimah.

“Saya tahu apa yang awak fikirkan sekarang. Mula-mula saya ragu juga. Selepas membuat solat istikharah, saya yakin dengan jawapan yang saya dapat. Oleh itu, saya terus merisik awak kerana saya enggan orang lain mendahului saya,”

Air mata gadis itu mengalir. Dia juga terasa sesuatu apabila bersama-sama dengan jejaka di hadapannya. Cuma, dia menyembunyikan perasaan itu melalui kata-kata dan layanan yang kasar. Namun, Allah Maha Mengetahui. Tiada apa yang dapat disembunyikan termasuklah isi hatinya.

“Jadi, awak terima saya ke, Nur Halimah binti Hamidin?” soalnya lagi.

Secara perlahan-lahan, Nur Halimah menganggukkan kepalanya.

“Alhamdulillah!” teruja Tengku Ehsan.

**********

Sudah 3 hari Tengku Ehsan dan Nur Halimah tinggal serumah sebagai suami isteri yang sah.

“Sayang!” panggil Tengku Ehsan dari kamar tidurnya.

“Ye, abang. Kejap!” pantas Nur Halimah menanggalkan apronnya menuju ke suaminya.

“Kenapa, abang?” pelik Nur Halimah.

Raut wajah suaminya seperti terkejut sambil memegang sehelai kemeja.

“Ini kemeja siapa, sayang?” soal Tengku Ehsan.

“Ini bukan sayang punya, kan? Macam mana kemeja lelaki boleh ada di dalam almari sayang?” sambungnya.

“Sebenarnya, sayang pun tak tahu siapa punya kemeja tu, abang,” terkejut Tengku Ehsan dengan jawapan isterinya.

“Maksud sayang?” soalnya.

Nur Halimah menarik tangan suaminya dan mendudukkan suaminya di atas katil. Kemudian, dia pula duduk bersebelahan dengan jejaka itu.

“Ia berlaku 5 tahun yang lalu. Bila sayang terjaga dari tidur, sayang terus menangis tanpa henti. Puas Hazim dan Hazimah pujuk sayang. Sayang tetap terus menangis. Cuma, yang peliknya…,” cerita Nur Halimah.

Hazim dan Hazimah merupakan sepupu Nur Halimah.

“Apa yang pelik, sayang?”

“Bila sayang peluk dan bau dari kemeja ni, sayang berhenti menangis,” sambungnya sambil menunding jarinya pada kemeja yang berada di pegangan suaminya.

Terbeliak mata Tengku Ehsan.

“Dari mana datangnya kemeja ni, sayang?”

Nur Halimah membalas dengan gelengan kepala.

“Sayang pun tak tahu, abang,” jujur Nur Halimah.

Tengku Ehsan membuka lipatan kolar. Terdapat tulisan pada kolar tersebut. Dia menunjukkan tulisan itu pada isterinya. Terbeliak mata Nur Halimah.

“Macam mana boleh ada nama kita, bang? Abang conteng ke baju ni?”

“Untuk pengetahuan sayang, 5 tahun lepas, abang kehilangan kemeja kesayangan abang yang berwarna biru lembut. Abang sayang sangat kat kemeja tu sampai tulis nama abang pada lipatan kolar. Macam ni,” ujar Tengku Ehsan.

“Kalau betul ini kemeja abang, macam mana boleh ada pada sayang?” keliru Nur Halimah.

“Itu yang abang bingung sekarang ni. Kalau abang yang bagi, mesti abang akan berikan pada orang yang istimewa sahaja. Tapi, kita pernah ke berjumpa sebelum ni? Itu yang abang sedang fikirkan sekarang,” serius kata-kata Tengku Ehsan.

Sedang mereka berdua berfikir, loceng rumah mereka berbunyi.

“Biar abang yang buka,” lalu Tengku Ehsan berjalan ke pintu utama.

Nur Halimah menyarung tudungnya sebelum mengekori langkah Tengku Ehsan.

“Terima kasih,” ucap Tengku Ehsan.

Pintu ditutup lalu dia duduk di atas sofa di ruang tamu. Nur Halimah duduk bersebelahan dengan suaminya.

“Surat apa ni, abang?” soal isterinya.

Tengku Ehsan membuka surat yang tertulis namanya serta nama isterinya.

“Surat jemputan? Siapa kahwin?” pelik Nur Halimah.

“Ismail Razak dan Shasya Edrina? Macam pernah dengar je nama mereka?” fikir Tengku Ehsan.

“Raz dan Ed?!” serentak mereka.

“Jap. Kita kenal mereka ke abang? Macam mana kita kenal mereka, abang?” pening Nur Halimah.

“Abang pun pening juga, sayang. Cuba sayang baca surat khabar ni. Apa yang sayang fikirkan?” helaian akhbar diangkat menghadap wajah isterinya.

Sepasang suami isteri tersenyum bahagia di dada akhbar.

“Akil dan Syaza. Eh? Macam mana sayang kenal mereka?” terkejut Nur Halimah dengan perkataan yang terkeluar dari mulutnya.

“Sayang sama dengan abang. Abang pun terkejut sebab mengenali mereka,” akhbar dilipat dan diletakkan di atas meja.

“Syaza, Akil, Raz, Ed, Izan dan Ima. Enam pelajar yang berumur 19 tahun didapati hilang secara tiba-tiba. Bukti yang dapat dijumpai hanyalah telefon bimbit yang berada di lokasi terakhir mereka namun bukan milik mangsa,” perlahan suara Nur Halimah.

Tiba-tiba mata Tengku Ehsan dan Nur Halimah menjadi bulat.


“Alam aneh!” serentak mereka.






<BAB 7          BAB 9>

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2 (BAB 7)

NOVEL : PENGEMBARAAN KE ALAM ANEH 2


BAB 7 - PERGADUHAN

“Ima! Sini kejap!” kedengaran nama Nur Halimah dipanggil.

Gadis yang sedang berada di dalam makmal segera ke arah ketua penyelidik, Nur Haruni.

“Ye, saya,” sahut Nur Halimah.

“Kejap lagi kita ada tetamu. Mereka cadang nak membiayai kos penyelidikan kita. Pastikan Ima tidak buat silap,” tegas suara Haruni.

“Baiklah, cik Haruni,” akur Nur Hakimah.

“Bagus. Sediakan dokumen yang diperlukan nanti. Pukul 10 nanti mereka tiba,” seusai itu, Haruni beredar meninggalkan rakan penyelidiknya.

“Fuh! Ingatkan kena marah tadi,” lega Nur Halimah.

Dia memandang jam pada dinding makmal. Baru pukul 9 pagi. Tinggal lagi sejam.

“Bolehlah sambung buat laporan,” lalu Nur Halimah menyambung kerjanya.

Tidak lama kemudian, seorang jejaka masuk ke dalam makmal itu.

“Busuknya. Bau apa ni?” merungut dia.

Dia ternampak Nur Halimah sedang tersenyum sambil menulis laporan. Secara perlahan-lahan, dia mendekati gadis yang bertudung itu.

“Tulis diari ke?”

“Oh mak kau!” melatah Nur Halimah kerana terkejut mendengar sergahan itu.

Matanya tajam memandang jejaka yang berdiri di belakangnya.

“Awak ni siapa? Mana boleh orang luar masuk sesuka hati di sini,” marah Nur Halimah.

Tergelak kecil jejaka itu melihat gadis itu. Marah pun nampak comel.

“Saya cuma nak tengok makmal ni je. Kenapa yer baunya busuk sangat?” tanya jejaka itu.

Dia berjalan menerokai kawasan itu sambil meletakkan tangannya di belakangnya. Berlagak seperti bos saja. Desis hati Nur Halimah. Dia mengekori jejaka itu dari belakang.

“Saya tanya awak ni. Siapa awak sebenarnya? Mana boleh masuk sini tanpa izin!” geram Nur Halimah.

“Siapa saya? Saya merupakan CEO untuk Money APlus Berhad,” terbeliak mata Nur Halimah.

Macam mana CEO untuk syarikat kewangan yang terkemuka itu boleh berada di sini? Bisiknya di dalam hati.

“Jadi, boleh cik jawab soalan saya?” soal jejaka itu.

“Maafkan saya sebab tidak mengenali tuan. Bau yang dimaksudkan tuan ialah bau bahan kimia yang baru tiba semalam. Jadi, saya dan rakan-rakan penyelidik yang lain sedang mengkaji bahan tersebut, sama ada ianya selamat ataupun tidak,” hujah Nur Halimah.

“Bahan kimia rupa-rupanya. Baiklah. Saya nak cik bawa saya terokai makmal ni, boleh?”

“Tuan perlukan dokumen ni..,” percakapan Nur Halimah terus dipotong.

“Saya tidak perlukan apa-apa dokumen. Saya nak lihat semuanya dengan mata saya sendiri. Faham?” tegas suara jejaka itu.

“Baiklah, tuan. Saya pinta tuan pakai kot makmal, sarung tangan, penutup mulut dan cermin mata keselamatan ini terlebih dahulu,” serius Nur Halimah.

“Ok,” ringkas jawapan jejaka itu.

Selepas itu, mereka menerokai makmal tersebut. Pelbagai soalan diajukan pada Nur Halimah namun gadis itu dapat menjawabnya dengan lancar.

“Baiklah. Setakat ini sahaja yang dapat saya beritahu tuan,” kata Nur Halimah.

“Nanti saya fikirkannya tentang usul tu. Jam sudah pukul 1 petang. Mari teman saya ‘lunch’, cik?” ajak jejaka itu.

Senyuman kacak terukir pada bibir jejaka itu.

“Maafkan saya, tuan. Saya tidak dibenarkan untuk keluar… Tuan!” tidak sempat Nur Halimah menghabiskan ayatnya apabila lengannya ditarik oleh jejaka itu.

“Apa tuan buat ni?! Kenapa pegang-pegang saya ni?” lantang suara gadis itu.

Walaupun berlapik, tetapi ianya tetap salah. Langkah diberhentikan. Mereka saling bertatapan.

“Kalau cik enggan saya mengheret cik ke kereta, baik cik setuju dengan pelawaan saya,” ugut jejaka itu.

Nur Halimah mendengus dengan kasar. Dia menanggalkan peralatan keselamatan pada tubuhnya. Kemudian, beg tangan dicapainya.

“Tercegat apa lagi? Cepatlah!” geram Nur Halimah.

Dia terus berjalan meninggalkan jejaka itu. Tersenyum jejaka itu kerana terhibur dengan telatah gadis tersebut.

Di sebuah restoran, Nur Halimah makan tanpa memandang wajah jejaka di hadapannya.

“Cik benci saya ke?”

Tersedak Nur Halimah apabila mendengar pertanyaan itu. Dia terus meneguk segelas air yang dihulurkan oleh jejaka itu.

“Tuan nak saya berterus-terang ke tak?” soal Nur Halimah.

“Mestilah berterus-terang. Lagi satu, jangan panggil saya tuan. Panggil saya Izan. Kalau nak panggil abang pun boleh juga,” senyum jejaka itu.

“Baiklah. Encik Tengku Ehsan bin Tengku Ibrahim! Saya tahu yang awak tu berpangkat tinggi. Jadi, awak boleh lakukan apa saja pada orang lain. Tetapi! Saya harap awak hormati saya. Saya bukan macam perempuan di luar sana yang tergedik-gedik nak ke awak. Saya mempunyai maruah diri saya sendiri. Jadi, minta awak lupakan sahaja niat awak tu,” luah Nur Halimah.

Terkejut Tengku Ehsan mendengar kata-kata berani gadis itu. Tidak sangka gadis tersebut agak garang dan tegas orangnya.

“Baiklah. Saya mengalah. Terima kasih cik Nur Halimah kerana temankan saya makan. Sebagai balasan, saya belanja cik hari ni. Saya nak minta diri dulu. Assalamualaikum,” ujar Tengku Ehsan.

Dia bingkas bangun meninggalkan Nur Halimah keseorangan. Salam dijawab dengan perlahan.

“Melampau sangat ke saya?” fikir Nur Halimah.

“Alamak! Macam mana kalau dia tolak usul nanti? Habislah kau Ima kena dengan cik Haruni nanti…,”

**********

“Assalamualaikum. Ima dah balik,” nyaring suara Nur Halimah di muka pintu.

“Waalaikummusalam. Ima dah makan ke?” kata Puan Faradila.

“Belum makan malam lagi, mak. Lepas mandi, Ima makan. Mana ayah, mak?” soal Nur Halimah apabila tidak melihat kelibat ayahnya.

“Ayah kamu keluar tadi. Katanya ada orang nak jumpa,” jawab Puan Faradila.

“Ooh. Baiklah, mak. Ima masuk ke bilik dulu ye,” pinta Nur Halimah.

Selesai makan, Nur Halimah terus naik ke atas katilnya. Dengan perut yang masih kenyang, dia mula terlena di atas katil. Keesokkan harinya, seusai solat Subuh berjemaah, Nur Halimah membantu ibunya memasak sarapan.

“Mak, Ima nak keluar ‘jogging’ dulu ye. Dah pukul 7 ni,” pinta Nur Halimah.

“Tak nak makan dulu ke, Ima?”


“Tak apa, mak. Sekejap je. Ima pergi dulu ye. Assalamualaikum,”






<BAB 6          BAB 8>